Jun 26, 2009

Oh Bahasa Tercintaku...


Bahasa jiwa bangsa. Ia antara bidalan yang sering kita dengar. Seterusnya bagaimana Samuel Johnson mengatakan “Saya sedih apabila ada bahasa yang lenyap, kerana bahasa adalah asal daripada bangsa.” Daripada kenyataannya, dapatlah kita simpulkan bahawa bahasa sangat penting bagi melambangkan identiti sesuatu bangsa itu sendiri. Jika bukan bangsa itu sendiri yang mempertahankan bahasanya sendiri, bangsa manakah yang akan kehadapan mempertahankan bahasanya itu? Kalau ada,bolehlah kita menghapuskan simpulan bahasa kucing bertanduk.

Beberapa hari lagi keputusan secara rasmi mengenai PPSMI akan diumumkan oleh Menteri Pelajaran merangkap Timb Perdana Menteri kita yakni YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin. Setelah sekian lama isu ini hangat diperdebatkan oleh pelbagai pihak, maka beberapa hari lagi isu ini akan dimuktamadkan sendiri oleh pihak Kerajaan. Moga-moga keputusan yang dibuat adalah terbaik untuk semua pihak. Terutama sekali bagi pelajar di luar Bandar yang sangat tertekan sejak dasar ini dilaksanakan.

Kali ini penulis ingin membawa pembaca sekalian untuk kita sama-sama menilai sendiri, dimanakah kedudukan bahasa Melayu itu sendiri pada zaman serba canggih ini. Jika dahulu kita dapat melihat bagaimana pemimpin dan pejuang tanah air kita cekal dan bersemangat mempertahankan bahasa Melayu daripada dipijak-pijak oleh bangsa lain, namun hari ini kita dapat melihat sebaliknya. Sedih juga hendak menghadapi realiti ini, namun itulah hakikat kehidupan.

Tidak beberapa lama dahulu kita dikejutkan dengan kenyataan berani seorang artis yang mengatakan dia kelihatan bodoh apabila bercakap bahasa Melayu. Aduh, biadap sungguh kenyataannya itu. Jika dilihat sendiri didalam kamus Dewan Bahasa, bangsa Melayu ada 3 ciri utama dan salah satu daripadanya adalah bercakap bahasa Melayu. Namun kini, ia hanya tinggal kenangan yang boleh diletak didalam Arkib Negara dijadikan kenangan untuk ditatap oleh generasi Alam Siber.

Jika melihat artikel yang dikeluarkan oleh Berita Harian bertarikh 9 Nov 2008, ia mengatakan bahasa Melayu kini semakin meluas penggunaannya di Mekah dan Madinah. Bahkan tidak mustahil bakal menjadi bahasa utama mengatasi bahasa Arab itu sendiri. Tidak banggakah kita sebagai bahasa Melayu apabila membaca artikel seperti ini? Tepuk dada tanyalah diri.


Bahasa Melayu bukan bahasa sebarangan. Bahasa ini mempunyai kekuatannya sendiri. Bahasa ini pernah menjadi bahasa lingua franca pada masa kegemilangan Melayu Melaka dahulu. Bahasa ini juga mempunyai banyak kaitan dengan bahasa arab. Jika kita lihat sendiri, banyak perbendaharaan kata bahasa Melayu dipinjam daripada bahasa Arab. Ini sekaligus menyebabkan bangsa Melayu tidak kekok apabila mendengar bahasa Arab dan mempermudahkan lagi dalam proses pembelajaran bahasa Al-Quran itu sendiri.

Kalau ingin dijadikan alasan kemajuan dan kecanggihan zaman kini menyebabkan kita perlu belajar bahasa asing, baik kita melihat kembali zaman kegemilangan ilmuwan Islam pada zaman Khalifah Makmun. Mereka menjadikan Bait Al-Hikmah sebagai pusat ilmu. Segala buku daripada bahasa asing diterjemahkan kedalam bahasa Arab untuk dijadikan bahan rujukan. Alhasil bahasa Arab menjadi bahasa utama pada masa itu untuk satu jangka masa yang amat lama.

Tidak mustahil akan ada cara lain yang lebih berkesan untuk memajukan bangsa kita sendiri selain daripada mengorbankan bahasa Melayu itu sendiri. Jika difikir-fikir balik, kalau bukan bangsa melayu sendiri yang mempertahankan bahasanya sendiri, bangsa manakah yang akan tampil mempertahankan bahasa kita daripada terus lenyap daripada muka bumi ini. Cukup-cukuplah tulisan Jawi kita hampir pupus, namun bahasa kita tetap ada dan terus diguna pakai secara rasmi atau tidak rasmi sehinggalah ke akhir hayat bangsa Melayu di alam ini.

0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 .: Ahli Parlimen 2030 :.. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan