Dec 15, 2011

Berubah Perlukan Pengorbanan


Artikel ini sengaja saya tulis khas untuk golongan ahli gerakan Islam yang sentiasa skeptik dan statik dalam memikirkan sesuatu perkara. Melihat perubahan itu sebagai satu risiko dan bakal mendatangkan kesan yang negatif.

Suka saya ambil satu contoh, bagaimana pada zaman dahulu, orang tidak pernah melihat menjual air mineral sebagai satu perniagaan yang menguntungkan. Ini kerana air mudah di jumpa di mana-mana. Malahan ia boleh di dapati daripada rumah sahaja.

Namun, sebuah syarikat Jepun telah mengambil inisiatif membotolkan air mineral dan dipasarkan di pasaran. Menakjubkan! Dalam beberapa tahun sahaja ia telah berjaya memperoleh keuntungan yang sangat banyak sehingga tidak pernah tercapai akalnya untuk mendapat keuntungan seperti itu.

Jelas berdasarkan contoh di atas, jika kita optimis dengan masa hadapan dan yakin dengan diri kita sendiri, pastinya kita akan berani melakukan perubahan.

Pandangan saya secara peribadi, ahli gerakan Islam ini sememangnya istimewa. Mereka ditarbiyah, dilatih dan di ajar dengan ilmu yang pelbagai. Malahan, mereka mempunyai seorang murabbi atau pembimbing yang akan sentiasa membimbing mereka melakukan sesuatu perkara.

Apa yang menyedihkan, ahli gerakan Islam ini takut untuk melangkaui diri mereka sendiri. Mungkin mereka berasa tidak yakin, takut menghadapi risiko atau di ajar untuk bertaqlid sahaja. Perkara ini amat menyedihkan saya.

Bagi saya, sudah sampai masa kita memecahkan tembok keselesaan kita dan melihat dunia yang semakin mencabar. Bukan selesa dengan keadaan sekarang dan takut untuk melakukan perubahan.

Hal ini kerana apa yang kita lakukan sekarang sangat ‘old school’ dan sudah tidak sesuai dengan zaman sekarang. Kita perlu melakukan satu reformasi fikiran secara besar-besaran.

Sekarang bukan masa untuk membincangkan isu kecil seperti isu budaya couple atau hedonisme. Perbincangan kecil yang melihatkan seolah-olah Islam ini terlalu kecil dan tidak berjiwa besar.

Tetapi sekarang budaya kritikal seperti membincangkan cara mentadbir negara dengan baik (Good Governance) dan mengurus tadbir ekonomi negara dengan baik. Bagaimana mahu mentadbir bersama bukan Islam.

Secara jujurnya saya masih merasa tidak ada ahli gerakan mahasiswa Islam yang mampu untuk membahaskan ekonomi Malaysia dengan baik. Jangan katakan ekonomi Malaysia, urus kewangan perbadanan persatuan pun belum tentu mampu di tangani dengan baik.

Semuanya saya lihat masih dalam konteks retorik dan mimpi politik. Seperti bersembang di kedai kopi yang tiada penyelesaiannya. Hanya sekadar angan-angan kosong!

Mungkin ada yang akan mengkritik tulisan ini, namun percayalah. Inilah realiti yang berlaku dalam persekitaran kita. Kita amat jarang membincangkan perkara-perkara yang lebih kritikal dan berat kerana kita malas membaca dan menganalisis. Kita lebih selesa dengan keadaan kita sekarang.

Mengakhiri artikel ini, saya berharap artikel ini dapat mengetuk hati-hati yang masih beku dan takut agar menjadi lebih kritikal selepas ini.

Jangan takut untuk melakukan kesilapan kerana daripada kesilapan itulah kita belajar untuk menjadi lebih matang. Jangan takut untuk dikritik, kerana dengan kritikanla kita akan menjadi lebih dewasa ^^


Nukilan Khas,
Muhammad Akmal
1815
Petaling Jaya

0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 .: Ahli Parlimen 2030 :.. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan