Dec 19, 2010

Mulakan dengan anda!


Setiap manusia dikurniakan kelebihan masing-masing. Anugerah ini dikurniakan untuk melengkapi hajat manusia yang menginginkan kehidupan yang lebih sempurna. Manusia melakukan pelbagai perkara dengan menggunakan segala kehebatan dan kelebihan yang sedia ada di dalam dirinya.

Namun kelebihan itu menuntut untuk manusia melakukan kebaikan sesama mereka. Ini memerlukan kepada peranan daripada setiap individu dalam memberi manfaat kepada manusia lain. Ini membuktikan betapa besarnya peranan dan kepentingan setiap individu itu dalam membentuk corak masyarakat. >

Ungkapan "nila setitik rosak susu sebelanga" adalah ungkapan bisa kepada individu yang membuat kotor dalam sesebuah kelompok manusia yang ramai. Peranan setiap individu adalah penting dalam memberi gambaran zahir bagi sesebuah kelompok tersebut.

Seseorang individu itu adalah tunjang kepada pembentukan sesebuah masyarakat. Masyarakat yang cemerlang ini lahir di atas individu yang cemerlang sahsiahnya. Segala tingkah laku buruk seseorang individu amat memberi kesan negatif kepada kelompok masyarakat di dalamnya.

Sahsiah ialah aspek-aspek yang saling mempengaruhi antara sifat-sifat dalaman dan luaran. Ia bermaksud tingkah laku yang dijelmakan dari sifat dalaman yang meliputi aspek emosi, sikap, motivasi dan sebagainya. Dalam erti kata lain, tingkah laku jasad menggambarkan sifat rohani seseorang.

Hakikatnya, pembinaan sahsiah sesebuah masyarakat terlebih dahulu harus dibina melalui individu. Jika setiap individu mempunyai sikap dan emosi yang terkawal, maka lahirlah masyarakat yang sejahtera dan aman.

Pentingnya peranan individu ini telah digariskan oleh Imam Hassan Al-Banna (tokoh islam yang mengasas ikhwanul-muslimin). Beliau telah meletakkan kebangkitan negara Islam itu hanya dapat dibentuk bermula dengan individu muslim.

Kemudian, beliau barulah menyentuh tentang keluarga muslim dan seterusnya membentuk kehidupan islam yang sempurna dan menyeluruh. Keadaan ini penting kerana melihat kepada pembinaan masyarakat yang unggul semestinya memerlukan individu yang cemerlang di dalamnya.

Melihat pula kepada kepelbagaian bangsa dan budaya di Malaysia, ianya menuntut kepada pembinaan sahsiah dalam diri setiap warganegara ini. Tanpa pembinaan sahsiah dalam diri setiap individu maka mustahil untuk melihat kemajuan dan keamanan akan berterusan berlaku.



0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 .: Ahli Parlimen 2030 :.. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan