Oct 9, 2009

Wahai manusia..ingatlah Allah selalu..


Manusia sifatnya suka dipuji. Tambah menggembirakan apabila mereka dipuji dikhalayak ramai. Ini kerana bagi mereka, mereka rasa dihargai dan dan dihormati. Namun, sedar atau tidak, semua pujian dan kata-kata tersebut datangnya dari pencipta kita, Allah SWT. Jika Allah mahu kita dihina, sekelip mata sahaja perkara itu boleh menimpa ke atas diri kita.

Timbul beberapa persoalan. Sepanjang hidup kita, berapa kalikah kita memuji dan mengingati pencipta kita? Dalam sehari pula,berapa kali kita memuji keAgungan Allah SWT? Berapa banyak masakah yang telah kita peruntukkan dalam sehari untuk memuji dan mengingati Allah? Cukupkah hanya sekadar dilakukan selepas solat? Tepuk dada tanyalah diri.


Pesan Imam Bukhari: “Zikir adalah tugas harian setiap muslim kerana ia mendatangkan kekuatan dan ketenangan. Berzikirlah setiap masa moga Allah akan ingat kita pada setiap masa.”
Zikir bukanlah perkara yang sukar. Zikir merupakan perkara yang paling senang sekali bagi kita mendapat pahala dan diampunkan dosa.

Firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Ahzab ayat 35 yang bermaksud: ‘Lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, maka Allah Telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar.’

Ayat di atas secara jelas menyebut janji Allah pada hambanya yang banyak berzikir. Allah akan memberi pahala yang berlipat kali ganda beserta keampunan daripadaNya. Jadi terpulanglah kepada kita bagaimana kita hendak mengunakan ruang dan peluang yang telah disediakan dengan semaksimum mungkin.

Sebaik-baik zikir menurut Imam Nawawi adalah dengan menggunakan hati dan lidah. Namun jika kita ingin memilih antara keduanya, zikir melalui hati adalah pilihan yang lebih baik. Hal ini kerana secara dasarnya zikir dengan cara tersebut boleh dilakukan dalam semua keadaan. Percayalah, apabila zikir sudah menyinari hati kita, hati kita akan menjadi hidup dan begemerlapan dengan kemanisan iman.

Lagi hebat, perkara ini sendiri diakui oleh para saintis barat. Pada tahun 1967, Profesor Dr.
Herbert Benson dari Fakulti Perubatan Harvard melakukan kajian terhadap orang yang bermeditasi. Beliau mendapati mereka menggunakan oksigen 17% lebih rendah daripada biasa. Jantung mereka berdenyut dengan kadar yang lebih rendah dan gelombang theta dalam otak meningkat dengan jelasnya.

Gelombang theta ialah gelombang otak yang wujud apabila seseorang berada disaat yang amat menenangkan terutama ketika hampir terlena. Dalam buku beliau, The Relaxation Response, Dr Herbert Benson menyatakan meditasi mampu mengawal tekanan dan menjadikan seseorang lebih tenang malah lebih ceria.

Disini kita boleh menggambarkan solat serta zikir yang khusyuk mpama meditasi yang mana ia melebihi meditasi biasa. Ia bermaksud solat dan zikir yang khusyuk terdapat unsure-unsur meditasi. Tetapi ianya sangat berbeza dengan meditasi biasa kerana solat dan zikir yang dilakukan oleh umat Islam ialah satu ibadah.

Akhirnya, marilah kita bersama-sama memberi sedikit masa untuk mengingati dan memuji Allah SWT. Ia merupakan amalan yang mengandungi pelbagai hikmah dan rahsia yang maha agung.

0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 .: Ahli Parlimen 2030 :.. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan