Hakikat penciptaan manusia sangat unik dan hebat. Daripada segumpal tanah yang tiada nilai sedikit pun akhirnya terciptalah seorang Nabi yang merupakan bapa kepada semua manusia yakni Adam AS. Seterusnya dicipta pasangannya dari rusuk kiri Adam yakni ibu kita semua Hawa. Seterusnya membiaklah keturunan manusia yang memenuhi segenap ruang di muka bumi ini.
Apapun permulaan ciptaannya adalah dari setitis air yang apabila manusia melihatnya nescaya dia merasa sangat jijik. Firman Allah :
“Binasalah manusia, alangkah amat sangat kekafirannya? Dari apakah Allah SWT menciptakannya? Dari setitis air mani, Allah SWT menciptakannya lalu menetukannya. Kemudian Dia memudahkan jalannya,” (‘Abasa [80] : 17-20)Jadi asal kita semua sebagai manusia adalah sangat hina. Tubuh kita tidak terbentuk dari mana-mana bahan yang berharga. Unsur-unsurnya hanyalah unsur-unsur pembentukan tanah. Tidak seperti malaikat yang diciptakan daripada Cahaya. Satu unsur yang sangat hebat jika dilihat dari sudut sains.
Dikisahkan bahawa Muthrib bin Abdulllah bin al-Syakhir melihat al-Mahlab bin Abu Shafrah mengenakan perhiasan berbentuk tasbih dan dia menggunakannya dengan sombong. Maka dia berkata “Wahai Abu Abdullah, mengapa kamu berjalan seperti orang sombong? Al-Mahlab berkata, “Tidakkah kamu mengetahuiku?” dia berkata, “Aku tahu kamu, asal kamu adalah setitis air mani yang hina dan akhir kamu adalah bangkai yang busuk. Isi perut kamu di antara keduanya adalah air kencing dan tahi.” –Adab al-Dunia/321-
Diantara bukti yang menyingkap kelemahan manusia adalah seperti ketika seekor serangga menyengatnya, seperti nyamuk, dia tidak mampu menghindarkan rasa sakit sengatan tersebut. Di antara lain adalah ketika Allah SWT membiarkan seorang manusia melakukuan maksiat tanpa mampu bagi manusia tersebut menghindarkannya, agar manusia itu merasa seberapa besar kelemahannya itu.
Jadi sebagai hambanya yang kerdil lagi hina, penulis menyeru kepada diri sendiri dan para pembaca yang dikasihi sekalian agar sentiasa kita merasa rendah diri dan jangan sesekali merasa sombond dan mega dengan diri sendiri. Sentiasalah mengingati pencipta kita pada setiap masa dan saat. Ingatlah! Umur kematian kita semua sama. Tiada siapa yang tahu bila kita akan menghadap Ilahi. Kematian itu tidak mengenal usia.
Akhirnya marilah kita bersama-sama mempertingkatkan lagi amalan kita dan memperkasakan lagi hubungan kita dengan pencipta kita. Moga-moga kita berada dalam keredhaanNya. Amiinn..
0 ulasan:
Post a Comment