Jul 30, 2009

Kagumnya..


Salam pertemuan penulis ucapkan kepada semua pembaca yang diingati sekalian. Pertama sekali penulis ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada semua yang sudi menjengah blog ini. Tiada kata yang mampu diungkapkan melainkan ucapan setinggi penghargaan kepada kalian semua. Apapun penulis doakan agar semuanya berada dalam keadaan sihat sejahtera. Maklumlah Malaysia sekarang ini dilanda tsunami H1N1 yang telah mengorbankan banyak nyawa di seluruh dunia sekarang.

Artikel kali ini ingin menyentuh tentang kehebatan manusia yang mana kita semua mungkin tidak beberapa sedar atau tidak perasan. Teringat kembali pada zaman persekolahan dahulu ketika menjawab mengenai soalan yang sebegini,antara jawapan yang diberi adalah manusia mampu mengingat 10 no kad pengenalan dalam masa 10 saat!! Penulis berasa sangat takjub ketika itu kerana sebegitu kuatnya ingatan yang telah dikurniakan kepada manusia.

Antara kekuatan utama manusia adalah akalnya. Akal merupakan anugerah yang tidak ternilai. Jika diguna dengan sebaiknya,tidak mustahil seseorang itu mampu untuk menguasai dunia. Lihat sahaja bagaimana pemimpin kita memimpin kita. Mereka bukan calang-calang orang. Mereka mempunyai idea yang tersendiri yang mampu untuk menerajui kepimpinan Negara dengan berkesan.

Jika kita melihat sendiri kehebatan kekasih Allah yakni Nabi kita, Muhammad SAW. Tidak terfikirkah kita bagaimana Baginda mampu melahirkan satu tamadun yang mampu menguasai 2/3 dunia. Ia bermula di satu tempat yang kering-kontang. Dihimpit oleh dua kuasa besar ketika itu yakni Rom dan Parsi. Namun baginda mampu untuk terus mengembangkan agama Islam sehingga ke hari ini. Jika kita melihat tamadun lain, kesemuanya memerlukan sekurang-kurangnya air untuk memulakan sesuatu tamadun yang berjaya dan tahan lama. Namun ia amat berbeza dengan tamadun Islam. Sangat hebat dan memukau!!

Kemudian lihat sahaja bagaimana bekas Perdana Menteri keempat kita,Tun Dr Mahathir memimpin Negara kita menghadapi kemelesetan ekonomi pada lewat 90-an. Tanpa mempedulikan tekanan antarabangsa, Tun telah membuat tambatan wang ringgit dimana pada masa itu keputusan yang dibuat adalah kurang popular. Ramai yang mempertikaikan idea tersebut. Namun hasilnya Malaysia mampu untuk menghadapi tekanan ekonomi tersebut.

Seterusnya bagaimana para saintis dulu mampu untuk membina pelbagai teknologi baharu untuk diguna pakai oleh generasi moden sekarang. Jika dahulu kenderaan rasmi adalah binatang yang mungkin mengambil masa berhari untuk sampai ke suatu destinasi. Sekarang kenderaan kita merupakan sebuah mesin yang mampu bergerak sehingga selaju 300km/j di litar Sepang. Dan tidak mustahil pada masa hadapan kenderaan kita adalah jet yang mampu capai ke bulan dalam masa beberapa minit sahaja. Teknologi sekarang terlalu laju untuk dikejar.

Akhirnya cukuplah sekadar ini perkongsian penulis. Mungkin pembaca sekalian ada pendapat yang berbeza dengan penulis. Apapun penulis sentiasa berharap agar penulis boleh menjadi orang yang hebat jugak di satu masa nanti. Insyallah..mungkin tidaklah sehebat yang diatas,namun hebat disisi Allah SWT. Dan tidak mustahil juga ada dikalangan pembaca suatu hari nanti akan menjadi orang yang hebat. Aminn…

Jul 28, 2009

Berbuat baik dengan bukan Islam


Perasaan berasa gembira bercampur takut apabila sahaja kaki ini melangkah masuk ke alam pelajaran di UM. Maklumlah tempat baru katakan. Dalam banyak-banyak benda baru yang aku jumpa, bertemu dengan non-muslim adalah antara pengalaman yang menarik bagiku. Jika di nilampuri dahulu aku hanya bertemu dengan sesama Islam sahaja, namun keadaan berubah apabila berada di UMKL.

Islam adalah agama yang tidak mengabaikan perihal hidup orang bukan Islam yang hidup ditengah-tengah masyarakat Islam. Malah Islam menggalakkan ummatnya untuk berbuat baik dengan bukan Islam. Firman Allah dalam Al-Quran:

Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu Karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah Hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu Kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. dan barangsiapa menjadikan mereka sebagai kawan, Maka mereka Itulah orang-orang yang zalim. (al-Mumtahanah, 60:8-9)

Berdasarkan ayat diatas, jelas Islam menetapkan hukum yang adil dan benar. Permusuhan dan pemulauan hanya dilakukan dalam keadaan perang ataupun keadaan umat bukan Islam memerangi Islam sahaja. Apabila keadaan seperti itu tiada lagi, maka kebajikan dan hak orang bukan Islam wajib dijaga. Bahkan tiada halangan bagi kita untuk berhubung dan bersikap baik dengan mereka.

Muhammad Al-Ghazali didalam bukunya Fiqh Al-Sirah menjelaskan mengenai hubungan umat Islam dengan orang bukan Islam. Orang yang mengangap Islam sebagai agama, kemudian menolak prinsip hidup berdampingan dengan agama lain, atau mengangap kaum muslimin tidak dapat hidup tenteram kecuali mereka hidup menyendiri atau mereka sendiri berkuasa, adalah anggapan salah dan membuta tuli. (al-Khatib, 1990:187)

Rasulullah pernah melawat seorang yahudi yang sedang sakit. Perlakuan baginda diteruskan oleh pemimpin Islam seterusnya. Dalam pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab, beliau terserempak dengan seorang yahudi lanjut usia yang sedang mengemis dan meminta sedekah. Demi meringankan beban yahudi tersebut, Umar memberinya sedikit wang. Demi menjaga soal penghidupan Yahudi tersebut, Sayyidina Umar membawa orang Yahudi tersebut ke pejabat Baitulmal dan memerintah pegawai disitu supaya memberinya sebahagian daripada harta Baitulmal. (Ibid,1990:183)

Islam agama pertama yang memuliakan orang bukan Islam. Sebelum Islam tidak ada agama ataupun perundangan yang mengakui prinsip tolak ansur sejauh itu. Seorang orientalis Barat, Gold Tashir mengatakan:

“Apa yang dapat disaksikan sekarang adalah mengenai tolak ansur yang diberikan oleh pemerintah Islam ke[ada bukan Islam, sesungguhnya berasal daripada apa yang pernah berlaku pada pertengahan pertama abad ke-7 masihi. Iaitu prinsip kebebasan agama yang diberikan oleh pemerintahan Islam kepada kaum Ahlul Kitab untuk melakukan upacara pengibadatan mereka. Selain itu berasal daripada prinsip tolak ansur yang sudah ada dalam Islam sejak masa lampau. Jiwa tolak ansur itulah yang kemudiannya diakui oleh kaum Nasrani pada zaman Mutakhhir.” (Ibid, 1990:190)


Hubungan orang Islam dengan bukan Islam di Negara ini sangat baik. Ini jelas dengan kaedah fuqaha’ yang berbunyi “Bagi mereka hak yang sama seperti apa yang sama seperti apa yang kita miliki dan keatas mereka sama seperti apa yang menjadi tanggungjawab kita.” Pengabaian dalam soal ini boleh mencetuskan permusuhan, huru-hara dan sebagainya dalam sesebuah Negara.

*sumber daripada buku DISEBALIK DIRI

Jul 27, 2009

Siapakah Ahlun Najat?


Setiap daripada kita pastinya inginkan kehidupan yang bahagia samada didunia mahupun diakhirat. Itu adalah fitrah yang dianugerahkan Allah kepada makhluk ciptaannya. Wasiat Imam Ghazali:

Ahlun Najat iaitu orang-orang yang selamat. Mereka hanya menunaikan amalan-amalan yang wajib dan meninggalkan segala larangan Allah. Hanya itu yang mereka kerjakan, tidak lebih dan tidak pula kurang.

Siapakah Ahlun Najat ini?

Mereka adalah orang-orang yang selamat dan bahagia dengan jaminan Rasulullah SAW. Mereka disenaraikan sebagai golongan ini dek kerana Allah akan menghapuskan segala kesalahan dan dosa-dosa kecil mereka disebabkan segala amalan fardu yang mereka lakukan dan mereka tidak melakukan segala dosa yang besar.

Golongan Ahlun Najat mempunyai ciri-ciri berikut:

1) Berilmu
Berpengetahuan luas dan bijaksana. Bertindak berlandaskan Al-Quran dan as-Sunnah. Mereka juga dapat memberi alasan munasabah dan bukti yang sesuai dalam apa yang mereka lakukan.

2) Rasional
Boleh berfikir berdasarkan alasan dan bkti yang nyata. Mereka boleh membuat pertimbangan, keputusan dan tindakan yang tepat berlandaskan ilmu naqli dan aqli.

3) Pintar dan cerdas
Pintar, cerdas dan berkemampuan dalam memahami serta mengamalkan sesuatu dengan cepat dan tepat. Mereka berpengetahuan dengan yakin dan berpengalaman yang membolehkan seseorang menjelas dan mengamalkan prinsip dan asas-asas Islam.

4) Bercakap benar
Melahirkan kata-kata yang bernas, betul dan jitu serta bertepatan dengan prinsip-prinsip Islam secara berhikmah untuk faedah semua.

5) Menegakkan kebenaran.
Yakin dan berpegang teguh kepada kebenaran serta sentiasa menegakkan kebenaran dengan hikmah. Soeharto pernah berkata “kita perlu berani menyatakan yang benar itu benar, yang salah itu salah”. Saidina umar juga berpesan “kebenaran tidak ditakuti oleh sebarang ujian”.

6) Bersyukur
Perasaan, ucapan dan kelakuan yang dilahirkan dengan ikhlas terhadap segala nikmat kurniaan Allah SWT, sabar dan reda menerima ketentuan dan dugaanNya serta berterima kasih terhadap sumbangan dan khidmat bakti yang diperolehinya.

7) Takutkan Allah
Perasaan takut dan kagum akan kehebatan Allah SWT yang mendorong seseorang melakukan ketaatan dan meninggalkan laranganNya.

*sumber dipetik dari buku KECENDEKIAWAN IMAM GHAZALI

Jul 26, 2009

Sekadar Berkongsi


Salam perpaduan penulis ucapkan kepada semua pembaca yang di ingati sekalian. Aduh, sudah lama rasanya tidak menerbit artikel dek kerana sibuk dengan kerja-kerja yang perlu diselesaikan. Apapun kesempatan yang ada tetap akan penulis gunakan sebaik mungkin untuk berkongsi dengan pembaca sekalian.

Kali ini sekadar ingin berkongsi minat dalam Bola Sepak. Bukan apa, sukan ini mempunyai satu tarikan yang sangat kuat terutama bagi golongan lelaki. Sebagai kaum adam, pastinya sukan ini amat dekat dengan jiwa penulis. Walaupun tidak handal diatas padang, namun penulis tetap mempunyai sedikit sebanyak pengetahuan dalam bidang ini. Walaupun sinonim dengan golongan lelaki, namun golongan wanita juga kelihatan semakin ramai yang berkecimpung dalam sukan ini. Tidak mengapalah asalkan ia untuk tujuan yang baik dan menyihatkan badan.

Penulis tertarik dengan perkembangan Kelab Terkaya Dunia kini yakni Real Madrid yang mampu menongkah arus memecah rekod dunia dalam membeli pemain baru. Dalam keadaan ekonomi dunia yang semakin meruncing, kelab ini mampu membelanjakan sekitar 230juta Euro untuk membeli pemain baru mereka. Terfikir juga, jika duit ini diberikan kepada rakyat yang miskin, pastinya is mampu memberi manfaat yang sangat baik kepada mereka. Tetapi inilah realiti dunia modenkini. Wang mampu membeli apa sahaja untuk kepentingan diri.

Itu kisah di Sepanyol. Kelab di Liga Perdana Barclays juga tidak ketinggalan dalam berbelanja membeli pemain baru. Paling mengejutkan adalah apabila kelab pertengahan liga Manchester City berjaya mendapatkan beberapa bintang baru kedalam skuad mereka. Antaranya 2 bintang baru yakni Adebayor dari Arsenal serta Carlos Teves. Kedua pemain ini merupakan antara pemain yang berprofil tinggi di Liga Perdana. Pastinya menarik untuk melihat bagaimana pencapaian kelab ini pada musim hadapan.

Tidak kisahlah apapun yang terjadi kepada dunia bola sepak kini, bagi penulis tidak penting siapa yang bermain untuk siapa. Untuk menjadi juara, sesuatu kelab itu perlu mempunyai etika permainan yang berdisplin dan baik. Jika dilihat realiti, Greece juara Eropah telah memenangi kejuaraan Eropah tanpa pemain bintang dalam skuad mereka. Amerika Syarikat baru-baru ini juga telah berjaya melangkah ke Final Piala Confenderasi dengan menewaskan Juara Eropah 2008 Sepanyol diperingkat separuh akhir.

Akhirnya, bola sepak hanya dilihat sebagai salah satu daripada permainan berprofil tinggi didunia ini. Namun jika dilihat secara positif, ia mempunyai beberapa nilai yang boleh diambil untuk dijadikan pengajaran dalam kehidupan. Antaranya teamwork, jalankan amanah masing-masing, ikut arahan ketua, dan semangat ingin menang.

*Tulisan ini sekadar untuk berkongsi minat dan pendapat penulis secara umum.

Jul 16, 2009

Apa nak jadi pada pelajar perempuan kini?


Mutakhir ini, rakyat Malaysia digemparkan dengan berbagai kes yang melibatkan pelajar perempuan di Malaysia. Penulis merasa hairan lagi ajaib kerana bagi penulis, isu ini sepatutnya tidak terjadi tambahan pula kedudukan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam. Semestinya jika isu ini diketahui oleh Negara Islam yang lain, maruah Malaysia sebagai sebuah Negara Islam akan tercalar. Tambah yang melakukan kes tersebut kebanyakannya terdiri daripada pelajar yang beragama Islam itu sendiri. Ingatlah pesan Nabi Muhammad, wanita adalah tiang Negara. Sekiranya baik golongan ini, baiklah Negara tersebut. Namun sekiranya golongan ini rosak, maka rosaklah Negara itu.

Disini penulis ingin membawa beberapa kes melibatkan kaum Hawa ini.Berita Harian pada 14 Julai lalu menyiarkan artikel tentang peningkatan jenayah dikalangan pelajar perempuan. Di dalam artikel tersebut menyatakan hasil kajian yang dibuat Kajian Institut Sosial Malaysia (ISM) mendapati, kes salah laku jenayah di kalangan pelajar perempuan meningkat dalam tempoh tiga tahun sejak 2005. Pengarah ISM, Prof Dr Mohamed Fadzil Che Din, berkata peningkatan itu membimbangkan kerana jumlah kes bertambah kepada 673 pada 2007 berbanding 523 kes pada 2006 dan 514 kes (2005). Katanya lagi, pada 2001, kes salah laku jenayah membabitkan pelajar perempuan sebanyak 100 dan ia meningkat kepada 600 kes dalam tempoh enam tahun.

Baru-baru ini rakyat Malaysia dikejutkan dengan video pelajar perempuan bersilat di surau Ketengah Jaya, Dungun Terengganu. Pergaduhan ini dikatakan berlaku disebabkan oleh seorang pelajar senior yang tidak puas hati terhadap seorang pelajar yang cantik & bijak dan menuduh pelajar tersebut cakap besar. Akibatnya pelajar junior tersebut dibelasah oleh senior tersebut.

Seterusnya jika dilihat pada berita keluaran Kosmo pada Ogos tahun lepas, ia menyiarkan artikel tentang penyebaran video lucah lakonan seorang pelajar perempuan. Kes tersebut berlaku di kawasan pedalaman Dungun. Rakaman tersebut dirakam oleh seorang remaja lelaki menggunakan telefon bimbitnya. Aksi Video ini adalah susulan daripada beberapa aksi video seks pelajar tempatan yang kini kian menjadi-jadi. Video klip ini tersebar luas dalam tempoh 24jam dikalangan penduduk Felda setempat.

Utusan Malaysia pada 3 Mac 2006 pula menyiarkan berita seorang pelajar perempuan menyerang dua orang gurunya. Ia mengisahkan seorang pelajar tingkatan tiga yang mengikuti kelas pendidikan khas mengoyakkan kertas soalan ujian di depan gurunya sebelum menendang perut guru perempuan berkenaan.Ketika dibawa bertemu guru disiplin, pelajar terbabit cuba menumbuk muka guru disiplin itu, tetapi sempat dielak. Bagaimanapun, pelajar itu dapat merampas cermin mata guru disiplin terbabit dan menghempaskannya ke lantai hingga pecah.

Tidakkah perkara ini sesuatu yang membimbangkan? Ya, memang tidak dapat dinafikan pelajar lelaki masih kekal golongan yang paling ramai melakukan jenayah. Persoalannya disini, bukankah golongan wanita merupakan satu golongan yang terkenal dengan lemah-lembutnya. Golongan yang begitu patuh dan berdisiplin dalam mengikuti peraturan. Namun mengapakah keadaan ini boleh berlaku pada golongan ini pada masa sekarang?


Terdapat beberapa persoalan yang ingin dipersoalkan disini. Pertamanya dimanakah peranan ibu bapa dalam menyelesaikan masalah ini? Ibu bapa seharusnya menjadi orang yang paling rapat dengan anak-anak. Anak-anak merupakan mutiara yang sangat berharga bagi sepasang suami isteri. Ia merupakan anugerah yang tidak ternilai kurniaan Tuhan. Anak-anak seharusnya dijaga dan dididik moga menjadi insan yang berguna untuk agama, bangsa dan masyarakat.

Seterusnya peranan yang dimainkan pihak berwajib dalam menangani masalah yang berlaku pada pelajar perempuan sekarang. Jika perhatikan, adakah silibus pelajaran sekarang tidak menekankan sahsiah didalam diri seorang pelajar? Jika ditekan, mengapakah perkara ini boleh berlaku? Bagaimanakah seorang perempuan yang terkenal dengan sikap lembutnya boleh bertukar menjadi ganas dan tidak terkawal?

Mungkin benar mudah mengendalikan sebuah Negara daripada mengendalikan seorang wanita. Hamka pernah mengatakan tidak ada satu pun didunia ini yang mampu mengangkat darjat wanita melainkan kesuciannya. Kaum wanita seharusnya memerhati maksud sebenar kata-kata Hamka ini. Akhir kata, penulis berharap semoga pada tahun-tahun mendatang, kes yang melibatkan kaum wanita ini dapat dibasmi dengan sebaik mungkin. Insyallah..

Jul 12, 2009

Siapa Manusia?


Hakikat penciptaan manusia sangat unik dan hebat. Daripada segumpal tanah yang tiada nilai sedikit pun akhirnya terciptalah seorang Nabi yang merupakan bapa kepada semua manusia yakni Adam AS. Seterusnya dicipta pasangannya dari rusuk kiri Adam yakni ibu kita semua Hawa. Seterusnya membiaklah keturunan manusia yang memenuhi segenap ruang di muka bumi ini.

Apapun permulaan ciptaannya adalah dari setitis air yang apabila manusia melihatnya nescaya dia merasa sangat jijik. Firman Allah :
“Binasalah manusia, alangkah amat sangat kekafirannya? Dari apakah Allah SWT menciptakannya? Dari setitis air mani, Allah SWT menciptakannya lalu menetukannya. Kemudian Dia memudahkan jalannya,” (‘Abasa [80] : 17-20)

Jadi asal kita semua sebagai manusia adalah sangat hina. Tubuh kita tidak terbentuk dari mana-mana bahan yang berharga. Unsur-unsurnya hanyalah unsur-unsur pembentukan tanah. Tidak seperti malaikat yang diciptakan daripada Cahaya. Satu unsur yang sangat hebat jika dilihat dari sudut sains.

Dikisahkan bahawa Muthrib bin Abdulllah bin al-Syakhir melihat al-Mahlab bin Abu Shafrah mengenakan perhiasan berbentuk tasbih dan dia menggunakannya dengan sombong. Maka dia berkata “Wahai Abu Abdullah, mengapa kamu berjalan seperti orang sombong? Al-Mahlab berkata, “Tidakkah kamu mengetahuiku?” dia berkata, “Aku tahu kamu, asal kamu adalah setitis air mani yang hina dan akhir kamu adalah bangkai yang busuk. Isi perut kamu di antara keduanya adalah air kencing dan tahi.” –Adab al-Dunia/321-

Diantara bukti yang menyingkap kelemahan manusia adalah seperti ketika seekor serangga menyengatnya, seperti nyamuk, dia tidak mampu menghindarkan rasa sakit sengatan tersebut. Di antara lain adalah ketika Allah SWT membiarkan seorang manusia melakukuan maksiat tanpa mampu bagi manusia tersebut menghindarkannya, agar manusia itu merasa seberapa besar kelemahannya itu.

Jadi sebagai hambanya yang kerdil lagi hina, penulis menyeru kepada diri sendiri dan para pembaca yang dikasihi sekalian agar sentiasa kita merasa rendah diri dan jangan sesekali merasa sombond dan mega dengan diri sendiri. Sentiasalah mengingati pencipta kita pada setiap masa dan saat. Ingatlah! Umur kematian kita semua sama. Tiada siapa yang tahu bila kita akan menghadap Ilahi. Kematian itu tidak mengenal usia.

Akhirnya marilah kita bersama-sama mempertingkatkan lagi amalan kita dan memperkasakan lagi hubungan kita dengan pencipta kita. Moga-moga kita berada dalam keredhaanNya. Amiinn..
Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 .: Ahli Parlimen 2030 :.. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan