Jun 22, 2009

Kejamnya manusia ini

Alangkah terasa sedih dihati ini apabila membelek-belek akhbar, pelbagai masalah jenayah berlaku dalam Malaysia dewasa ini. Hati ini berasa sangat-sangat bimbang tambahan apabila memikirkan bagaimana dengan keluargaku. Selamatkah mereka sekarang? Bagaimana dengan kawan-kawanku pula, masih hidup lagikah mereka? Kalau hidup masih sempurnakah mental dan fizikal mereka? Oh Tuhanku, ku berdoa kepadamu semoga melindungi semua orang yang aku sayangi agar mereka dapat meneruskan kehidupan dimuka bumimu ini dengan sejahtera. Amiinn…

Kali ini aku ingin mengajak para pembaca sekalian supaya bersama-sama denganku untuk kita melihat sendiri realiti keadaan rakyat Malaysia kita ini. Sesuai dengan tajuk tulisan ku ini, aku ingin membuka beberapa fakta kes yang hanya berlaku pada minggu lepas supaya bolehlah kita fikir bersama. Aku mengatakan kejam kerana yang melakukannya adalah orang disekeliling kita sendiri. Tidaklah kita perlu melihat jauh andaikata dalam kalangan orang sekeliling kita sendiri sanggup memuaskan keinginan diri sendiri dengan menjadikan orang terdekat sebagai mangsa mereka.

Antara artikel yang mengejutkanku adalah bagaimana seorang guru moral sanggup menyuruh anak muridnya melakukan perkara yang di luar batas kemanusiaan sebagai seorang manusia malahan dirinya sebagai seorang guru. Dia menyuruh anak muridnya berbogel seterusnya merakam gambar mereka. Inilah yang dinamakan harapkan pagar, pagar makan padi. Sebagai seorang guru yang memegang tanggung jawab sebagai pendidik, dia perlu menunjukkan contoh yang baik. Namun telah menjadikan amanah yang dipegang sebagai tempat pemuas nafsunya. Berita ini ku boleh dirujuk pada berita harian bertarikh 17 Jun 2009.

Seterusnya bagaimana seorang abang sanggup menukar adik kandungnya sendiri dengan najis dadah kepada seorang Along. Kejadian di Alor star ini berlaku walaupun Ibu mereka baru sahaja meninggal dunia beberapa hari sebelum itu. Mujur adiknya yang tidak bersekolah itu sempat melarikan diri. Harga yang ingin ditukar pula hanyalah kurang daripada RM100. Sebagai seorang abang, dia sepatutnya memberikan adiknya tempat berlindung seterusnya bertindak melindungi adiknya dari bahaya. Namun dialah yang menjadi ancaman kepada keselamatan adiknya itu. Berita ini pula boleh di rujuk pada harian metro bertarikh 17 Jun 2009.

Kisah seterusnya yang berlaku di Kuantan adalah bagaimana seorang bapa menjadikan anak perempuannya yang baru berusia 11 tahun sebagai pemuas nafsu serakahnya. Kejadian ini terbongkar apabila guru yang mengajar menyedari perubahan yang berlaku pada pelajarnya itu. Tidak perlulah kita mahu melihat perogol bersiri yang berlambak di tepi jalan andaikata didalam rumah sendiri ada manusia yang berhati binatang ini. Kejadian ini boleh dirujuk pada Harian metro bertarikh 21 Jun.

Aduh! Ini baru sekelumit kes yang berlaku di Malaysia pada minggu lepas. Perkara yang ingin kupersoalkan disini adalah mengapa perkara ini terjadi tambahan yang melakukannya adalah orang yang sepatutnya melindungi ahli mereka. Sedih sungguh apabila membaca realiti ini. Sangat-sangat kejam dan tidak berhati perut!! Semoga kita dan semua orang yang kita sayang dijauhi daripada kejadian yang tidak diingini ini. Amin..

0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 .: Ahli Parlimen 2030 :.. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan