Jun 26, 2009

Oh Bahasa Tercintaku...


Bahasa jiwa bangsa. Ia antara bidalan yang sering kita dengar. Seterusnya bagaimana Samuel Johnson mengatakan “Saya sedih apabila ada bahasa yang lenyap, kerana bahasa adalah asal daripada bangsa.” Daripada kenyataannya, dapatlah kita simpulkan bahawa bahasa sangat penting bagi melambangkan identiti sesuatu bangsa itu sendiri. Jika bukan bangsa itu sendiri yang mempertahankan bahasanya sendiri, bangsa manakah yang akan kehadapan mempertahankan bahasanya itu? Kalau ada,bolehlah kita menghapuskan simpulan bahasa kucing bertanduk.

Beberapa hari lagi keputusan secara rasmi mengenai PPSMI akan diumumkan oleh Menteri Pelajaran merangkap Timb Perdana Menteri kita yakni YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin. Setelah sekian lama isu ini hangat diperdebatkan oleh pelbagai pihak, maka beberapa hari lagi isu ini akan dimuktamadkan sendiri oleh pihak Kerajaan. Moga-moga keputusan yang dibuat adalah terbaik untuk semua pihak. Terutama sekali bagi pelajar di luar Bandar yang sangat tertekan sejak dasar ini dilaksanakan.

Kali ini penulis ingin membawa pembaca sekalian untuk kita sama-sama menilai sendiri, dimanakah kedudukan bahasa Melayu itu sendiri pada zaman serba canggih ini. Jika dahulu kita dapat melihat bagaimana pemimpin dan pejuang tanah air kita cekal dan bersemangat mempertahankan bahasa Melayu daripada dipijak-pijak oleh bangsa lain, namun hari ini kita dapat melihat sebaliknya. Sedih juga hendak menghadapi realiti ini, namun itulah hakikat kehidupan.

Tidak beberapa lama dahulu kita dikejutkan dengan kenyataan berani seorang artis yang mengatakan dia kelihatan bodoh apabila bercakap bahasa Melayu. Aduh, biadap sungguh kenyataannya itu. Jika dilihat sendiri didalam kamus Dewan Bahasa, bangsa Melayu ada 3 ciri utama dan salah satu daripadanya adalah bercakap bahasa Melayu. Namun kini, ia hanya tinggal kenangan yang boleh diletak didalam Arkib Negara dijadikan kenangan untuk ditatap oleh generasi Alam Siber.

Jika melihat artikel yang dikeluarkan oleh Berita Harian bertarikh 9 Nov 2008, ia mengatakan bahasa Melayu kini semakin meluas penggunaannya di Mekah dan Madinah. Bahkan tidak mustahil bakal menjadi bahasa utama mengatasi bahasa Arab itu sendiri. Tidak banggakah kita sebagai bahasa Melayu apabila membaca artikel seperti ini? Tepuk dada tanyalah diri.


Bahasa Melayu bukan bahasa sebarangan. Bahasa ini mempunyai kekuatannya sendiri. Bahasa ini pernah menjadi bahasa lingua franca pada masa kegemilangan Melayu Melaka dahulu. Bahasa ini juga mempunyai banyak kaitan dengan bahasa arab. Jika kita lihat sendiri, banyak perbendaharaan kata bahasa Melayu dipinjam daripada bahasa Arab. Ini sekaligus menyebabkan bangsa Melayu tidak kekok apabila mendengar bahasa Arab dan mempermudahkan lagi dalam proses pembelajaran bahasa Al-Quran itu sendiri.

Kalau ingin dijadikan alasan kemajuan dan kecanggihan zaman kini menyebabkan kita perlu belajar bahasa asing, baik kita melihat kembali zaman kegemilangan ilmuwan Islam pada zaman Khalifah Makmun. Mereka menjadikan Bait Al-Hikmah sebagai pusat ilmu. Segala buku daripada bahasa asing diterjemahkan kedalam bahasa Arab untuk dijadikan bahan rujukan. Alhasil bahasa Arab menjadi bahasa utama pada masa itu untuk satu jangka masa yang amat lama.

Tidak mustahil akan ada cara lain yang lebih berkesan untuk memajukan bangsa kita sendiri selain daripada mengorbankan bahasa Melayu itu sendiri. Jika difikir-fikir balik, kalau bukan bangsa melayu sendiri yang mempertahankan bahasanya sendiri, bangsa manakah yang akan tampil mempertahankan bahasa kita daripada terus lenyap daripada muka bumi ini. Cukup-cukuplah tulisan Jawi kita hampir pupus, namun bahasa kita tetap ada dan terus diguna pakai secara rasmi atau tidak rasmi sehinggalah ke akhir hayat bangsa Melayu di alam ini.

Jun 25, 2009

Peringatan Bersama


Cuti-cuti Malaysia ni, agak rajin juga aku membeli majalah sekadar untuk menambah ilmu dan mengetahui isu semasa. Malu juga apabila ingin berbicara dengan sahabat-sahabat tetapi tidak tahu apa yang telah berlaku disekeliling kita. Tidak seronok juga kalau sekadar bersembang kosong dengan kawan-kawan. Hendak juga ada fakta dan hujah. Baru ada ummphh!

Berdasarkan pembacaanku, antara yang menarik bagiku dan juga mungkin bolehku berkongsi bersama dengan pembaca sekalian adalah tentang hari Akhirat. Yakni hari terakhir bumi wujud di alam ini. Hari dimana seorang emak sudah tidak kenal anak yang disusuinya, hari dimana seorang kaya sudah lupa harta kemewahannya, dan juga hari seorang perempuan yang mengandung, boleh gugur kandungannya. Ia adalah hari dimana manusia kehilangan akalnya untuk berfikir lantaran mahu menyelamatkan diri masing-masing.

Kali ini sengajaku membawa pembaca sekalian dengan tajuk ini. Hal ini kerana secara suka atau tidak, kita semakin menghampiri Hari Qiamat. Banyak tanda-tanda samada sedar atau tidak telah terjadi di sekeliling kita. Jadi sebelum pintu taubat tertutup rapat, marilah kita bersama-sama memuhasabah diri kita sepanjang diberi nikmat hidup oleh Allah SWT, adakah amalan kita sudah cukup untuk dibawa ke hari Akhirat kelak?

Beriman kepada Hari Akhirat (hari qiamat) adalah rukun Iman yang kedua. Ia bererti Qiamat itu pasti terjadi. Bila masanya ia akan berlaku dan terjadi, kita dan Rasulullah tidak tahu melainkan Pencipta kita semua yakni Allah SWT.

Firman Allah didalam surah Al-A’raf ayat 187:
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari qiamat : “bilakah masa datangnya?’ katakanlah : “ Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapapun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia.”

Allah SWT Maha Adil. Walaupun dia tidak memberi tarikh keramat itu bila akan terjadi, tetapi dia memberi tanda-tanda bila akan terjadi hari tersebut. Antaranya kemunculan Dajjal dimuka bumi ini, kemunculan pemimpin Umat Islam Imam Mahdi, pecahnya benteng Yakjuj dan Makjuj, ramainya kaum hawa berbanding kaum Adam sehingga di nisbahkan 1 kepada 50 orang, dan terbitnya matahari dari barat ke timur serta lain-lain lagi.

Apabila telah muncul salah satu tanda-tanda ini, maka pada saat dan ketika itu, pintu taubat kita telah di tutup. Ruang kemaafan yang telah di buka selus-luasnya oleh Allah SWT sebelum ini telah di tutup serapat-rapatnya. Jadi marila kita sama-sama berdoa selalu moga-moga sebelum saat tersebut sampai kita semua sempat menyucikan diri kita dari segala dosa kepada Allah SWT dan makhluk ciptaannya. Amin..

Jun 22, 2009

Kejamnya manusia ini

Alangkah terasa sedih dihati ini apabila membelek-belek akhbar, pelbagai masalah jenayah berlaku dalam Malaysia dewasa ini. Hati ini berasa sangat-sangat bimbang tambahan apabila memikirkan bagaimana dengan keluargaku. Selamatkah mereka sekarang? Bagaimana dengan kawan-kawanku pula, masih hidup lagikah mereka? Kalau hidup masih sempurnakah mental dan fizikal mereka? Oh Tuhanku, ku berdoa kepadamu semoga melindungi semua orang yang aku sayangi agar mereka dapat meneruskan kehidupan dimuka bumimu ini dengan sejahtera. Amiinn…

Kali ini aku ingin mengajak para pembaca sekalian supaya bersama-sama denganku untuk kita melihat sendiri realiti keadaan rakyat Malaysia kita ini. Sesuai dengan tajuk tulisan ku ini, aku ingin membuka beberapa fakta kes yang hanya berlaku pada minggu lepas supaya bolehlah kita fikir bersama. Aku mengatakan kejam kerana yang melakukannya adalah orang disekeliling kita sendiri. Tidaklah kita perlu melihat jauh andaikata dalam kalangan orang sekeliling kita sendiri sanggup memuaskan keinginan diri sendiri dengan menjadikan orang terdekat sebagai mangsa mereka.

Antara artikel yang mengejutkanku adalah bagaimana seorang guru moral sanggup menyuruh anak muridnya melakukan perkara yang di luar batas kemanusiaan sebagai seorang manusia malahan dirinya sebagai seorang guru. Dia menyuruh anak muridnya berbogel seterusnya merakam gambar mereka. Inilah yang dinamakan harapkan pagar, pagar makan padi. Sebagai seorang guru yang memegang tanggung jawab sebagai pendidik, dia perlu menunjukkan contoh yang baik. Namun telah menjadikan amanah yang dipegang sebagai tempat pemuas nafsunya. Berita ini ku boleh dirujuk pada berita harian bertarikh 17 Jun 2009.

Seterusnya bagaimana seorang abang sanggup menukar adik kandungnya sendiri dengan najis dadah kepada seorang Along. Kejadian di Alor star ini berlaku walaupun Ibu mereka baru sahaja meninggal dunia beberapa hari sebelum itu. Mujur adiknya yang tidak bersekolah itu sempat melarikan diri. Harga yang ingin ditukar pula hanyalah kurang daripada RM100. Sebagai seorang abang, dia sepatutnya memberikan adiknya tempat berlindung seterusnya bertindak melindungi adiknya dari bahaya. Namun dialah yang menjadi ancaman kepada keselamatan adiknya itu. Berita ini pula boleh di rujuk pada harian metro bertarikh 17 Jun 2009.

Kisah seterusnya yang berlaku di Kuantan adalah bagaimana seorang bapa menjadikan anak perempuannya yang baru berusia 11 tahun sebagai pemuas nafsu serakahnya. Kejadian ini terbongkar apabila guru yang mengajar menyedari perubahan yang berlaku pada pelajarnya itu. Tidak perlulah kita mahu melihat perogol bersiri yang berlambak di tepi jalan andaikata didalam rumah sendiri ada manusia yang berhati binatang ini. Kejadian ini boleh dirujuk pada Harian metro bertarikh 21 Jun.

Aduh! Ini baru sekelumit kes yang berlaku di Malaysia pada minggu lepas. Perkara yang ingin kupersoalkan disini adalah mengapa perkara ini terjadi tambahan yang melakukannya adalah orang yang sepatutnya melindungi ahli mereka. Sedih sungguh apabila membaca realiti ini. Sangat-sangat kejam dan tidak berhati perut!! Semoga kita dan semua orang yang kita sayang dijauhi daripada kejadian yang tidak diingini ini. Amin..

Jun 15, 2009

My Sweet Memories


Ya Allah! Alangkah seronoknya hati ini dapat bersua kembali dengan sahabat-sahabat sekolah lamaku ini. Sungguh tidak sangka dapat berjumpa dengan kalian setelah hampir 3 tahun kita meninggalkan bumi Idrisiah tercinta. Aku merasa sangat-sangat bersyukur kerana di beri keizinan oleh Allah SWT untuk bertemu sua dengan kalian di sekolah. Terima kasih tidak terhingga juga ku ucapkan kepada sahabatku,saudara Zainal kerana menganjurkan reunion ini. Semoga Allah SWT memberkati hidupmu selalu, amiinn..

Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazali pernah berpesan, amalan persaudaraan adalah amalan mulia yang dilakukan oleh para nabi dan rasul sejak dahulu lagi. Bahkan sesiapa yang cuba merosakkannya akan dihukum oleh Allah SWT.

Dalam diam-diam, banyak perubahan yang telah ku lihat pada diri sahabat-sahabatku selama perpisahan kita samada fizikal mahupun sikap. Nasiblah baru beberapa tahun jea kita berpisah. Andaikata kalau 10 tahun kita berpisah, secara jujurnya aku merasa agak sukar untuk mengenal kalian kalau kita bertemu. Mungkin pada masa itu ada dalam kalangan kita ada yang sudah berkeluarga dan juga sudah berubah rupa paras fizikal. Apapun perubahan yang berlaku pada fizikal kita, kenangan kita bersama tetap sama. Tidak akan berubah selamanya dan sentiasa tersemat di dalm hati.

Pertemuan walaupun singkat, tetapi amat bermakna bagiku. Bagiku ia boleh dijadikan sebagai satu jambatan yang menghubungkan kita semua yang telah lama berpisah untuk mengembara menuntut ilmu. Kalau jumpa pun tidaklah seramai ini. Ia seterusnya akan mengikat hati kita semua dengan satu ikatan silaturrahim yang kukuh. Insyallah..



Bila dah berjumpa, teringat kembali memori kita bersama. Di bumi Idrisiah inilah kita semua di tarbiyyah dan di bentuk untuk menjadi insan yang berguna. Bermula daripada orientasi selama 40 hari sehinggalah majlis perpisahan kita selepas SPM. Semunya sangat bermakna bagi diriku. Ada pahit, manis, suka, duka, tawa dan sebagainya. 5 tahun kita menjalin persahabatan, bermacam perkara telah kita lalui bersama.

Akhirnya, ingin kukatakan indah sekali pertemuan kita itu. Masing-masing bertanya khabar dan bersenda gurau. Tidak kering gusi ini dari mula berjumpa hinggalah ke akhir perjumpaan kita itu. Inilah yang uniknya dengan batch kita. Ada sahaja benda yang mencuit hati. Rasa bahagia sangat apabila bersama. Tiada sengketa, lara mahupun duka. Kalian memang best! Harapanku semoga kita semua dapat berjumpa lagi di lain masa. Good luck to all of you and all the best!

Jun 13, 2009

sekadar lintasan mindaku..


Sesekali hatiku berbicara alangkah indahnya hidup ini jika menjadi seorang yang pandai dan bijak seperti Albert Enstein, kaya dan hidup mewah seperti Charles Wang, hebat seperti Muhammad Ali, dan seterusnya menjadi pemimpin yang hebat seperti Nelson Mandela. Nama aku akan diingati generasi akan datang meskipun jasadku sudah dimamah bumi. Namun, aku sedar, bukan mudah hendak menjadi seperti mereka. Ia memerlukan satu pengorbanan dan kesanggupan untuk mencapai semua itu.

Bagiku tokoh-tokoh tersebut tidak dapat dinafikan bahawa mereka semua hebat dan nama mereka kekal terpahat di dalam sejarah. Apa yang ingin ku bawa di sini ialah sekadar perkongsian kisah di sebalik kejayaan mereka yang bukanlah semudah yang disangka.

Albert Einstein ,sebagai seorang bayi,dia lambat bertutur dan sebagai seorang murid,dia tidak banyak belajar; banyak mengelamun,bertanya soalan-soalan yang pelik dan tidak masuk akal. Beliau kemudiaannya gagal dalam peperiksaan kemasukannya ke sekolah Politeknik Zurich di Switzerland. Namun akhirnya telah menjadi salah seorang ahli fizik yang hebat. Teori-teorinya telah mengubah pandangan manusia terhadap alam semesta. Antara teori termasyhur adalah teori relitivitinya.

Charles Wang seorang ketua Eksekutif Computer Associates(CA) amat menekankan konsep matlamat asal kepada sesuatu perkara. Dahulunya dia hanyalah seorang pelajar sederhana yang membenci nombor dan formula matematik. Namun pada tahun 1967, dia telah mendapat kelulusan dalam bidang matematik dari Koloj Queens, semasa berumur 23 tahun. Dia seorang yang sangat benci kepada perbelanjaan yang sia-sia dan sangat pandai menggunakan peluang di depan mata.

Muhammad Ali merupakan seorang mangsa penyakit “Parkinson’s Disease”, dan kini merupakan sumber ilham bagi jutaan orang kurang upaya. Selain itu juga, Helen Keller,seorang wanita yang kehilangan penglihatan, pendengaran dan kebolehan bertutur sebelum berusia dua tahun. Akhirnya bukan sahaja belajar membaca, menulis dan bertutur malah menjadi pengarang beberapa buah rencana, buku dan riwayat hidup.


Dan terakhir Nelson Mandela salah seorang tahanan politik yang terlama di dunia. Dipenjarakan selama lebih daripada suku abad. Akhirnya beliau menjadi presiden Afrika Selatan ketika berusia 76 tahun! Sungguhpun Mandela dilahirkan dalam keluarga diraja, beliau dibesarkan di sebuah kampung yang sangat dhaif serta kekurangan kemudahan asas.

Kesemua mereka bukanlah dilahirkan dalam keadaan senang dan selesa. Mereka berjaya hasil usaha gigih, semangat dan keinginan mereka yang sangat2 tinggi untuk berjaya. Ia bukanlah dengan angan-angan kosong,namun di terjemahkan dengan usaha mereka dan alhasil, nama mereka telah terpahat dalam sejarah dunia. Bagaimana pula dengan diri kita ini. Hm..mungkin kita memang hebat, tetapi kita yang tidak nampak ataupun tidak ada usaha kearah itu.

Jun 11, 2009

Kisah Si Katak


Once upon a time there was a race of frogs. The goal was to reach the top of a high tower. Many people gathered to see and support them.

The race began…..
In reality, the people didn’t believe that it was possible that the frogs would reach the top of the tower, and all the phrases that one could hear were of this kind;
“What pain!!” “They’ll never make it!”
The frogs began to doubt themselves. The people continued:
“What pain!! They’ll never make it!!..”
And the frogs, one by one, admitted defeat, except for one frog that continued to climb. At the end he, alone, and with and enormous effort, reached the top of the tower.
One of the quitter approached him to ask him how he had done it, to finish the race.

And discovered that he…was deaf!!

Moral: Always be deaf to negative people around you who discourage you from achieving your goal and dreams.

Jun 9, 2009

smile 09


Smile 09



Alhamdulillhah sudah seminggu program Surging With Motivation and Islamic Education(SMILE ’09) berlalu. Pelbagai pengalaman pahit manis suka dan duka telah pun ku lalui bersama sahabat-sahabat yang lain. Bagi diri ku sendiri,program ini banyak mengajar diriku ini perkara yang baru dan amat berguna untuk diriku sendiri. Antara yang paling mencabar aku telah dilantik sebagai pengarah ataupun ketua projek ini. Terlintas dihati kecilku ini,mampukah aku. Dengan rasa rendah diri,aku menerima taklifan ini. Mesyuarat di atur,pertemuan demi pertemuan dirancang. Ianya tidak lain untuk melicinkan lagi gerak kerja kami. Mujur sahabat-sahabat seperjuangan yang lain banyak membantu meringankan beban dibahuku ini.

Nabil dan Masturah yang banyak memberi idea dan pendapat, Izaty yang rajin membuat surat dan menghubungi sekolah,Redzuan dan Yana yang bersengkang mata nak menyiapkan banner, sijil, tag nama dan banyak lagi kerja-kerja yang lain serta tidak lupa pada timbalan pengarahku yang sangat aktif dan rajin ini, Erny yang banyak membantu aku dalam menjalankan tugas sebagai pengarah projek. Terdetik di hatiku ini,beruntungnya mendapat sahabat-sahabat yang macam ini.

Program bermula seperti yang dirancang dan berakhir tanpa sebarang masalah. Antara kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh diriku ini adalah sewaktu slotku,aku hampir-hampir dibaling kerusi oleh seorang adik fasi. Terkejut sungguh pada waktu itu. Mujur sahabatku Farid sempat menghalang. Apapun aku tidak menyalahkan adik tersebut,mungkin slotku itu sangat mencabar keegoaan seorang manusia biasa. Kemudian sepanjang program itu juga,kami fasi-fasi yang terlibat menjadi semakin akrab. Saling tolong-menolong antara satu sama lain. Maklumlah ajk yang terlibat sedikit,hanya berjumlah 22 orang,namun itu tidak menghalang kami semua dari mencurahkan bakti kepada generasi muda yang amat kami kasihi dan sayangi.

Sepanjang program berlansung,aku lebih mengenali sahabat-sahabatku.
Dengan Sufi yang cool,Yana dengan Laptop dan kameranya,Erny yang ke hulu ke hilir, Arfah yang tak abih-abih menjerit akibat di usik, Redzuan dan Shahrudin dengan lawak selumbernya, Azwan, Asyraf, Fahima, Hidayah dan Najihah yang asyik bergambar dan paling penting Nabil dan Masturah yang tak henti-henti berceloteh. Kesianku tengok adik-adik yang kelihatan agak tertekan apabila abang Nabil mula bericara. Maklumlah,ketua disiplin katakan. Apapun bagiku,ini semua dilakukan untuk menyedarkan adik-adik sendiri. Bagiku adik-adik inilah generasi yang akan menggantikan tempat kami suatu masa nanti. Tak mustahil juga,adik-adik yang kami bentuk inilah yang akan memimpin masyarakat kelak. Amiinn..

Sepanjang program juga, aku bangga melihat yang memasak untuk kami semua adalah guru sekolah tersebut. Tidak pernah lagi sepanjang program yang ku lalui,perkara sebegini berlaku. Aku berasa sangat kagum melihat situasi begini. Terdetik dihatiku ini rasa cemburu melihat suasana begini. Betapa sayangnya cikgu-cikgu tersebut kepada anak murid mereka. Sanggup memasak untuk anak murid yang tersayang sekaligus merapatkan lagi hubungan mereka. Bukan setakat di dalam bilik darjah sahaja,bahkan semasa berada d luar bilik darjah.

Slot yang paling mencabar bagiku adalah kembara malam. Slot yang ingin melihat keberanian dan keyakinan adik-adik serta kerjasama sesama mereka dalam kumpulan. Pada masa yang sama,aktiviti ini juga menguji keberanian fasi-fasi kerana mereka terpaksa menjaga di checkpoint masing-masing dalam keadaan yang begitu gelap selama beberapa jam sehinggalah kumpulan adik-adik yang terakhir lepas dari tempat mereka. Teringat pada waktu itu, slot itu diadakan secara spontan bagi mengantikan slot malam kesenian hasil cetusan idea hasil perbincangan fasi-fasi dengan cikgu.

Tepat lepas sembahyang Isya’ dengan suasana malam yang sangat gelap, kami melepaskan adik-adik ke checkpoint yang telah ditetapkan. Ada adik-adik yang menggigil ketakutan ada ada juga yang tiada perasaan. Pada masa ini,aku kagum melihat keberanian dan sifat tanggungjawab sahabatku,Shahrudin. Secara berseorangan dalam keadaan yang gelap dan berlampu suluhkan hanset,dia berjalan kaki dari satu tempat ke satu tempat untuk melihat keadaan adik-adik dan fasi-fasi sampailah apabila kumpulan terakhir sampai ke sekolah. Bagiku,sikap tanggungjawab ini sangat baik. Teringat kisah khalifah Umar yang meronda pada waktu malam untuk melihat keadaan rakyatnya.

Akhir sekali,aku ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua sahabat yang telah bersusah payah melaksanakan amanah yang telah diberikan dengan sangat baik untuk menjayakan program kita ni. Terima kasih tidak terhingga kerana sudi mencuri sedikit masa untuk menjayakan program kita ini. Tanpa kalian,mustahhil program ini dapat dilaksanakn. Apa yang kita buat ini tidak lain hanyalah untuk mendapat keberkatan dan keredhaan dari pencipta kita sendiri Allah SWT. Selain itu, kita dapat membentuk generasi pelapis yang memahami Islam dengan lebih praktikal. Untuk akhirnya,maaf ku pohon andaikata sepanjang diri ini memegang taklifan sebagai pengarah banyak kekurangan dan kesilapan samada secara sengaja atau tidak sengaja. Seronok dapat bekerjasama dengan kalian. Harapanku semoga program mutiara ini dapat diteruskan lagi oleh kita semua pada masa hadapan dengan lebih hebat dan tersusun. Insyallah..

Jun 2, 2009

Salam Perkenalan


Alhamdulillah,pada tarikh 1hb 6 dapat juga saya menghasilkan blog saya sendiri untuk meletakkan hasil nukilan dan buah fikiran saya sendiri dalam blog ini sebagai salah satu medan dakwah dan juga perkongsian idea dengan semua pembaca blogger sekalian..semoga dengan penghasilan blog ini akan meluaskan lagi jaringan perkongsian ilmu kita semua. Insyallah..
Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 .: Ahli Parlimen 2030 :.. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan