Oct 26, 2009

Tips Sebelum Menghadapi Peperiksaan

Salam perkongsian buat semua..
Sedar atau tidak, hendak atau tidak, demam peperiksaan semakin menghimpit kebanyakan pelajar. Mana tidaknya, hanya beberapa hari sahaja peperiksaan bakal menjelang. Bersedia atau tidak, kita tetap akan menghadapai hari tersebut.

Disini penulis ingin berkongsi sedikit ilmu startegi menghadapi peperiksaan hasil kajian daripada Dato’ Dr Mohd Fadzilah Kamsah, seorang pakar motivasi yang tidak asing lagi di Malaysia kini. Baiklah, persediaan yang perlu kita tekankan terbahagi kepada 3 aspek utama yakni persediaan Qalbi, persediaan ‘Aqli dan persediaan Jasadi.

Persediaan Qalbi banyak mempengaruhi persediaan ‘Aqli dan Jasadi. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Andai hati Bani Adam ini tidak dikelilingi Syaitan, mereka mampu melihat kerajaan langit.” (Riwayat Imam Ahmad).

Oleh itu, sebagai pelajar muslim kita perlu berusaha menyediakan hati kita dengan memperbanyakkan amalan kepada Allah SWT. Selain itu, segala larangan dan perkara yang dibencinya seharusnya kita elak dan jauhkan. Hanya hati(Qalb) yang bersih sahaja mampu memudahkan pelajar muslim itu menerima petunjuk dan bimbingn daripada Allah SWT seterusnya mudah menerima ilmu.

Persediaan ‘Aqli pula penting bagi akal kita bergerak seiring dengan hati kita. Pertama kita perlu programkan otak kita bahawa peperiksaan ini ialah suatu yang positif. Mind setting sangat mempengaruhi kesungguhan dan usaha kita untuk mencapainya. Yakinlah bahawa peperiksaan itu bertujuan hendak meningkatkan prestasi kita dalam pelajaran.

Kita juga boleh melatih menjawab soalan seperti dalam peperiksaan sebenar. Kaedah ini merupakan strategi menghadapi peperiksaan dengan pelbagai jenis soalan. Kaedah ini bagi meyakinkan kita bahawa kita mampu menjawab pelbagai jenis soalan tanpa megira jenis soalan yang akan keluar. Ianya sekaligus akan menambahkan keyakinan kita dalam menjawab kertas pepriksaan sebenar nanti.

Persediaan Jasadi terbahagi kepada dua yakni kesihatan dan keselamatan. Kita semua maklum, otak yang cerdas lahir dari badan yang cergas dan sihat. Jadi bagaimana mungkin kita boleh menjawab peperiksaan dengan baik jika badan kita dalam keadaan lemah dan tidak sihat.

Islam sangat mementingkan kesihatan umatnya samada dari segi rohani dan jasad. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil bekerja ialah orang yang paling kuat lagi dapat dipercayai,” (Surah al-Qasas 28:26).

Sebagai pelajar, waktu tidur yang baik adalah antara 5-7 jam sehari. Kurang tidur akan menyebabkan badan menjadi lemah manakala lebih tidur tidak baik untuk kesihatan. Jika kita lihat pendekatan Imam Ghazali, beliau membahagikan masa sehariannya kepada 3 perkara iaitu 1/3 untuk belajar, 1/3 masa untuk rehat dan 1/3 lagi untuk memunajat kepada Allah SWT.

Selain itu juga, kita perlu menjaga pemakanan seharian kita. ianya berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud, “Makanlah daripada makanan yang baik yang telah kami berikan.” ( Baqarah 2 : 57).

Yang dimaksudkan dengan baik disini adalah dari segi sumbernya (halal), kualiti (zat), rasanya (enak dan lazat) dan bersih ( tidak membawa penyakit dan kemudaaratan). Makanan yang haram akan menggelapkan hati. Hati yang gelap tidak akan dimasuki oleh ilmu dan petunjuk yang bersifat cahaya yang suci.

Kita juga di galakkan bersukan bagi melancarkan aliran darah ke seluruh badan terutamanya organ-organ dan anggota badan yang diperlukan untuk belajar. Ingat!! Otak kita memerlukan oksigen dan glukosa untuk berfungsi dengan baik. Namun kita tidaklah perlu sampai meletihkan badan. Pendek kata kita hanya perlu beriadah sebanyak 20 minit sahaja dan tiga kali seminggu.

Kita juga perlu menjaga keselematan kita dengan sebaiknya. Jauhkan dari melakukan perkara yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri kita. Kita pastinya tidak mahu mengambil peperiksaan di dalam wad hospital. Dalam musim peperiksaan ini, lebihkan masa anda di tempat belajar anda. Namun jangan dilupa kepada masa riadah kita. Oleh itu, persediaan holistik merupakan antara faktor penentu kejayaan seseorang pelajar cemerlang.

Akhirnya penulis ingin mengucapkan selamat menghadapi peperiksaan kepada para pembaca yang bakal menghadapi peperiksaan tidak lama lagi. Semoga peperiksaan kali ini dapat dihadapi dengan berjaya dan tenang. Insyallah..

Oct 23, 2009

Terjaga Pagi Suatu Rahmat..


Salam Muhasabah Buat Diri dan Pembaca Sekalian..

Bayangkan saat ketika kita sedang nyenyak diulit mimpi, dengan suasana yang sangat dingin dan kelam tanpa cahaya, kita tiba-tiba terjaga daripada tidur. Setelah mata terbuka, persekitaran diamati dan diperhati. Belum Subuh lagi ni, hati bermonolog sendirian. Kemudian tangan mencapai telefon bimbit melihat jam sekadar mendapatkan satu kepastian. “Oh, baru pukul 3 pagi,” bicara hati kecil.

Dalam situasi sebegini, apakah yang sering kita lakukan? Di sini ada beberapa perkara yang boleh kita lakukan. Apapun tanya iman kita dan buatlah pilihan yang bijak.

Pertama :
Kebanyakkan kita akan menarik semula selimut dan menyambung episode kedua mimpi yang tergantung separuh jalan tadi. Bukan itu sahaja, bahkan hati kita akan mengomel, “Apasal la aku bangun awal sangat ni?” Terzahirlah sebuah kekesalan dalam hati. Ha! Kesal bangun awal? Nauzubillah..moga hati kita di jauhkan daripada berkata-kata sedemikian

Kedua :
“Oh, baru pukul 3 pagi. Ustaz dulu pernah kata, waktu macam ini doa mudah makbul. Ya Allah, ampunkanlah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku dan rahmatilah kehidupan kami di dunia dan di akhirat. Jadikan aku hamba yang mempunyai semangat yang tinggi, berjuang untuk kebahagiaan dunia dan akhirat.” Kemudian kembali ‘ibadah senyap’.

Ketiga:
Sebaik menyedari dah pukul 3 pagi, segera bangun untuk solat tahajud tanpa berlengah. Sembahlah Allah saat mata-mata lain rapat terpejam, rukuklah saat hati kita masih tenang dan suci, sujudlah saat minda masih lagi kosong dari sebarang urusan dunia dan berdoalah saat doa kita didengari Allah.

Berdasarkan ketiga-tiga situasi diatas, penulis dapat simpulkan bahawa mana-mana pilihan yang kita lakukan adalah berdasarkan tingkat keimanan kita kepada Allah SWT. Semakin kuat iman kita, semakin ingin kita meningkatkan ibadah kepada Allah SWT. Namun, jika kita lemah iman, maka kita akan kembali melayan nafsu kita.

Terjaga pagi merupakan rahmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Siapa sangka saat Allah takdirkan kita terjaga, sebenarnya Allah menunggu untuk memakbulkan sebarang permintaan pada malam tersebut.

Jadi, marilah kita bersama-sama dari langkah pertama, berdoa sebaik sahaja kita terjaga. Malah mintalah dari Allah untuk bangkitkan kita pada malam-malam seterusnya. Itulah merupakan cara untuk kita berterima kasih kerana terjaga saat sedang terlena. Bukannya kita mengomel seorang diri tanda penyesalan. Tetapi alangkah manisnya kita lakukan dengan tahajjud.

Oct 20, 2009

Hidup Sentiasa kena Hepi


Dalam perbualan seharian, kita sebagai manusia biasa semestinya tidak terlepas dari bergurau. Malahan bergurau itu sangat disenangi oleh hampir setiap orang kerana bergurau diibaratkan bagai bunga dalam pergaulan dan penawar di kala duka.

Dalam sirah sendiri, Rasulullah sendiri pernah bergurau dengan ahli keluarga dan para sahabat. Menurut hadis yang bersumberkan Hassan, ada seorang nenek menghadap Rasulullah SAW. Lantas nenek itu berkata, “Wahai Rasulullah, doakanlah agar saya dapat masuk ke dalam syurga,”.

Kemudian baginda berkata, “Wahai nenek, ketahuilah bahawa di syurga tidak ada orang yang tua seperti kamu.” Sebaik sahaja mendengar jawapan Rasulullah SAW, nenek itu terus menangis.

Tetapi kemudian sambil tersenyum baginda bersabda lagi yang bermaksud, “Bukankah aku katakan bahawa tidak ada orang tua masuk syurga. Ini kerana semuanya telah berubah menjadi gadis-gadis perawan.” Selepas mendengar penjelasan Rasulullah SAW, nenek itu terus berhenti menangis lalu tertawa. Dia mengerti kerana dirinya kelak akan menjadi gadis di syurga.

Dalam satu peristiwa yang lain. Rasulullah SAW bersabda kepada salah seorang isteri sahabat daripada golongan Ansar, “Hai Fulanah (panggilan umum orang perempuan yang belum di ketahui namanya), segeralah pulang temui suamimu kerana pada kedua-dua belah matanya ada keputih-putihan.”Sebaik sahaja mendengar kata-kata Rasulullah SAW tersebut, isteri sahabat tadi terus pulang untuk menemui suaminya.

Apabila si suami melihat si isteri pulang dengan keadaan tergesa-gesa, ia pun menegur, “Wahai isteriku, mengapa kamu kelihatan pulang dalam keadaan tergesa-gesa?” Jawab si isteri, “Ya, sebab saya di beritahu oleh Rasulullah SAW bahawa kedua-dua belah matamu ada keputih-putihan,” Jawab si suami, “Ah, selain ada keputih-putihan, ada juga hitamnya,”. Setelah kedua-duanya mengerti apa tujuan Rasulullah berkata begitu, maka mereka hanya mampu ketawa.

Berdasarkan peristiwa-peristiwa diatas, kita boleh melihat Rasulullah tidak pernah terlepas dari bergurau dengan orang sekeliling Baginda. Disebabkan sifat bergurau ini, Rasulullah mudah didekati oleh para pengikutnya sekaligus mengembangkan lagi gerak kerja dakwahnya. Malahan mereka tidak merasa bosan walaupun mereka di tekan oleh musuh-musuh mereka. Mereka menghadapinya dengan penuh ketenangan dan kegembiraan.

Begitulah sedikit sebanyak peribadi Rasulullah SAW yang suka bergurau dalam pergaulan seharian Baginda. Dengan sedemikian, suasana kehidupan akan menjadi lebih ceria dan semakin kukuh ikatan perpaduan.

Meskipun Islam tidak menghalang daripada bergurau, namun seseorang itu tidak boleh sebarangan dalam bergurau. Ini kerana terlalu banyak bergurau boleh mendatangkan kesan yang tidak baik. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Barangsiapa yang banyak ketawa, nescaya orang-orang bakal meremeh-remehkannya( merendah-rendah).”

Di sini, dapatlah disimpulkan bahawa bergurau itu diharuskan dalam Islam. Tetapi janganlah bergurau sehingga melampaui batas-batasnya dan melanggari tatacara dalam pergaulan. Dengan erti kata lain, dibenarkan bergurau dengan sopan selagi tidak menyinggung perasaan orang lain dan menghina agama itu sendiri.

Jadi, marilah kita selang selikan kehidupan dengan bergurau yang sesuai dengan tuntutan Rasulullah dan Islam itu sendiri. Mudah-mudahan kehidupan seharian kita akan menjadi lebih ceria, tenang, menjadi lebih semangat untuk beribadah kepada Allah dan akan bekerja tanpa bosan.

Oct 18, 2009

Allah Tuhanku..


Setiap hari, pelbagai masalah dan dugaan telah kita hadapi. Ianya tidak lain untuk menguji sejauh mana tahap keimanan kita kepada Allah SWT. Selain itu, ianya salah satu tanda bahawa Allah SWT sentiasa mengingati hamba-hambaNya.

Allah SWT telah menciptakan kita, merawat dan memberi segala kemudahan yang memudahkan segala urusan seharian kita. Antara nikmat yang Allah SWT telah berikan kepada kita adalah seperti penglihatan, akal, pendengaran, anggota badan dan segala kompenannya. Kesemua nikmat itu diberi agar kita mampu melakukan kerja.

“Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur.” (An-Nahl [16]: 78) “ Dialah Tuhan yang menjadikan kamu dapat berjalan di daratan, (berlayar) di lautan.” (Yunus [10]: 22)

Siapakah selain Allah SWT yang membuatkan kita tertidur?
“Allah memegang jiwa (orang) ketika matinya dan (memegang) jiwa (orang) yang belum mati di waktu tidurnya; Maka dia tahanlah jiwa (orang) yang Telah dia tetapkan kematiannya dan dia melepaskan jiwa yang lain sampai waktu yang ditetapkan” (Az Zumar [39]: 42)

Siapakah yang bertanggungjawab mengatur rezeki didunia ini yang tidak terhitung jumlahnya?

“Atau siapakah dia yang memberi kamu rezki jika Allah menahan rezki-Nya?” (Al-Mulk[67]: 21)

Siapakah pula yang mengatur keadaan tumbuh-tumbuhan?
“Apakah kamu tidak memperhatikan, bahwa Sesungguhnya Allah menurunkan air dari langit, Maka diaturnya menjadi sumber-sumber air di bumi Kemudian ditumbuhkan-Nya dengan air itu tanam-tanaman yang bermacam-macam warnanya, lalu menjadi kering lalu kamu melihatnya kekuning-kuningan, Kemudian dijadikan-Nya hancur berderai-derai.” (Az-Zumar [39]: 21)

Siapakah juga yang selainNya yang mampu membuatkan kita berbicara, tertawa dan menangis?
“Dan bahawasanya dialah yang menjadikan orang tertawa dan menangis,” (An-Najm [53]: 43)

Keadaan kita tanpa bantuan terus menerus daripada Allah SWT bagaikan komputer tanpa bateri atau punca kuasanya, tiada nilai langsung. Kita tidak akan melihat dengan mata kita, tidak boleh mendengar dengan telinga kita. Jantung akan berhenti berdegup, tiada tawa, tangisan, ucapan, udara akan berhenti berhembus, pesawat yang terbang akan terhempas, langit akan menjadi kelam dan udara akan menjadi panas. Bagaimana tidak, kesemua perkara ini hanya akan terjadi hanya dengan izin Allah SWT.

Marilah kita berfikir sejenak firman Allah ini,

“Hai manusia, ingatlah akan nikmat Allah kepadamu. Adakah Pencipta selain Allah yang dapat memberikan rezeki kepada kamu dari langit dan bumi ?” (Faathir [35]: 3)

Ayat diatas menerangkan Allah SWT bertanya kepada manusia adakah ada tuhan yang lain yang mampu menandingiNya?

Persoalannya, mengapakah kini ramai yang semakin jauh daripadaNya. Adakah hanya apabila keadaan mendesak sahaja baru kita akan kembali kepadaNya? Mengapakah manusia begitu sombong dengan keadaan dia sekarang sedangkan semua itu adalah pemberian Allah SWT?

Akhirnya, penulis menyeru kepada semua agar kita kembali kepada Allah SWT. Kita sebagai hambaNya, adalah insan yang sangat lemah dan hina. Kita hanya menjadi mulia apabila Allah memuliakan kita. Marilah kita sama-sama memuhasabah diri moga-moga kita menjadi hamba Allah yang taat dan akur dengan segala perintah dan laranganNya.

Oct 11, 2009

Mahasiswa Oh Mahasiwa


Mahasiswa merupakan satu kelompok yang berbeza berbanding dengan kelompok-kelompok yang lain seperti pekerja dan pelajar sekolah. Mahasiswa mempunyai kelebihan dari segi masa, tenaga, dan peluang mengkaji ilmu. Kesemua itu seharusnya digunakan sebaik mungkin oleh kelompok bergelar mahasiswa.

Perkataan mahasiswa merujuk pada satu kelompok pelajar yang berada di peringkat yang tinggi dalam sistem pendidikan formal sesebuah negara. Pengemblengan tenaga kelompok mahasiswa ini berteraskan daya keintelektualan yang bersifat idealis untuk mencapai matlamat yang digagaskan bersama, selaras dengan kedudukan mereka di puncak menara ilmu. Natijahnya, lahir satu arus gerakan yang sentiasa bersama dengan kebenaran (al-haq) dan sama sekali tidak bersekongkol dengan kebatilan hatta kelompok mereka ini dikenali sebagai independen Group. (Zuhdi b. Marzuki, 2002:th).

Profesor Feaur (Universiti Toronto) dalam bukunya The Conflict of Generation – The Charactor and Significance of Student Movement bahawa aktivisme mahasiswa lebih suatu pemberontakan dan kecenderungan ini lebih dilihat sebagai persoalan konflik antara generasi (generational conflict). Kondisi ini berlaku berpunca oleh kebencian kepada generasi lama yang sudah establish. Maka, mahasiswa dilihat sebagai pressure group yang anti-establisment. (Mohammad Abu Bakar, 1972:13).

Kisah perjuangan mahasiswa telah mendapat tempat dalam akhbar-akhbar luar negara. Kewujudan "Sudut Pidato" atau "Speaker Corner" pada 27hb. Mei, 1966 telah memberikan kesan yang besar dalam gerakan mahasiswa. Perisitiwa ini telah memberi erti yang besar dalam perjuangan mahasiswa Universiti Malaya kerana hampir semua demontrasi yang diadakan selepas tarikh tersebut (khususnya sebelum AUKU) bermula dengan perbahasan di sudut tersebut.

Di ‘Speaker Corner’ mahasiswa-mahasiswa bebas mengadakan dailog dan perbahasan mengenai sebarang masalah yang berlaku samada dalam kampus mahupun masyarakat sekitar. Selepas detik ini kegiatan mahasiswa semakin menonjol. Mereka mula membuat penentangan-penentangan terhadap kegiatan-kegiatan yang tidak diingini yang dilakukan oleh pihak pemerintah atau kuasa-kuasa luar negara. Penentangan ini dilakukan secara terbuka, iaitu dengan mengadakan simposium, debat ataupun berdemonstrasi.

Di AS, sebuah universiti di Evanston, Illinois berhak menjadi role-model terbaik untuk mendorong mahasiswa tempatan kita sekarang untuk menggunakan kehebatan mereka setinggi mungkin. Northwestern University merupakan universiti terbaik di AS dalam bidang kewartawanan. Universiti ini telah ditubuhkan Center on Wrongful Convictions hasil usahasama fakulti kewartawanan dan fakulti undang-undang universiti ini.

Tenaga kerja organisasi ini membariskan pelajar-pelajar kewartawanan dan perundangan dan dibantu oleh beberapa orang staf sepenuh masa yang merupakan pakar dalam pelbagai bidang perundangan sivil khususnya perundangan homisid. Organisasi ini turut disertai oleh sukarelawan dari seluruh pelusuk AS di samping menawarkan latihan kepada pelajar-pelajar kewartawanan atau undang-undang yang mempamerkan kecemerlangan akademik untuk membantu kelancaran program organisasi ini. Dengan bantuan kewangan yang mantap daripada syarikat-syarikat swasta dan derma ikhlas tahunan, organisasi ini telah berjaya menyelamatkan puluhan individu daripada menjalani hukuman mati atau penjara untuk jenayah yang tidak pernah mereka lakukan.

Kejayaan paling cemerlang organisasi ini adalah apabila mereka berjaya membuktikan Anthony Porter tidak bersalah atas dakwaan membunuh. Anthony Porter hanya 50 jam sebelum dihukum mati. Dalam tempoh sebegitu singkat, usaha kolektif organisasi ini telah berjaya mengumpulkan bukti-bukti yang kukuh bagi membebaskan beliau daripada semua tuduhan.

Kejayaan ini telah membuka peluang untuk siasatan lanjut yang akhirnya membuktikan korupsi polis Chicago yang telah memaksa pengakuan palsu seorang saksi palsu. Berkat usaha gigih mereka juga telah berjaya menemui pesalah sebenar yang berselindung di sebalik dakwaan palsu terhadap Anthony Porter disamping membantu beliau memfailkan saman terhadap polis Chicago atas dakwaan pemalsuan bukti dan korupsi.

Center on Wrongful Convictions ini merupakan satu insiatif mahasiswa Chicago ke arah menjamin keadilan sistem perundangan negeri Illinois. Jika mahasiswa di AS boleh melakukannya, apakah mustahil bagi pelajar-pelajar IPTA tempatan turut memiliki kaliber untuk melaksanakan program sebegini rupa di Malaysia?

Akhirnya setiap kelebihan yang dinikmati oleh mahasiswa seharusnya digunakan semaksimum mungkin. Mahasiswa sebagai kelompok yang berilmu dan bergelumang dalam dalam kelompok akademik, sewajarnya membentuk jati diri sebagai seorang pemimpin Negara di masa hadapan. Mahasiswa bukan seperti lembu yang hanya menjadi pak turut kepada tuannya. Mahasiswa seharusnya mempunyai satu pendirian yang utuh dan kukuh dalam diri masing-masing berdasarkan kedudukan mahasiswa yang intelek dan pengkaji ilmu.

*sumber diambil daripada beberapa artikel dan telah disunting oleh penulis. Sumber : http://idealis-mahasiswa.net/ - http://zainulfaqar.wordpress.com/

Oct 9, 2009

Wahai manusia..ingatlah Allah selalu..


Manusia sifatnya suka dipuji. Tambah menggembirakan apabila mereka dipuji dikhalayak ramai. Ini kerana bagi mereka, mereka rasa dihargai dan dan dihormati. Namun, sedar atau tidak, semua pujian dan kata-kata tersebut datangnya dari pencipta kita, Allah SWT. Jika Allah mahu kita dihina, sekelip mata sahaja perkara itu boleh menimpa ke atas diri kita.

Timbul beberapa persoalan. Sepanjang hidup kita, berapa kalikah kita memuji dan mengingati pencipta kita? Dalam sehari pula,berapa kali kita memuji keAgungan Allah SWT? Berapa banyak masakah yang telah kita peruntukkan dalam sehari untuk memuji dan mengingati Allah? Cukupkah hanya sekadar dilakukan selepas solat? Tepuk dada tanyalah diri.


Pesan Imam Bukhari: “Zikir adalah tugas harian setiap muslim kerana ia mendatangkan kekuatan dan ketenangan. Berzikirlah setiap masa moga Allah akan ingat kita pada setiap masa.”
Zikir bukanlah perkara yang sukar. Zikir merupakan perkara yang paling senang sekali bagi kita mendapat pahala dan diampunkan dosa.

Firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Ahzab ayat 35 yang bermaksud: ‘Lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, maka Allah Telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar.’

Ayat di atas secara jelas menyebut janji Allah pada hambanya yang banyak berzikir. Allah akan memberi pahala yang berlipat kali ganda beserta keampunan daripadaNya. Jadi terpulanglah kepada kita bagaimana kita hendak mengunakan ruang dan peluang yang telah disediakan dengan semaksimum mungkin.

Sebaik-baik zikir menurut Imam Nawawi adalah dengan menggunakan hati dan lidah. Namun jika kita ingin memilih antara keduanya, zikir melalui hati adalah pilihan yang lebih baik. Hal ini kerana secara dasarnya zikir dengan cara tersebut boleh dilakukan dalam semua keadaan. Percayalah, apabila zikir sudah menyinari hati kita, hati kita akan menjadi hidup dan begemerlapan dengan kemanisan iman.

Lagi hebat, perkara ini sendiri diakui oleh para saintis barat. Pada tahun 1967, Profesor Dr.
Herbert Benson dari Fakulti Perubatan Harvard melakukan kajian terhadap orang yang bermeditasi. Beliau mendapati mereka menggunakan oksigen 17% lebih rendah daripada biasa. Jantung mereka berdenyut dengan kadar yang lebih rendah dan gelombang theta dalam otak meningkat dengan jelasnya.

Gelombang theta ialah gelombang otak yang wujud apabila seseorang berada disaat yang amat menenangkan terutama ketika hampir terlena. Dalam buku beliau, The Relaxation Response, Dr Herbert Benson menyatakan meditasi mampu mengawal tekanan dan menjadikan seseorang lebih tenang malah lebih ceria.

Disini kita boleh menggambarkan solat serta zikir yang khusyuk mpama meditasi yang mana ia melebihi meditasi biasa. Ia bermaksud solat dan zikir yang khusyuk terdapat unsure-unsur meditasi. Tetapi ianya sangat berbeza dengan meditasi biasa kerana solat dan zikir yang dilakukan oleh umat Islam ialah satu ibadah.

Akhirnya, marilah kita bersama-sama memberi sedikit masa untuk mengingati dan memuji Allah SWT. Ia merupakan amalan yang mengandungi pelbagai hikmah dan rahsia yang maha agung.

Oct 1, 2009

Belajar dari orang yang berjaya

“Gigi kamu sumbing, halkum kamu tersembul sangat dan kamu bercakap terlalu perlahan.” Seorang eksekutif Universal Pictures ketika mengetepikan Clint Eastwood pada tahun 1959.

“Kamu tak akan sampai kemana-mana nak. Kamu sepatutnya balik memandu trak semula.” Jimmy Denny, pengurus Grand Ole Opry, ketika memecat Elvis Presley selepas sebuah persembahan tahun 1954.

Apabila F. W. Woolworth mencadangkan idea kedai lima sen sepuluh sen (nickel-and-dime store) kepada bos beliau, bosnya menolak bulat-bulat dengan berkata, “Idea itu terlalu berisiko dan tiada barang yang cukup yang boleh dijual dengan harga lima send an sepuluh sen.”

Bertahun-tahun kemudian, bekas bos tersebut didengar merungut, “Setakat yang boleh kukira, setiap perkataan yang aku lafazkan untuk menolak Woolworth telah merugikan aku sebanyak kira-kira sejuta dolar.

Junko Tabei menjadi wanita pertama yang sampai di puncak Gunung Everest. Beliau sebagai seorang isteri dan ibu, terpaksa menghadapi cabaran mengutip wang untuk membiayai ekspidisi-ekspidi beliau dan membesarkan anaknya di samping menumpukan impiannya. Apa yang lebih menarik adalah beliau telah mendaki hampir 20 kemuncak gunung yang tertinggi di dunia ini.

Tahun 1967, Christiaan N. Barnard menjadi orang pertama yang melakukan pembedahan jantung manusia. Tahun 1974 beliau juga telah menjadi orang pertama yang memindahkan jantung kedua pada seorang pesakit dengan menyambung peredaran darah dua jantung tersebut supaya berfungsi menjadi satu. Disini beliau telah berjaya membuktikan manusia boleh hidup tanpa jantung.

Kisah diatas boleh memberi banyak pengajaran kepada kita. Mereka tidak mengendahkan kata-kata kejian yang di timpakan keatas mereka. Bahkan mereka berjaya membuktikan apa yang diperkatakan kepada mereka adalah salah sama sekali.

Akhirnya ingatlah kegagalan bukanlah pengakhiran kepada sebuah cerita. Kegagalan yang kita tempuhi sewajarnya menjadi batu loncatan kepada kita untuk kita menjadi lebih berjaya. Apapun ianya terpulang kepada kita semua bagaimana kita hendak berjaya bangkit daripada kegagalan yang telah kita tempuhi.
Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 .: Ahli Parlimen 2030 :.. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan