Mutakhir ini, rakyat Malaysia digemparkan dengan berbagai kes yang melibatkan pelajar perempuan di Malaysia. Penulis merasa hairan lagi ajaib kerana bagi penulis, isu ini sepatutnya tidak terjadi tambahan pula kedudukan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam. Semestinya jika isu ini diketahui oleh Negara Islam yang lain, maruah Malaysia sebagai sebuah Negara Islam akan tercalar. Tambah yang melakukan kes tersebut kebanyakannya terdiri daripada pelajar yang beragama Islam itu sendiri. Ingatlah pesan Nabi Muhammad, wanita adalah tiang Negara. Sekiranya baik golongan ini, baiklah Negara tersebut. Namun sekiranya golongan ini rosak, maka rosaklah Negara itu.
Disini penulis ingin membawa beberapa kes melibatkan kaum Hawa ini.Berita Harian pada 14 Julai lalu menyiarkan artikel tentang peningkatan jenayah dikalangan pelajar perempuan. Di dalam artikel tersebut menyatakan hasil kajian yang dibuat Kajian Institut Sosial Malaysia (ISM) mendapati, kes salah laku jenayah di kalangan pelajar perempuan meningkat dalam tempoh tiga tahun sejak 2005. Pengarah ISM, Prof Dr Mohamed Fadzil Che Din, berkata peningkatan itu membimbangkan kerana jumlah kes bertambah kepada 673 pada 2007 berbanding 523 kes pada 2006 dan 514 kes (2005). Katanya lagi, pada 2001, kes salah laku jenayah membabitkan pelajar perempuan sebanyak 100 dan ia meningkat kepada 600 kes dalam tempoh enam tahun.
Baru-baru ini rakyat Malaysia dikejutkan dengan video pelajar perempuan bersilat di surau Ketengah Jaya, Dungun Terengganu. Pergaduhan ini dikatakan berlaku disebabkan oleh seorang pelajar senior yang tidak puas hati terhadap seorang pelajar yang cantik & bijak dan menuduh pelajar tersebut cakap besar. Akibatnya pelajar junior tersebut dibelasah oleh senior tersebut.
Seterusnya jika dilihat pada berita keluaran Kosmo pada Ogos tahun lepas, ia menyiarkan artikel tentang penyebaran video lucah lakonan seorang pelajar perempuan. Kes tersebut berlaku di kawasan pedalaman Dungun. Rakaman tersebut dirakam oleh seorang remaja lelaki menggunakan telefon bimbitnya. Aksi Video ini adalah susulan daripada beberapa aksi video seks pelajar tempatan yang kini kian menjadi-jadi. Video klip ini tersebar luas dalam tempoh 24jam dikalangan penduduk Felda setempat.
Utusan Malaysia pada 3 Mac 2006 pula menyiarkan berita seorang pelajar perempuan menyerang dua orang gurunya. Ia mengisahkan seorang pelajar tingkatan tiga yang mengikuti kelas pendidikan khas mengoyakkan kertas soalan ujian di depan gurunya sebelum menendang perut guru perempuan berkenaan.Ketika dibawa bertemu guru disiplin, pelajar terbabit cuba menumbuk muka guru disiplin itu, tetapi sempat dielak. Bagaimanapun, pelajar itu dapat merampas cermin mata guru disiplin terbabit dan menghempaskannya ke lantai hingga pecah.
Tidakkah perkara ini sesuatu yang membimbangkan? Ya, memang tidak dapat dinafikan pelajar lelaki masih kekal golongan yang paling ramai melakukan jenayah. Persoalannya disini, bukankah golongan wanita merupakan satu golongan yang terkenal dengan lemah-lembutnya. Golongan yang begitu patuh dan berdisiplin dalam mengikuti peraturan. Namun mengapakah keadaan ini boleh berlaku pada golongan ini pada masa sekarang?
Terdapat beberapa persoalan yang ingin dipersoalkan disini. Pertamanya dimanakah peranan ibu bapa dalam menyelesaikan masalah ini? Ibu bapa seharusnya menjadi orang yang paling rapat dengan anak-anak. Anak-anak merupakan mutiara yang sangat berharga bagi sepasang suami isteri. Ia merupakan anugerah yang tidak ternilai kurniaan Tuhan. Anak-anak seharusnya dijaga dan dididik moga menjadi insan yang berguna untuk agama, bangsa dan masyarakat.
Seterusnya peranan yang dimainkan pihak berwajib dalam menangani masalah yang berlaku pada pelajar perempuan sekarang. Jika perhatikan, adakah silibus pelajaran sekarang tidak menekankan sahsiah didalam diri seorang pelajar? Jika ditekan, mengapakah perkara ini boleh berlaku? Bagaimanakah seorang perempuan yang terkenal dengan sikap lembutnya boleh bertukar menjadi ganas dan tidak terkawal?
Mungkin benar mudah mengendalikan sebuah Negara daripada mengendalikan seorang wanita. Hamka pernah mengatakan tidak ada satu pun didunia ini yang mampu mengangkat darjat wanita melainkan kesuciannya. Kaum wanita seharusnya memerhati maksud sebenar kata-kata Hamka ini. Akhir kata, penulis berharap semoga pada tahun-tahun mendatang, kes yang melibatkan kaum wanita ini dapat dibasmi dengan sebaik mungkin. Insyallah..
0 ulasan:
Post a Comment