Dec 13, 2011

Dirgahayu Tuanku Mizan


Akhirnya, setelah 5 tahun berkhidmat sebagai Yang Di Pertuan Agong Malaysia yang ke-13, Tuanku Mizan telah selamat berangkat ke Terengganu. Sesungguhnya, sepanjang di bawah pemerintahan baginda, pelbagai kegemilangan di kecapi oleh Malaysia.

Diputerakan pada 22 Januari 1962, di Kuala Terengganu, Tuanku Mizan mendirikan rumahtangga dengan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah dan dikurniakan empat cahaya mata, iaitu Tengku Nadhirah Zahrah, Tengku Muhammad Ismail, Tengku Muhammad Mua’az dan Tengku Fatimatuz Zahra.

Tuanku Mizan dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 oleh Raja-Raja Melayu pada mesyuarat khas Majlis Raja-Raja ke-208 di Istana Negara pada 3 November 2006.

Pemilihan baginda adalah bagi menggantikan Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail yang tamat tempoh lima tahun baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-12 pada 12 Disember 2006.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong dipilih daripada kalangan raja-raja Melayu untuk tempoh lima tahun. Sistem ini merupakan satu-satunya sistem seumpama itu yang diamalkan di dunia.

Tuanku Mizan juga dekat di hati rakyat bukan saja melalui acara kenegaraan, tetapi juga sikap terpuji Seri Paduka yang sering mendekati rakyat termasuk menunaikan solat Jumaat di banyak masjid, terutama sekitar ibu negara yang membolehkan rakyat beramah mesra dengan Seri Paduka.

Dalam acara sukan, Tuanku Mizan amat menggemari sukan berkuda dan pernah menyertai beberapa siri Kejohanan Kuda Lasak bertaraf antarabangsa dan juga mengemari sukan golf, tenis, menyelam ‘scuba’ dan bola sepak.

Baginda juga pernah ke Munich, Jerman bagi menjalani pembedahan lutut di Pusat Perubatan Klinikum Rechts Der Isar.

Tuanku Mizan yang juga Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang pertama, dimasyhurkan sebagai Sultan Terengganu ke-16 pada 15 Mei 1998 selepas kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Mahmud.


Tuanku Mizan yang dikenali sebagai seorang Raja Berjiwa Rakyat bukan saja untuk negeri kelahiran Seri Paduka, tetapi juga untuk seluruh rakyat Malaysia, pada 13 Disember ini menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.

Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Badlishah, yang menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong, kini menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14. Menjunjung kasih, Tuanku.

Antara peristiwa yang betul-betul menyerlahkan kewibawaan Tuanku Mizan adalah peristiwa BERSIH 2.0. Baginda sebagai ketua agama telah menitahkan kepada kedua belah pihak, baik kerajaan mahupun penganjur untuk berbincang secara baik seterusnya mengekalkan keamanan Malaysia.

Sesungguhnya, pentadbiran Tuanku Mizan pastinya akan sentiasa dikenang sebagai antara Agong paling dekat di hati rakyatnya. ^^,

- sumber Bernama 13 Disember 2011

0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 .: Ahli Parlimen 2030 :.. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan