Dec 14, 2011

Tarbiyah Manifestasi Siasah


Pertamanya, artikel ini sengaja saya nukilkan bagi menjawab beberapa persoalan sahabat yang saya rangkumkan di dalam satu tajuk. Tajuk yang berat ini akan saya sentuh seringkas yang mungkin untuk memberi kefahaman yang mudah. Ini adalah berdasarkan apa yang saya dapat sepanjang bergelar ahli gerakan Islam.

Acap kali, apabila disebut tentang siasah dan tarbiyah, pasti ramai yang melihatnya dalam dimensi yang berbeza. Seolah-olah siasah itu perbuatan yang asing dalam konteks kaca mata tarbiyah. Begitulah terjadi sebaliknya. Walhal ia sama sekali tidak benar.

Sengaja saya nukilkan tajuk di atas, iaitu tarbiyah manifestasi siasah. Ini kerana, sepanjang saya bergelar ahli gerakan mahasiswa Islam, saya tidak pernah diajar untuk membezakan antara siasah dan tarbiyah. Malahan ia perlu digerakkan secara seiring dan mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Tarbiyah adalah unsur di dalam kehidupan. Sangat menyedihkan apabila ada kelompok tertentu yang mengasingkan elemen tarbiyah ini daripada kehidupan seharian. Kelompok ini hanya melihat tarbiyah itu dari kaca mata yang sempit. Ia sekadar melihat tarbiyah ini di dalam program mahupun manual yang dicipta oleh mereka sendiri.


Bagi saya, tarbiyah itu lebih daripada itu. Tarbiyah ini mengajar kita menjadi lebih berdisplin dalam kehidupan kita selain sanggup berkorban demi agama. Malahan, berani saya katakan, tarbiyah merupakan elemen teras dalam memanifestasikan kehidupan seharian kita.

Jika kita melihat sejarah Rasulullah dalam mengajar para Sahabatnya, kita dapat melihat pelbagai elemen tarbiyah telah diterapkan kepada mereka. Antaranya melalui berhijrah, mengeluarkan harta untuk umat Islam yang lain serta berperang menentang musuh Allah.

Mereka bukan sahaja melakukan ibadah di masjid bersama Rasulullah semata-mata, malahan mereka ikut bersama Rasulullah dalam berperang dan mengorbankan harta mereka!

Tidak pula kita lihat para sahabat ini mengasingkan elemen ibadah di dalam berperang. Malahan kita boleh lihat dengan jelas bagaimana peperangan itu sendiri merupakan antara elemen tarbiyah untuk melatih Sahabat. Di dalam peperangan, para Sahabat Baginda telah berjuang dengan penuh keikhlasan dan membuat pengorbanan yang besar.

Nah! Di situ kita dapat lihat dengan jelas, bagaimana tarbiyah para Sahabat Baginda ini telah diterjemahkan melalui kehidupan seharian mereka.

Di sini kita dapat lihat betapa besar kesan tarbiyah itu di dalam diri Sahabat Baginda yang akhirnya diterjemahkan dalam bentuk perbuatan. Malahan, saya berani mengatakan para Sahabat yang tidak cukup tarbiyah akhirnya tidak sanggup untuk berjuang di jalan Allah.

Kelompok ini telah meletakkan dunia di hadapan mereka lantas meninggalkan arahan Baginda. Kelompok ini antaranya adalah golongan munafik.

Contoh yang saya suka ambil ketika berbincang dengan sahabat saya adalah bagaimana As-Syahid Hasan Al-Banna mentarbiyah ahli Ikhwanul Muslimin.

Pernah satu ketika, Hasan al-Banna memanggil beberapa orang ahli Ikhwan untuk datang berjumpanya di satu tempat yang jauh dalam masa yang singkat. Dengan segera, mereka bergegas ke tempat tersebut dan bertemu dengan Hasan al-Banna.

Setelah sampai, Hasan al-Banna mengarahkan mereka untuk pulang ke tempat masing-masing. Dengan terpinga-pinga, mereka pun pulang ke tempat mereka.

Ketika ditanya, mengapa Hasan al-Banna melakukan perkara sedemikian, Hasan al-Banna menjawab bahawa ia mahu melihat sejauh mana pengorbanan yang sanggup dilakukan oleh ahli Ikhwan. Selain itu, ia mahu mengukur sejauh mana tahap kefahaman ahli Ikhwan dalam mematuhi arahan seorang ketua.

Berdasarkan kisah ini, kita dapat lihat dengan jelas bagaimana tarbiyah yang ada di dalam diri ahli Ikhwan itu berjaya melahirkan ahli yang komited dalam melaksanakan suruhan seorang ketua.

Seterusnya, apabila disebut siasah, pastinya di dalam fikiran kita akan menyebut unsur pilihan raya, pentadbiran mahupun sosial. Ia dilihat sangat berbeza dengan elemen tarbiyah yang lebih mementingkan unsur rohani dan dalaman seseorang.

Timbul persoalan, mengapakah perbezaan ini terjadi? Salah orang yang mentarbiyah? Salah diri sendiri mahupun orang lain?

Bagi saya, seperti saya nyatakan di atas, tarbiyah merupakan manifestasi perbuatan kita di dalam kehidupan seharian. Ia bukan retorik semata-mata. Perlu diterjemahkan melalui perbuatan kita dalam kehidupan seharian.

Tarbiyah yang kuat di dalam diri bukan bererti putih pemakaiannya, besar serban dan tasbihnya mahupun kuat zikirnya. Tetapi tarbiyah yang kuat di dalam diri bermakna mempunyai kefahaman yang jelas mengenai Islam dan diterjemahkan di dalam kehidupan seharian.

Akhirnya, maaf kalau artikel tidak seberapa ini menyebabkan ada pihak yang tidak berasa selesa. Saya mohon pandangan dan kritikan kerana saya juga manusia yang lemah. Tiada manusia yang maksum (tidak melakukan dosa) selain para Anbiya’. Semoga artikel tidak seberapa ini memberi manfaat kepada gerakan Islam yang amat saya sayangi ^^


Nukilan,

Muhammad Akmal,
14/12/2011 (Rabu)
0300
Petaling Jaya.

0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 .: Ahli Parlimen 2030 :.. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan