Nov 30, 2009

Perjanjian Hudaibiyah..satu renungan

Setelah beberapa tahun umat Islam berhijah ke Madinah, timbul satu perasaan rindu dalam hati mereka kepada Mekah. Tambahan, Mekah merupakan asal kelahiran mereka. Bak kata pepatah melayu, ‘Hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri’. Biar seronok dan makmur sekalipun di Negara asing, namun Negara kelahiran lebih diingati.

Setelah para sahabat memberitahu perkara ini kepada Rasulullah, mereka kemudian berbincang. Hasilnya, mereka sepakat mahu pergi ke Mekah bagi melakukan umrah pada tahun itu. Kerinduan mereka kali ini tidak lagi dapat dibendung. Selain itu, mereka juga ingin melawat sanak-saudara mereka yang masih berada disana.

Setelah mengatur segala persiapan, Rasulullah bersama 1500 orang sahabat berangkat ke Mekah. Setelah sampai di Hudaibiyah, rombongan umat Islam ini didatangi utusan Mekah, Budail bin Warqa’. Baginda menerangkan kepada Budail bahawa kedatangan mereka bukanlah hendak berperang sebaliknya ingin menziarahi Baitullah. Perkara itu kemudiannya disampaikan kepada kaum Quraisy.

Kemudian, Rasulullah mengutuskan Saidina Uthman bin Affan menghadap kaum Quraisy. Selain itu Rasulullah menyuruh Saidina Uthman memberitahu umat Islam di situ bahawa kemenangan Allah semakin hampir dan tidak lagi perlu mengamalkan agama Islam secara rahsia.

Setelah selesai segala urusan, Saidina Uthman kembali semula dengan selamat biarpun terlewat selama 3 hari. Kaum Quraisy kemudian mengirim satu rombongan dipimpin oleh Suhail bin Amru. Suhail mengatakan kaum Quraisy bersetuju mengadakan perjanjian damai dengan beberapa syarat seperti yang telah kita ketahui.

Seterusnya, Saidina Ali bin Abu Talib meneruskan tugasnya sebagai penulis perjanjian antara pihak Rasulullah dengan kaum Quraisy. Di akhir perjanjian beliau menulis perkataan (sesuai dengan perintah Rasulullah): “Dipersetujui oleh Muhammad Rasulullah”

Melihat keadaan itu, Suhail terus bangkit dan berkata: “Kalau aku tahu bahawa engkau adalah urusan Allah, maka aku tidak memusuhi dan memerangi engkau. Namun demikian, tulislah namamu dan ayahmu.” Mendengar perkara itu, maka marahlah kaum muslimin kerana mereka merasakan perkara itu mencabar kemuliaan Rasulullah.

Melihat perkara itu, Rasulullah segera menenangkan mereka. Baginda menyuruh sepupunya, Ali supaya melakukan seperti yang di minta oleh Suhail. Namun, perkara itu tidaklah berapa difikirkan sangat berbanding dengan syarat perjanjian damai yang diilhat tidak menyebelahi umat Islam.

Dalam keadaan begini, datanglah Abu Jandal bin Suhail bin Amru dalam keadaan terikat kakinya. Beliau dapat melepaskan dirinya bagi berjumpa dengan saudara-saudara kaum muslimin yang lain. Tatkala melihat anaknya, Suhail terus memukulnya. Melihat keadaan itu, kaum muslimin menjadi sangat hiba lantas ada yang menangis.

Rasulullah kemudian menghampiri Abu Jundal lantas berkata: “Wahai Abu Jandal, bersabarlah, kerana Allah akan memberi jalan keluar bagimu serta orang-orang yang lemah yang senasib denganmu. Sesungguhnya kami telah membuat perjanjian dengan mereka dan kami sesekali tidak akan menyalahi perjanjian itu.” Kesedihan kaum muslimin bertambah dalam apabila melihat Abu Jandal dibawa pulang ke Mekah.

Begitulah serba sedikit mengenai kisah pejanjian Hudaibiyah yang mengandungi pelbagai pengajaran dan iktibar yang perlu kita ambil. Antara paling utama ialah bukti kebijaksanaan pemikiran Rasulullah dalam memandang kebaikan dan kelebihan perjanjian itu kepada umat Islam pada masa hadapan.

Ianya juga menjadi bukti betapa perancangan manusia tidak pernah melebihi daripada kebijaksanaan perancangan Allah SWT. Umat Islam pada masa itu merasakan perjanjian itu sangat berat sebelah. Namun perjanjian itulah akhirnya menjadi kunci kepada pembukaan Kota Mekah beberapa tahun kemudian.

Selain itu juga, kita dapat melihat betapa Rasulullah sangat pandai bermain politik dengan musuh Islam. Kita dapat lihat bagaimana Rasulullah boleh terima perkataan ‘Rasulullah’ tidak diltulis dalam surat perjanjian tersebut. Ianya tidaklah beberapa penting berbanding kepentingan perjanjian itu tercapai.

Terbayangkah kita jika Rasulullah tetap berkeras ingin perkataan itu ditulis, adakah perjanjian akan dicapai dengan baik? Bolehkah Kota Mekah dibuka selepas itu? Jawapannya semestinya tidak. Maha hebat perancangan yang telah Allah aturkan bagi RasulNya laksanakan.

Syarat perjanjian yang dilihat sangat berat sebelah sebenarnya mengandungi banyak hikmah yang tersembunyi. Rasulullah memandang tinggi kepentingan perjanjian tersebut. Antara kepentingan perjanjian itu ialah bagi memudahkan Rasulullah melaksanakan dakwah tanpa ancaman daripada kaum Musyrikin Mekah.

Ianya kerana pada masa itu, Madinah bukan sahaja mengalami ancaman musuh dari Mekah, malahan daripada Negara-negara lain seperti Parsi dan Rom. Gencatan masa selama 10 tahun boleh memberikan Rasulullah untuk menumpukan dakwah kepada kawasan-kawasan lain tanpa perlu risau ancaman musyrikin Mekah.

Selain itu, mereka juga boleh datang ke Mekah pada masa hadapan dengan lebih tenang tanpa ada ganguan daripada kaum musyrikin Mekah. Seterusnya dakwah boleh dilakukan dengan lebih bebas di Mekah seterusnya mengembangkan Islam di Mekah itu sendiri.

Sebagai konklusi terakhir, kita boleh melihat disini betapa perlunya kita meyakini apa yang telah diputuskan oleh pemimpin kita. Seterusnya bagaimana sebagai umat Muhammad, kita perlu mementingkan pendamaian kerana Islam bukanlah agama kekerasan. Islam menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan.

Akhirnya, jadikan sejarah sebagai pengajaran kepada kita kerana sejarah banyak memberi tunjuk ajar yang berguna kepada kita.sejarah bukan untuk disimpan dalam arkib, tetapi sejarah perlu dijadikan panduan dan pengajaran yang berguna kepada kita semua.

Nov 29, 2009

Jihad dijalan Allah semakin dilupakan


Perjuangan jika diterjemahkan kedalam bahasa Arab memberi makna “Jihad”. Kini umat Islam semakin jauh daripada kesedaran dalam berjuang di jalan Allah ini. Ada pendapat mengatakan jihad paling besar adalah melawan hawa nafsu. Namun apa yang pasti perkara tersebut tidak pernah dinyatakan dalam Al-Quran. Al-Quran meletakkan berjuang di jalan Allah adalah dengan berperang.

Kemudian sistem pendidikan yang memberi pendedahan tentang jihad sama sekali telah dihapuskan dalam sistem pembelajaran umat Islam. Ianya didasari beberapa sebab yang rapuh. Namun apa yang pasti sebab paling utama ianya dikhuatiri akan memberi kesedaran kepada umat Islam mengenai kepentingan berjihad ini sekaligus mengancam kedudukan musuh-musuh Islam.

Ibnu Abbas mengatakan berjihad ialah mencurahkan seluruh jiwa dalam perjuangan membela kebenaran agama Allah tanpa perasaan takut kepada sesiapa pun selain daripada Allah. Manakala Muqatil mengatakan jihad ialah hendaklah beramal dengan bersungguh-sungguh demi keredhaan Allah dan menyembah kepadaNya dengan sebenar-benar ibadah.

Jika kita lihat sendiri, ianya jelas menunjukkan betberjuang dijalan Allah merupakan satu kewajipan yang telah ditetapkan oleh syariat dan ia merupakan tanggungjawab kepada semua umat Islam. Samada suka atau tidak, itulah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada kita. Perkara ini juga boleh menjadi fardu Ain apabila terdapat Negara Islam diserang oleh musuh Islam.

Ingatlah perjuangan di jalan Allah mendapat taraf kedudukan yang sangat tinggi sesudah iman kepada Allah SWT. Ianya kerana berjuang di jalan Allah tiada istilah kalah. Yang ada hanyalah mati syahid atau hidup mulia. Sedarlah wahai saudaraku, mati syahid merupakan satu-satunya tiket percuma bagi kita memasuki syurga Allah SWT. Namun ianya menuntut perjuangan yang pahit sebelum mengecapi kemanisannya.

Dalam satu kisah, Rasulullah pernah ditanya oleh para sahabat : Apakah yang sama perjuangan di jalan Allah? Baginda menjawab : “Kamu tidak akan pernah sanggup menjalaninya”. Mereka mengulangi pertanyaan itu hingga dua tiga kali, dan Baginda tetap menjawab : “Kamu tidak akan sanggup menjalaninya”. Namun pada akhirnya baginda menjelaskan :
“Orang-orang yang berjuangan di jalan Allah ibarat orang yang berpuasa, bersembahyang malam dan menekuni ayat-ayat Allah. Ia tidak putus-putus sembahyang dan berpuasa hingga pulang orang yang berperang di jalan Allah.”

Kemudian, dalam satu hadith yang lain, diriwayatkan oleh Imam Abu daud dan Imam Ahmad, baginda Rasulullah SAW bersabda :
“ Segolongan dari umatku akan tetap berperang membela kebenaran, akan dapat mengalahkan musuh yang berlawanan mereka, hingga umatku yang trakhir bakal memerangi Dajjal(Pendusta yang akan menyebarkan kesesatan di akhir zaman).”

Perjuangan member suatu pengistilahan yang sangat luas. Sebagaimana yang telah di tafsirkan oleh Ibnu Abbas, perjuangan bermakna melakukan segala bentuk usaha bagi mengalahkan musuhnya. Ianya bermula dari perjuangan menggunakan senjata melawan musuh Islam mempertahankan Negara Islam, masyarakat, dan agama sehinggalah menentang hawa nafsu
dan hasutan Syaitan.

Tujuan berperang bukanlah sekadar memenuhi tuntutan hawa nafsu manusia. Bahkan ia bagi melindungi kehidupan manusia itu sendiri di muka bumi ini, selain menjaga kebajikan dan melawan musuh-musuh Allah. Selain itu, sebab utama kita berjuang di jalan Allah ini tidak lain bagi mendapatkan keredhaan dari Allah sendiri.

Akhirnya, kita sebagai hamba yang mengaku Allah itu Tuhan kita, Islam itu agama kita, Al-Quran itu pegangan kita, dan Muhammad itu nabi kita, kita perlulah melaksanakan perkara ini dengan sewajarnya. Kedudukan Islam kini sangat ditekan bukan sahaja oleh musuh Islam, bahkan umat yang mengatakan mereka Islam juga.

Tokoh Ulama Islam masa kini, Prof Dr Yusof Qaradhawi pernah mengatakan, dia sama sekali tidak pernah bimbang jika yang menentang umat Islam itu adalah musuh-musuh Islam, namun apa yang paling beliau bimbangkan apabila yang melawan Islam itu merupakan penganutnya sendiri. Ini kerana ianya lebih merbahaya dan sangat memberi ancaman kepada agama Islam itu sendiri selain membawa fitnah kepada Islam.

Jadi marilah kita bersama-sama berfikir sejenak, apakah yang boleh kita lakukan bagi membantu perjuangan di jalan Allah ini. Adakah sudah cukup dengan apa yang telah kita lakukan sebelum ini. Yakinkah kita ianya mampu untuk menjamin kedudukan kita apabila kita berhadapan dengan Tuhan sekalian alam, Allah SWT? Jadi sebelum terlambat, marilah kita bersama-sama berazam mahu memberi sumbangan dalam menegakkan agama Allah di muka bumi ini.

Nov 28, 2009

Sekadar ingin berkongsi..Adat Pepatih Negeri Sembilan

Sekadar perkongsianAssalamualaikum dan salam sejahtera di ucapkan kepada pembaca yang dirahmati Allah sekalian. Tidak terlambat rasanya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Eidul Adha kepada para pembaca yang diingati sekalian. Saya berharap raya kali ini memberi 1001 manfaat dan kebaikan kepada kita semua. Insyallah..

Pertamanya, saya ingin memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana mengizinkan saya menulis dalam blog saya ini. Tanpa izin jua restuNya, sangat mustahil bagi saya untuk menulis bagi berkongsi pendapat dan pandangan saya dengan pembaca sekalian.

Kemudian, izinkan saya memohon jutaan maaf kerana sudah lama tidak berkongsi pendapat dan maklumat dalam blog ini. Terasa bersalah pada diri sendiri dan sekali lagi jutaan maaf di pohon kerana membiarkan blog kesayangan saya ini bersawang. Hampir 3 minggu rasanya. Ianya disebabkan beberapa perkara yang tidak dapat saya elakkan dan paling utama kelemahan dari diri saya sendiri.

Baiklah, entri kali ini saya sekadar ingin berkongsi sedikit pengalaman yang dapat saya timba sepanjang terasing daripada dunia internet ini. Pelbagai perkara dan pengalaman baru dapat saya ambil dan manfaatkan dalam kehidupan saya.Ianya adalah pengalaman saya dengan kawan-kawan selama dua hari di Negeri Sembilan.

Pengalaman tinggal disana bersama masyarakat sana secara lebih dekat sangat membantu saya dalam mengenali adat dan kebiasaan disana. Antara yang paling unik di negeri ini adalah mengenai adatnya yang sangat rumit namun apa yang pasti sangat perlu untuk diketahui. Adat negeri Sembilan seperti yang kita tahu dan maklum, mereka masih kuat mengamalkan adat pepatih.Adat pepatih sepertimana yang kita ketahui sangat menjaga hak kaum Hawa.

Sepanjang yang saya pelajari daripada sejarah semasa sekolah menengah dahulu, adat pepatih ini sangat menjaga hak kaum Hawa terutamanya yang melibatkan harta pusaka dan perkahwinan. Hak mereka dilebihkan berbanding kaum Adam.

Namun kini, pandangan saya itu sedikit meleset. Adat yang diamalkan telah berkembang dan disesuaikan dengan keadaan semasa. Harta pusaka contohnya, hanya dilebihkan kepada kaum hawa jika ianya disebabkan kes-kes tertentu seperti si isteri kematian suami ataupun si isteri diceraikan si suami. Apabila perkara ini berlaku, secara automatiknya hak mereka akan dilebihkan mengikut adat pepatih.

Namun perkara itu tidak beberapa menarik dalam adat di negeri Sembilan itu. Adat yang paling unik adalah apabila ia melibatkan sistem pemerintahan di Negeri Sembilan itu sendiri. Ianya sangat rumit sehingga penulis sendiri merasa pening untuk mengingati perkara itu. Namun apa yang pasti, masyarakat di negeri Sembilan masih kuat mengamalkan adat mereka.

Masyarakat negeri Sembilan juga sangat menjaga semangat kekitaan mereka. Antara paling jelas ialah apabila ada majlis perkahwinan, hampir kesemua penduduk kampung sekitar akan turut sama bergotong-royong bagi melancarkan kenduri tersebut. Menurut orang disitu, jika lembu disembelih pada pukul 7am, maka pada pukul 10.30am mereka sudah boleh menjamu selera hasil sembelihan lembu tersebut.

Saya merasa sangat kagum mendengar perkara tersebut. Betapa pada masa kini perkara tersebut sangat sukar untuk dilaksanakan. Masyarakat kini lebih senang menggunakan khidmat katering dengan alasan ianya lebih mudah dan senang untuk diurus. Selain daripada kesibukan untuk mengurus urusan masing-masing.

Selain itu juga, saya dan kawan-kawan lain sempat belajar membuat anyaman bakul menggunakan surat khabar lama. Perkara ini sangat seronok untuk dipelajari. Kesempatan yang ada digunakan sebaik mungkin. Menurut masyarakat disana, anyaman yang dibuat adalah bagi mengumpulkan kaum-kaum ibu mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti yang berfaedah.

Selain mengumpulkan mereka pada masa tersebut, aktiviti tersebut boleh memperkenalkan produk kampung mereka di mata masyarakat lain selain menambah duit poket meraka. Aktiviti ini juga boleh menjadikan masa-masa lapang mereka menjadi bermanfaat. Mereka boleh mengeratkan silturrahim sesama meraka sekaligus menguatkan ikatan persaudaraan Islam mereka.

Akhirnya, sebagai kesimpulan, pengalaman saya dan rakan-rakan sepanjang 2 hari di negeri Sembilan sangat menarik dan saya mendapat pelbagai input yang berguna untuk diri saya sendiri. Selain itu juga, ia membolehkan kami selaku generasi muda dan pelapis berkongsi pendapat dengan golongan yang lebih tua dan berpengalaman daripada kami sendiri.

Nov 7, 2009

Nasib Malang Umat Islam Rohingya...


KEJAM!! ZALIM!! Itulah antara ungkapan yang mampu saya ungkapkan sewaktu membaca artikel tentang penindasan yang telah dilakukan oleh Junta Tentera Myanmar terhadap umat Islam Rohingya di Myanmar. Mereka dihalau dari tanah air mereka sendiri dengan cara yang sangat kejam.

Jikalau mereka enggan keluar, mereka di ancam. Mereka di tangkap dan dibunuh tanpa perbicaraan, tanah-tanah dan binatang ternakan mereka dirampas sesuka hati, banyak masjid dimusnahkan dan generasi muda di halang hak pendidikan mereka. Kesemua ini dilakukan bagi menekan etnik ini seterusnya melakukan pembersihan etnik dari tanah air mereka sendiri.

Menurut sejarah, orang Rohingya kebanyakannya adalah satu kumpulan etnik beragama Islam di utara Negeri Rakhine yang terletak di Barat Burma. Kebanyakan populasi Rohingya tertumpu di dua buah bandar utara Negeri Rakhine (yang dahulunya dikenali sebagai Arakan) manakala sebahagian kecil menetap di bandar Akyab, Rathedaung dan Kyauktaw.


Masalah etnik Rohingya bermula apabila kerajaan junta tentera Myanmar berasa kurang senang dengan mereka. Mereka menganggap etnik ini tiada hak untuk menetap di Myanmar kerana agama dan asal usul mereka. Kemuncak kepada episod duka ini berlaku apabila kerajaan junta melancarkan genosid (penghapusan etnik) secara meluas dan terbuka kepada etnik malang ini.

Genosid bermula pada tahun 1962 ekoran episod rampasan kuasa oleh General Nay Win di Myanmar. Pada November 1948 sehinggalah awal 1992, sebanyak 19 kempen ketenteraan telah dilakukan bagi menghalau etnik Rohingya dari tanah air mereka.

Antara operasi yang paling kejam ialah Operasi Burma Territorial Force (BTF) pada tahun 1949-1950, Operasi Nagamin pada Februari 1978-1979 dan Operasi Na-Sa-Ka (Pasukan Keselamatan Sempadan) yang bermula pada tahun 1992 hingga kini.
Menurut Amnesty International, orang Rohingya terus menerus menderita akibat pencabulan hak kemanusiaan oleh junta tentera Myanmar sejak tahun 1978, dan akibatnya ramai yang telah melarikan diri ke negara jiran seperti Bangladesh.

"Gerakan pembebasan orang Rohingya disekat dengan keras dan pada hakikatnya sebahagian besar mereka telah dinafikan kewarganegaraan Myanmar mereka. Mereka juga tertakluk pada pelbagai bentuk pemerasan dan pencukaian sembarangan; penyitaan tanah; pengusiran paksa dan pemusnahan rumah; dan sekatan kewangan ke atas perkahwinan. Orang Rohingya terus menerus dipaksa menjadi buruh dalam pembinaan jalan raya dan di kem-kem tentera walaupun jumlah buruh paksa di utara Negeri Rakhine telah menurun sejak sedekad yang lalu."


Apa yang dikesali disini adalah kekurangan kesedaran umat Islam pada nasib saudara seagama mereka ini. Meskipun kes mereka tidaklah sepopular penindasan umat Islam di Palestin dan China, namun apa yang telah berlaku pada mereka tidak banyak beza. Mereka ditindas dan dihalau daripada tanah air mereka. Hak mereka dinafi dan di cabuli sesuka hati.

Tambah menyedihkan apabila Negara umat Islam sendiri tidak membela nasib mereka. Nasib etnik ini tidak dibela sewajarnya. Bahkan mana-mana pelarian Rohingya yang masuk ke Negara mereka akan dihantar semula ke tempat asal mereka. Ibarat keluar mulut naga masuk pula ke mulut buaya. Langsung tidak berperikemanusiaan dan berasa belas kasihan. Adakah alasan bahawa mereka adalah pelarian boleh diterima logik akal??

Sedarlah wahai pemimpin Islam, mereka adalah saudara seaqidah dan seagama kita. Jika bukan kita, siapa lagi yang mahu menyelamatkan nasib mereka. Tidak malukah kita apabila Negara musuh Islam ketawa melihat perbuatan ‘kemanusiaan’ kita itu?

Nasib pelarian etnik Rohingya di Malaysia tidak kurang kisahnya. Timbalan Presiden Pusat Informasi Rohingya, Mohd. Rafiq Hamidullah berkata, pada masa ini terdapat kira-kira 20,000 pelarian Rohingya berada di Malaysia.Sehingga kini tidak banyak NGO yang berani tampil mempertahankan nasib etnik Rohingya ini secara agresif dan bersungguh-sungguh. Kalau adapun tidaklah banyak dan boleh dibanggakan.

Mungkin kes kemanusiaan yang berlaku pada pelarian Etnik Rohingya ini tidak dipandang secara serius seperti mana kita memandang isu yang berlaku pada saudara kita di Palestin. Namun apa yang pasti, mereka merupakan saudara seagama kita. Kita seharusnya peka dengan situasi mereka sekarang.

Jika isu Palestin mampu mendapat liputan meluas dan kutipan tabung amal secara besar-besaran, mengapa tidak kita lakukan perkara yang sama untuk etnik Rohingya ini? Krisis yang berlaku pada mereka seharusnya dipandang secara serius. Kita sepatutnya bersama-sama memikirkan penyelesaian yang tepat bagaimana hendak membela nasib mereka sebaik mungkin. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Isu kekejaman ini semakin membarah dari hari kehari pada umat Islam di Arakan ini. Ingatlah!! Allah SWT telah menyatakan dengan jelas mengenai konsep persaudaraan ini melalui surah al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud:
’Sesungguhnya orang mukmin itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara saudara-saudaramu dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat’.

Manakala dalam hadis nabi saw pula, Rasulullah bersabda yang bermaksud:
’Perumpamaan orang mukmin dalam berkasih sayang, cinta mencintai, dan kasih mengasihi ibarat satu tubuh, iaitu apabila terdapat salah satu anggota badan yang sakit, maka seluruh tubuh turut berasa sakit dengan tidak boleh tidur dan demam’. (Hadis Riwayat Imam Muslim).

Akhirnya, saya berharap semoga kita, sebagai umat Islam tidak memandang secara sebelah mata terhadap isu umat Islam Rohingya ini. Mereka adalah saudara seIslam kita juga. Mekanisme penyelesaian isu ini seharusnya difikirkan bersama dan dilaksanakan dengan secara bersama dan konsisten.

Adakah kita berharap musuh-musuh Islam akan membantu kita? Oh! Tidak mungkin. Sejarah sendiri menunjukkan siapakah sebenar musuh-musuh Islam. Dengan kesedaran yang ada, marilah kita bersama-sama berganding bahu dan tenaga bagi menyelesaikan masalah umat Islam di Arakan ini. Semoga hak dan nasib mereka di bela sewajarnya. Insyallah..

*Sumber di ambil dari Majalah Milenia bil.87 1430 Zulkaedah - Zulhijjah

Nov 3, 2009

Serba serbi Ragam Minggu Peperiksaan

Salam perkongsian diucapkan kepada semua pembaca sekalian. Entri kali ini penulis ingin berkongsi serba sedikit ragam peperiksaan yang pastinya akan, sedang ataupun sudah kita lalui dalam norma kehidupan sebagai seorang pelajar. Biasala apabila menjelang sahaja musim peperiksaan, setiap pelajar akan mengalami satu sindrom yang digelar ‘Demam Exam’.


Jadi marilah kita melihat serba sedikit ragam kehidupan seorang pelajar ketika musim peperiksaan.

Seminggu Sebelum Exam.

Pada masa ini terdapat beberapa situasi yang akan dilalui oleh para pelajar

Situasi Pertama
“Huh..awal lagi ni..nak baca pun bukan ingat sangat kepala otak aku ni. Baik aku ajak makwe aku keluar dulu. Tengok wayang ke, jalan-jalan k, ok jugak.” Situasi pertama ini boleh dilihat pada kebanyakan pelajar terutamanya pada awal-awal minggu. Mereka terus leka dan membazir masa yang ada dengan melakukan aktiviti yang tidak memberi mereka apa-apa manfaat.

Situasi Kedua
“Aduh! Peningnya kepala aku!! Banyaknya tak study lagi ni..bertimbun buku atas rak ni..serabutnya otak aku..Tidak!!” situasi kedua boleh penulis gambarkan kepada kaki-kaki study yang sememangnya gila study. Pelajar ini sangat rajin dalam menelaah buku dan mentadabur pelajaran yang mereka ambil. Pelajar jenis ini sangat bagus sehingga masa hendak makan dan tidur pun hampir-hampir tiada dalam kamus hidup study diorang.

Pertengahan Minggu Study Week

Beberapa hari sebelum peperiksaan pastinya merupakan masa yang sangat kritikal kepada para pelajar. Masa dilihat kian suntuk dan terhad. Namun ada juga yang dilihat masih dalam keadaan rilex dan tenang. Mereka masih sempat keluar berjalan-jalan. Mungkin sudah cukup study agaknya. Dah naik muntah bila lihat buku dan nota yang sama je setiap hari.


Semasa Minggu Peperiksaan

Pada masa ini kita dapat lihat para pelajar akan melipat gandakan usaha mereka dalam mengulangkaji pelajaran mereka. Ada juga yang kelihatan menyesal dan murung akibat tidak habis mengulangkaji pelajaran mereka. Namun nasi sudah jadi bubur. Masa yang berlalu tidak dapat berpatah balik. Minggu peperiksaan telah tiba. Kertas peperiksaan sudah tersedia menanti para pelajar.

Tidak kurang juga terdapat segelintir pelajar yang memperlipatgandakan amalan sunat mereka dengan melakukan Qiam dan membaca Al-Quran. Semua itu tidak lain untuk memperolehi keberkatan daripada Allah SWT. Ye la, kalau bukan Allah, siapa lagi yang boleh bagi kejayaan pada kita kan? Kebergantungan kepada Allah sangat perlu pada masa-masa sebegini.

Selepas tamat menjawab kertas soalan terakhir

Para pelajar pastinya akan merasa sangat riang dan gembira. Ada yang melompat kegirangan dan ada juga yang senyap. Nampak cool je dari jauh. Tidak lupa juga yang menelefon orang tua di kampung untuk memberi khabar dari jauh. Ada juga yang bersalaman dan berpelukan tanda perpisahan bakal berlaku. Maklumlah, lepas exam cuti panjang.

Namun, ada juga beberapa perkara yang tidak diingini akan berlaku seperti nota-nota bertaburan dan kertas-kertas soalan berada di merata-rata tempat. Pastinya sedih untuk melihat ilmu di buang sebegitu sahaja setelah ia tidak lagi digunakan. Berkat ke pelajaran kita kalau kita buat macam tu? Sama-sama kita renungkan.

Ulasan Penulis

Akhirnya, dapatlah kita simpulkan disini betapa setiap manusia mempunyai ragam dan cara yang tersendiri dalam menghadapi peperiksaan dunia mereka. Ada yang sanggup mengorbankan masa tidur dan makan mereka semata-mata kerana peperiksaan. Tidak kurang juga yang melaluinya secara sambil lewa dan tidak serius.

Jika peperiksaan dunia mampu kita korbankan banyak kesenangan, kenapa tidak kita melakukan perkara yang serupa dalam persiapan menghadapi peperiksaan di Akhirat kelak yang lebih adil dan mutlak? Penulis menyeru kepada diri penulis sendiri dan pembaca sekalian bagi menilai kembali sejauh manakah persiapan kita mengahadapi peperiksaan Akhirat kelak. Ingatlah!! Ajal kita tidak kita ketahui samada esok ataupun lusa. Jadi, perbanyakkanlah amalan sebagai persediaan di Ahirat kelak. Insyallah..
Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 .: Ahli Parlimen 2030 :.. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan