Kes demi kes melibatkan gejala seks bebas berlaku. Pelbagai forum dan wacana telah diadakan. Namun, ia tidak mampu membendung masalah ini dari berlarutan. Bahkan menjadi seakan satu virus yang tidak mampu di hapuskan bahkan semakin kuat bila di tekan.
Mengapa perkara ini boleh berlaku? Tambah menyedihkan, ia melibatkan masyarakat Islam! Jika dilihat dari sudut Islam sebenar, Islam melarang keras perbuatan yang menghampiri zina. Inikan pula berzina!
Terbaru ia melibatkan remaja dibawah umur. Mengikut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini saja, JKM mencatat 111 kes remaja bawah umur hamil berbanding 113 kes sepanjang 2009 dan 107 kes pada 2008.
Jumlah itu bagaimanapun dipercayai lebih tinggi. Ia kerana statistik diatas sekadar dirujuk kepada JKM untuk mendapatkan perlindungan di Taman Seri Puteri, selain statistik tiga hospital kerajaan – Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.
Bagaimana pula dengan statistik dari Hospital kerajaan yang lain? Sejumlah 135 Hospital Kerajaan terdapat diseluruh Malaysia ini. Manakala statistik diatas sekadar bertumpu kepada 3
Hospital sahaja dan yang mendapat perlindungan dengan JKM.
Bayangkan adik-adik kita yang masih bersekolah menengah sudah hamil sebelum ia tamat belajar lagi. Tidakkah ia sesuatu yang sangat membimbangkan?
Malah, lebih membimbingkan mereka inilah generasi pelapis Negara pada masa hadapan! Merekalah yang akan meneruskan perjuangan membela bangsa Malaysia di persada antarabangsa kelak.
Dengan keadaan sebegini, mampukah mereka mentadbir Malaysia? Ia semestinya sangat mustahil. Bahkan dikhuatiri mereka akan merosakkan Malaysia dan menjadikan Malaysia Negara mundur pada masa hadapan.
Sia-sialah pengorbanan yang telah dilakukan oleh generasi dahulu dan kini yang telah berkorban harta, benda dan nyawa demi memakmurkan Malaysia tercinta.
Perkara ini seharusnya dipandang serius oleh kerajaan Malaysia dan pihak berwajib. Statistik ini jangan sekadar dibuat dan disimpan didalam peti! Buat kajian dan ambil tindakan sewajarnya. Hentikan virus ini dari terus membunuh anak bangsa kita!
Pelbagai perkara boleh dilakukan. Antaranya memperkasakan kembali sistem pendidikan di Malaysia ini. Terapkan unsur-unsur modal insan dalam pembelajaran anak-anak kita.
Para guru pula dilatih bukan sekadar hebat dalam mengajar, malah yang lebih penting mampu mendidik anak murid mereka menjadi insan yang berakhlak mulia. Seterusnya melahirkan insan bersahsiah tinggi.
Sistem penguatkuasa undang-undang perlu dikuatkuasa sebaiknya. Tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pesalah. Jangan sekadar duduk goyang kaki menunggu gaji tidur sahaja. Laksanakan amanah yang diberi dengan sebaiknya.
Wakil rakyat seharusnya memainkan peranan paling penting dalam membendung gejala ini. Peranan mereka menyedarkan masyarakat sekeliling sangat penting. Bukan sekadar sibuk berkokok isu itu dan ini, tetapi rakyat mereka tenat melawan virus nafsu ini.
Kesimpulannya, kesemua pihak harus memainkan peranan yang penting dalam membendung virus ini dari berlarutan. Remaja kita sangat memerlukan perhatian kita menghadapi virus jahat ini.
Tidak dinafikan hal ini sukar dibuang namun tidak mustahil dilakukan. Ia memerlukan iltizam dari semua pihak tanpa mengira fahaman politik dan bangsa.
0 ulasan:
Post a Comment