Oct 20, 2009

Hidup Sentiasa kena Hepi


Dalam perbualan seharian, kita sebagai manusia biasa semestinya tidak terlepas dari bergurau. Malahan bergurau itu sangat disenangi oleh hampir setiap orang kerana bergurau diibaratkan bagai bunga dalam pergaulan dan penawar di kala duka.

Dalam sirah sendiri, Rasulullah sendiri pernah bergurau dengan ahli keluarga dan para sahabat. Menurut hadis yang bersumberkan Hassan, ada seorang nenek menghadap Rasulullah SAW. Lantas nenek itu berkata, “Wahai Rasulullah, doakanlah agar saya dapat masuk ke dalam syurga,”.

Kemudian baginda berkata, “Wahai nenek, ketahuilah bahawa di syurga tidak ada orang yang tua seperti kamu.” Sebaik sahaja mendengar jawapan Rasulullah SAW, nenek itu terus menangis.

Tetapi kemudian sambil tersenyum baginda bersabda lagi yang bermaksud, “Bukankah aku katakan bahawa tidak ada orang tua masuk syurga. Ini kerana semuanya telah berubah menjadi gadis-gadis perawan.” Selepas mendengar penjelasan Rasulullah SAW, nenek itu terus berhenti menangis lalu tertawa. Dia mengerti kerana dirinya kelak akan menjadi gadis di syurga.

Dalam satu peristiwa yang lain. Rasulullah SAW bersabda kepada salah seorang isteri sahabat daripada golongan Ansar, “Hai Fulanah (panggilan umum orang perempuan yang belum di ketahui namanya), segeralah pulang temui suamimu kerana pada kedua-dua belah matanya ada keputih-putihan.”Sebaik sahaja mendengar kata-kata Rasulullah SAW tersebut, isteri sahabat tadi terus pulang untuk menemui suaminya.

Apabila si suami melihat si isteri pulang dengan keadaan tergesa-gesa, ia pun menegur, “Wahai isteriku, mengapa kamu kelihatan pulang dalam keadaan tergesa-gesa?” Jawab si isteri, “Ya, sebab saya di beritahu oleh Rasulullah SAW bahawa kedua-dua belah matamu ada keputih-putihan,” Jawab si suami, “Ah, selain ada keputih-putihan, ada juga hitamnya,”. Setelah kedua-duanya mengerti apa tujuan Rasulullah berkata begitu, maka mereka hanya mampu ketawa.

Berdasarkan peristiwa-peristiwa diatas, kita boleh melihat Rasulullah tidak pernah terlepas dari bergurau dengan orang sekeliling Baginda. Disebabkan sifat bergurau ini, Rasulullah mudah didekati oleh para pengikutnya sekaligus mengembangkan lagi gerak kerja dakwahnya. Malahan mereka tidak merasa bosan walaupun mereka di tekan oleh musuh-musuh mereka. Mereka menghadapinya dengan penuh ketenangan dan kegembiraan.

Begitulah sedikit sebanyak peribadi Rasulullah SAW yang suka bergurau dalam pergaulan seharian Baginda. Dengan sedemikian, suasana kehidupan akan menjadi lebih ceria dan semakin kukuh ikatan perpaduan.

Meskipun Islam tidak menghalang daripada bergurau, namun seseorang itu tidak boleh sebarangan dalam bergurau. Ini kerana terlalu banyak bergurau boleh mendatangkan kesan yang tidak baik. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Barangsiapa yang banyak ketawa, nescaya orang-orang bakal meremeh-remehkannya( merendah-rendah).”

Di sini, dapatlah disimpulkan bahawa bergurau itu diharuskan dalam Islam. Tetapi janganlah bergurau sehingga melampaui batas-batasnya dan melanggari tatacara dalam pergaulan. Dengan erti kata lain, dibenarkan bergurau dengan sopan selagi tidak menyinggung perasaan orang lain dan menghina agama itu sendiri.

Jadi, marilah kita selang selikan kehidupan dengan bergurau yang sesuai dengan tuntutan Rasulullah dan Islam itu sendiri. Mudah-mudahan kehidupan seharian kita akan menjadi lebih ceria, tenang, menjadi lebih semangat untuk beribadah kepada Allah dan akan bekerja tanpa bosan.

0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 .: Ahli Parlimen 2030 :.. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan