Aug 27, 2009

Sedekah mencari keberkatan



Kehidupan yang dilalui tidak membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya keberkatan, harta atau rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak dan mencukupi. Sebaliknya tanpa keberkatan akan dirasakan sempit dan susah meskipun banyak harta.

Dalam kisah Nabi, ada diceritakan Nabi Ayub ketika sedang mandi tiba-tiba Allah datangkan seekor belalang emas dan hinggap di lengannya. Baginda menepis-nepis dengan bajunya. Lantas Allah berfirman 'Bukankah Aku lakukan begitu supaya kamu menjadi lebih kaya?' Nabi Ayub mejawab 'Ya benar, demi keagunganMu apalah makna kekayaan tanpa keberkatanMu'. Kisah ini menegaskan betapa pentingnya keberkatan dalam rezeki yang dikurniakan oleh Allah.

Dalam satu hadith, Nabi menerangkan setiap awal pagi, semasa terbit matahari ada dua malaikat menyeru kepada manusia di bumi. Yang satu menyeru 'Ya Tuhanku, kurniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan hartanya kerana Allah. Yang satu lagi menyeru 'Musnahkanlah orang yang menahan hartanya (kedekut)'

Orang yang bakhil tidak manfaatkan hartanya untuk dunia dan akhiratnya. Ketahuilah membelanjakan harta kejalan yang baik adalah berkat. Namun sebaliknya menahannya adalah perbuatan yang celaka. Dalam hadith lain, nabi bersabda takutilah api neraka walaupun dengan sebelah biji tamar. Dan sabdanya lagi sedekah itu penghapus dosa sebagaimana air memadam api.

Sedekah paling ringan adalah senyuman. Manakala sedekah yang paling baik adalah menyedekahkan benda yang paling kita sayang. Ada juga riwayat lain yang mengatakan sedekah yang baik adalah benda yang kita tidak beberapa guna. Ianya bagi mengelak diri kita dari merasa sedih atau tidak ikhlas dalam bersedekah. Apapun ianya berbalik kepada niat kita dalam bersedekah.

Jadi, marilah dibulan puasa ini, kita sama-sama memperbanyakkan sedekah. Sedekah walaupun ianya kecil tetapi amat berharga di sisi Allah. Dan digalakkan memberi sedekah pada awal pagi. Janganlah risau tentang harta kita kerana ianya pasti akan dibalas oleh Allah SWT. Allah telah berjanji akan membalas atau menggantikan apa yang telah kita sedekahkan.

Akhirnya, jika kita mengamalkan ilmu yang kita ada, pastinya Allah akan menambahkan ilmu kita lagi. Begitu juga dengan harta - belanjakan harta yang ada, Allah akan tambahkan lagi dari sumber yang kita sendiri tidak ketahui dan tidak disangka-sangka.

Aug 25, 2009

Salam Ramadhan


Salam Ramadhan Karem diucapkan kepada semua pembaca yang dirahmati Allah sekalian. Alhamdulillah, setinggi kesyukuran diucapkan kepada pencipta kita, Allah SWT kerana kita semua masih diberi peluang melalui bulan mulia ini. Sedar atau tidak, sudah beberapa hari kita berpuasa. Pastinya kita sudah boleh membiasakan diri berpuasa dan pada masa yang sama kita melaksanakan tanggungjawab kehidupan kita seperti biasa.

Bulan puasa sangat mencabar nafsu kita sebagai makhluk bergelar manusia. Kita tidak dibenarkan sama sekali makan dan minum disiang hari selama 30 hari berturut-turut. Pastinya sesiapa yang lemah imannya akan kecundang dalam melaksanakan ibadah tersebut. Moga-moga kita semua terhindar dari golongan tersebut.

Bulan ini juga bulan yang sangat menduga nafsu kita. Kita di uji dengan pelbagai ujian. Antaranya ketika hendak berbuka puasa. Nafsu lapar kita akan mendorong kita untuk membeli pelbagai jenis juadah yang dilihat sedap pada mata kita. Tambah dengan keadaan bazar ramadhan yang menyediakan pelbagai jenis juadah. Pastinya mata kita akan menjadi rambang dalam membuat pilihan.

Akhirnya, penulis berharap semoga puasa kita kali ini dapat membentuk jati diri kita sebagai seorang muslim sejati. Gunakan peluang yang ada untuk kita mendekatkan diri dengan Allah SWT. Janganlah kita semua mensia-siakan bulan yang penuh hikmah dan rahmat ini.

Aug 20, 2009

Kemunculannya Sangat-Sangat dinantikan...



Hampir setahun ia meninggalkan kita, kini ia muncul kembali. Ya, Bulan Ramadhan al-Mubarrak telah tiba. Ianya sangat-sangat didambakan oleh setiap insan yang menghambakan dirinya hanya pada Allah SWT. Didalamnya terdapat pelbagai rahmat dan berkat.

Apakah perasaan kita apabila tiba-tiba kita didatangi oleh seseorang. Kemudian dia membuat satu tawaran yang sangat hebat? Kerjanya mudah dan senang. Hanya perlu memujinya sahaja dan kita akan diberikan RM1000?? Percayalah orang yang tidak siuman sahaja yang akan menolak tawaran tersebut.

Ya, itu adalah diantara fadilat yang terkandung pada bulan Ramadhan. Terdapat banyak lagi fadilat-fadilat lain yang telah dikurniakan pada kita. Ianya terpulang pada diri kita bagaimana kita hendak memanfaatkanya dengan sebaik mungkin.

Kemudian, pada bulan ini juga terdapat pelbagai hikmah yang tersembunyi. Antara yang pasti terkesan adalah perut kita. Setelah hampir setahun perut kita menerima pelbagai bahan yang pelbagai. Kini telah tiba masanya untuk perut tersayang ini berehat dan dipulihkan kembali. Tempoh sebulan yang bakal dilalui pastinya satu tempoh yang cukup untuk perut kita kembali kepada normal. Tambahan pula, perkara ini diakui sendiri oleh para pakar dan doktor.

Akhirnya, penulis ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada para pembaca sekalian. Gunakan sebulan yang ada dengan sebaiknya. Ingatlah, setiap amalan yang kita lakukan akan dibalas berlipat kali ganda oleh pencipta kita. Jadi ayuh marilah kita bersama-sama melakukan ibadat pada bulan Ramadhan ini dengan semaksimum mungkin. Semoga ianya menjadi Ramadhan yang terbaik buat diri kita semua, Amiinn..

Aug 19, 2009

10 Hak yang Perlu Kita Tunaikan..

Salam Muhasabah Buat Semua Ummat Islam..
Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dengan selamat hendaklah dia mengamalkan 10 perkara berikut :

Pertama :
Hak Kepada Diri Kita Sendiri iaitu mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

Kedua :
Hak Kepada Malaikat Maut iaitu mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan daripada orang yang dizalimi, membuat persediaan bagi mati dan merasa cinta kepada Allah

Ketiga :
Hak Kepada Kubur iaitu membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.

Keempat :
Hak Kepada Malaikat Munkar Nakir iaitu tidak berdusta, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.

Kelima :
Hak Kepada Mizan(Neraca Keadilan) iaitu menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesulitan

Keenam :
Hak Kepada Titian Sirat iaitu membuang tabiat suka mengumpat, wara', suka membantu orang beriman da suka berjemaah.

Ketujuh :
Hak Kepada Malaikat Malik iaitu banyak menangis kerana takut kepada azab Allah, berbuat baik kepada kedua ibubapa, bersedeqah ketika terang dan sembunyi dan memperelokkan akhlak.

Kelapan :
Hak Kepada Malaikat Ridhwan iaitu merasa redha kepada qadha Allah, bersabar menerima bala, bersyukur kepada nikmat Allah dan bertaubat daripada maksiat.

Kesembilan :
Hak Kepada Rasulullah SAW iaitu berselawat ke atasnya, berpegang dengan syariat, bergantung dengan Sunnah, menyayangi para sahabat dan bersaing dalam mencari kelebihan daripada Allah SWT.

Kesepuluh :
Hak Kepada Allah SWT iaitu mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia daripada kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.

Kesemua hak-hak tersebut perlu kita tunaikan.. semoga ianya memberi peringatan untuk kita bersama. Ketahuilah kita hanyalah hamba Allah yang sangat lemah dan hina. Allah berkuasa untuk memuliakan atau menghina kita. Walaupun setinggi mana darjat dan kedudukan kita, ketahuilah ianya hanya dangan izin Allah SWT.

*sumber dari Wasiat Imam Syafie

Aug 16, 2009

Perkongsian bersama...

“Akmal kau amik kos apa ye?” Tanya seorang sahabatku. Lantas aku memberitahunya aku mengambil siasah syariah ataupun lebih mudah lagi sains politik Islam. Hampir kesemua sahabatku dari fakulti lain tidak mengetahui tentang kos ini. Ianya amat asing bagi mereka.

Ada juga yang bertanya, prospek kerja yang boleh aku ceburi selepas habis belajar. Namun aku hanya mampu tersenyum. Kerana bagiku jawapan itu tiada padaku. Yang aku sematkan dalam diri ini, ilmu itu lagi penting dari prospek kerjaya. Yakin dan percayalah apabila kita mempunyai banyak ilmu, nescaya peluang bekerja itu akan mengekori kita. Itu adalah prinsip yang akan ku pegang sampai bila-bila

Seterusnya ada yang bertanya, seronok ke belajar politik ni. Memang minat politik ke? Secara jujurnya aku tiada jawapan yang khusus untuk soalan ini. Bagiku perkara minat ini sangat universal dan subjektif. Apa yang menyebabkan aku mengambil kos ini adalah kerana politik ini agak terbuka dan sentiasa mengikut peredaran zaman. Ianya tak sempit untuk satu-satu masa sahaja. Pastinya ianya sangat seronok untuk dipelajari. Boleh membuka minda kita semua untuk berfikir mengikut peredaran zaman.

Apakah itu Politik? Pendapatku secara peribadi politik ini adalah melibatkan kuasa. Kenapa kita perlu merebut kuasa ini? Ianya bagi kita menjaga kuasa itu agar ia diguna dengan baik. Jika kita lihat kembali sirah Rasulullah SAW, Baginda berhijrah ke Yathrib kerana penduduk disana mengiktiraf kuasa Baginda sebagai ketua.

Kemudiannya dengan kuasa yang diiktiraf, Baginda menukar nama Yathrib kepada Madinah Munawwarah. Baginda juga membuat perlembagaan pertama didunia dimana ianya perlembagaan pertama didunia. Perlembagaan tersebut sekaligus mengiktiraf semua hak dan kedudukan penduduk di Madinah pada ketika itu.

Ada pendapat yang mengatakan politik ini adalah peperangan. Bezanya ianya tidak melibatkan pertumpahan darah. Politik juga akan menyebabkan kita dibunuh berkali-kali oleh musuh kita. Politik juga dikatakan peperangan abad moden oleh sesetengah ahli akademik. Jadi ianya terpulang pada kita untuk membuat tafsiran tentang politik itu sendiri.

Rasanya cukuplah setakat ini sahaja perkongsianku mengenai kos yang aku ambil di UM ini. Walaupun perkongsian ini tidaklah seberapa, harapnya ia dapat menerangkan sedikit sebanyak pendapatku dengan pembaca sekalian. Mungkin pembaca ada pendapat yang lain mengenai politik. Terpulang kerana ianya bergantung pada diri masing-masing. Sekian…

Aug 14, 2009

"Apa matlamat hidupku..."


Umar bin Abdul Aziz pernah berkata “Aku adalah seorang yang merindu. Aku pernah bercita-cita menyunting Fatimah, puteri Khalifah. Tidak lama kemudian aku pun menikahinya. Aku juga pernah bercita-cita menjadi Khalifah dan berjaya. Diriku kini merindukan sesuatu. Ianya kebahagiaan abadi yakni Syurga dan aku sekarang sedang berusaha merealisasikannya.”

Imam Bukhari ketika berumur 14 tahun, ketika sedang duduk di antara ulama besar, dia terdengar para ulama tersebut membincangkan tentang buku hadis. Kedua orang Ulama tersebut mengeluh kerana buku hadis yang ada pada masa itu bercampur antara yang sahih, Dhaif(lemah) dan Mahudu’(palsu). Mereka sangat-sangat berharap aka nada ulama yang hanya mengumpul yang sahih didalamnya untuk dijadikan rujukan. “Akulah orang itu,” bisik Bukhari didalam hatinya. Dia akhirnya berjaya menyusun Shahih Bukhari yang hanya mengandungi hadis Sahih.

Sultan Muhammad al-Fateh ketika remajanya selalu merenung jauh ke kota Kostantinopel. Dia selalu mendambakan untuk menjadi orang yang berjaya membuka kota tersebut. Sewaktu berusia 15 tahun beliau telah menyerang kota tersebut. Namun berjaya ditewaskan. Beberapa tahun kemudian, dia menyerang lagi. Akhirnya setelah 8 tahun berusaha akhirnya dia berjaya menawan kota tersebut ketika berusia 23 tahun.

Charlie Caplin, seorang yang bermimpi menjadi aktor besar. Untuk merealisasikan apa yang dia impikan dia tidur dalam keadaan lampu yang menyala. Dihadapannya ada kertas dan pen. Dia selalu menulis ideanya yang akan datang pada bila-bila masa. Oleh itu dia membiarkan sahaja lampu biliknya itu menyala untuk memudahkan dia menulis ideanya pada bila-bila masa.

Seorang ulama sedang pengsan. Ketika sedar, dia berkata kepada kepada murid yang berada disisinya, “Tulis apa yang ingin kuperkatakan ini cepat!” Kata muridnya pula,“Imam, kamu sangat lemah. Masalah apakah yang ingin kamu tulis sekarang?” “Anakku, mungkin satu perkataan yang kita tulis bererti bagi seorang muslim. Dengannya kemudian kita akan masuk ke syurga,” tegas si guru.

Kisah diatas mengisahkan beberapa orang tokoh yang sangat berjaya. Persamaan yang sangat ketara bagi mereka adalah mereka mempunyai matlamat hidup yang sangat bulat dan jelas. Mereka tahu apa yang mereka ingin buat dan lakukan bagi mencapai matlamat mereka.

Bagaimana pula dengan kita semua. Ayuh marilah kita sama-sama menyimpan dan merealisasikan matlamat kita semua. Tiada apa yang mustahil untuk kita lakukan. Ianya perlu di lakukan denga usaha yang berterusan dan komited yang sangat tinggi. Apapun ingatlah, masa kita sangat singkat. Jadi gunakanlah segala ruang dan peluang yang ada dengan sebaik mungkin.

Aug 7, 2009

Benda paling berharga..


Pernahkah kita ditanya oleh seseorang apakah perkara paling berharga dalam hidup kita? Agak-agaknya apakah jawapan yang akan terlintas dalam fikiran kita? Apakah harta benda? Kebijaksanaan? Pasangan hidup? Ataupun mungkin kesihatan?

Bagi penulis semua jawapan tersebut adalah benar. Namun ianya bukanlah yang termahal. Tiada yang setara dan setanding dengan nilai waktu yang telah dikurniakan kepada kita semua. Ya,waktu yang telah dikurniakan kepada kita merupakan benda yang paling mahal sekali nilainya setelah Islam. Apa yang ingin penulis lontarkan disini adakah kita semua memahami apakah nilai sebenar masa itu kepada kita?

Al-Quran merupakan wahyu yang paling agung sekali. Didalamnya kita akan mendapati Allah SWT sering bersumpah dengan masa. Allah SWT tidak akan sesekali bersumpah dengan sesuatu melainkan ianya sangat berharga dan bermakna. Pastinya ada sesuatu maksud tersirat dan tersurat yang Allah SWT ingin sampaikan kepada ummatnya. Pasti terdapat banyak hikmah yang ingin disampaikan kepada ummatnya melalui sumpah tersebut.

Penemuan pertama Muslimin pada zaman keemasannya adalah jam. Kala itu mereka meletakkan jam itu pada tempat-tempat umum dan penting seperti Istana dan jalan-jalan utama. Mengapakah mereka melakukan sedemikian? Ini kerana kehidupan muslimin pada masa itu sangat erat dengan masa. Sungguh erat hubungan mereka dengan masa itu sendiri.

Renungkanlah sebuah hadis junjungan kita Rasulullah SAW ;

“Pada hari Khiamat tidak seorang hamba pun yang diperkenankan untuk meninggalkan tempatnya melainkan setelah ditanya tentang lima perkara. Tentang penggunaan masa lapangnya, masa muda, kekayaan dan ilmu pengetahuan,” (HR. Tarmidzi)

Apakah pendapat kita apabila ada orang yang melemparkan satu karung wang emas kedalam laut? Pastinya kita merasa orang tersebut tidak waras. Maka, orang tersebut tiada beza dengan mereka yang menghabiskan masa mereka dengan aktiviti yang tidak bermanfaat.

Masa adalah kehidupan kita semua. Jadi gunakanlah masa yang ada dengan sebaik-baiknya. Kita mesti sedar supaya jangan apabila dibangkitkan daripada kubur, kita tidak memiliki amalan kebajikan yang mencukupi untuk masuk kedalam syurga. Jika kita termasuk dengan golongan tersebut, ketahuilah kita semua termasuk golongan yang sangat-sangat rugi.

Akhirnya sementara kita semua masih diberi peluang dan masa, marilah kita sama-sama menggunakan masa yang ada dengan sebaik-baiknya. Moga-moga tidak menjadi golongan yang rugi dihari pembalasan kelak. Aminn…

Aug 4, 2009

Bangkitlah Wahai Pemuda Islam!!


“Berikan aku 100 orang lelaki tua, nescaya aku akan mampu menggoncangkan sebuah bukit, berikan aku 10 orang pemuda, nescaya akan aku goncangkan dunia ini” –Soekarno-

Berdasarkan kata Bung Karno diatas, dapat kita perhatikan bagaimana tingginya pandangan beliau terhadap anak muda. Agak-agak kenapa agaknya beliau berpendapat sedemikian. Jika diperhatikan sedalam-dalamnya, tidak dapat dinafikan anak muda sangat memainkan peranan penting dalam mengubah keadaan dunia baik dalam politik mahupun sosial.

Sejarah Islam sendiri banyak merakamkan kejayaan pemuda Islam. Antara paling terkenal adalah kejayaan Sultan Muhammad Bin Murad dalam menakluk Kota Konstantinopel dari tangan orang Kristian. Usia baginda pada masa itu baru 23 tahun. Berkat usaha dan doa yang berterusan, baginda berjaya menawan kota tersebut. Empayar Islam menjadi bertambah luas dan kehebatan Islam terserlah dengan begitu masyhur sekali ketika itu.

Namun jika kita lihat kini, pemuda Islam kita semakin lesu dan tidak bermaya dalam menghadapi cabaran dan mehnah kehidupan. Tidak banyak yang boleh dibanggakan dengan pemuda Islam sekarang. Masing-masing tenggelam dibawa arus dunia tanpa sempadan. Mengapakah perkara sebegini boleh terjadi? Salah ibu bapa, masyarakat atau diri pemuda itu sendiri?

Ingatlah, jika kita masih ingin mencari kesalahan ini kesalahan siapa, pastinya kita akan saling tuduh menuduh antara satu sama lain. Jalan penyelesaian akan semakin jauh dari kita. Bahkan kita akan semakin berpecah dan ia semestinya menggembirakan musuh kita. Sekarang ini merupakan masa untuk kita semua memuhasabah diri dan bersatu untuk membina kembali kekuatan.

Sedarlah!! Pemuda merupakan tiang dan nadi yang penting untuk agama dan Negara. Jika generasi pemuda kita rosak akhlak dan sahsiahnya, nescaya generasi pemuda kita selepas ini akan bertambah teruk akhlaknya. Sebelum ia menjadi satu masalah yang berlarutan, marilah kita bersama-sama mencegahnya. Kita perlu membentuk diri bagi menjadi pemuda yang kuat dan mampu untuk menakluk dunia ini dengan tangan kita sendiri. Dunia ini tiada apa yang mustahil jika kita berusaha dengan bersungguh-sungguh.

Akhirnya, penulis menyeru kepada semua pemuda dan diri sendiri untuk menjadi pemuda Islam yang kuat dan cekal dalam menghadapi cabaran duniakini. Tidak mustahil kita semua mampu untuk menjadi hebat seperti Sultan Muhammad al-Fateh bahkan boleh menjadi lebih hebat lagi. Bukan sahaja kita mampu untuk menawan Amerika Syarikat, bahkan mengulangi pencapaian memimpin 2/3 mukabumi ini. Ianya tidak lain hanya untuk agama tercinta kita sendiri yakni Islam. Semoga dengan menjadi hebat, kita mampu meninggikan kalimah syahadah itu sendiri di atas muka bumi ini. Amin..

Aug 2, 2009

Hari Pahlawan..Hari memperingati pejuang ulama kita


Hari Pahlawan yang disambut setiap hujung bulan Julai diadakan bagi memperingati jasa pahlawan Negara kita. Setiap tahun Perdana menteri kita akan melakukan istiadat upacara mengalungkan bunga didepan tugu Negara. Ianya didasari dengan istiadat tentera. Selain itu juga akan diadakan acara-acara lain seperti penyampaian pingat kepada para parajurit Negara.

Apa yang penulis ingin lontarkan disini adalah mengapa hanya parajurit Negara sahaja yang diraikan. Sedangkan jika kita melihat sejarah lampau, ulama kita merupakan tulang belakang dalam menggerakkan kemerdekaan Negara kita ini. Jasa mereka sangat banyak untuk diungkap. Namun apa yang kita telah buat untuk mengenang jasa mereka? Jika dilihat dalam buku teks sejarah kita sendiri, perjuangan mereka seolah-olah sangat sedikit. Sedangkan jasa mereka sangat banyak.


Bukanlah hendak menafikan perjuangan parajurit kita ni. Hanya sekadar ingin mengajak kita semua untuk menilai kembali sejauh manakah penghargaan kita terhadap ulama kita. Kita semua tahu, ulama adalah warisan para Nabi. Kita perlu menghormati dan menyayangi mereka. Tanda kita menghargai mereka. Darjat mereka sangat mulia disisi Allah SWT kerana ilmu dan rapatnya mereka dengan Allah SWT. Hendak dibandingkan dengan kita, apalah sangat.

Perjuangan mereka bersandarkan kefahaman yang satu. Ingin menentang kebatilan dan menegakkan kebenaran diatas muka bumi ini. Mereka tidak mengharapkan balasan duniawi. Hal ini kerana mereka tahu kenapa mereka melakukan perkara tersebut. Ilmu mereka bukan setakat dalam buku sahaja, tetapi dibuktikan dengan perjuangan mereka.

Antara ulama yang berani menegakkan kebenaran adalah seperti Haji Abdurrahman Limbong, Tok Janggut, Mat Salleh dan sebagainya. Abdurrahman Limbong berjuang dengan mengatakan tanah adalah hak Allah. Akhirnya dia dibuang ke Mekah. Paling menyayat hati adalah bagaimana Tok Janggut bukan sahaja dibunuh, bahkan mayatnya di arak tanda kemenangan British menghapuskan seorang pemberontak.

Itu baru sekelumit daripada perjuangan ulama kita. Perjuangan mereka sangat panjang dan berduri. Mereka berjuang sejak Melaka dijajah lagi sehinggalah tanah air kita merdeka. Akhirnya semoga roh mereka dicucuri rahmat. Sebelum berundur, marilah kita sama2 menyedahkan Al-Fatihah kepada semua pejuang yang telah mengorbankan mereka diri mereka demi kebenaran dan generasi selepas mereka. AL-FATIHAH..

Aug 1, 2009

Pengalaman Sebulan di UM


Kali ini sekadar ingin berkongsi pengalamanku sepanjang berada di UM. Sedar tidak sedar sudah segenap sebulan aku dan rakan-rakanku berada di UM. Oh! Ianya sangat-sangat berharga bagiku. Bermula dengan perkenalan kepada rakan daripada bangsa lain sehinggalah belajar dengan pelajar internasional di bilik kuliah. Semuanya memberi seribu satu makna bagiku. Ianya sungguh seronok dan menarik.

Bermula dengan Minggu Haluan Siswa (MHS), kami sebagai pelajar baru diberi pendedahan tentang suasana baru UM. Antara pertemuan yang menarik bagiku adalah semasa sesi suaikenal dengan MPMUM. Mereka sangat mesra dan nampak sangat berketerampilan terutama YDP kita, abang Ridhuan. Kelihatan sangat bersemangat sekali. Apapun terasa terkilan kerana tidak sempat untuk diadakan taklimat tentang AUKU pada masa itu. Ada masalah agaknya, tidak mengapalah. (Tapi kalau kami mahasiswa baru buat masalah jangan marah yea ^-^)

Setelah selesai MHS, bermulalah pengembaraan kami mahasiswa baru di universiti tertua ini. Dalam hati terdetik juga rasa bangga dan terharu kerana tercapai juga hasratku ketika disekolah menengah dulu untuk memasuki Universiti Malaya ini. Bagiku universiti ini mempunyai tarikannya yang tersendiri. Ramai pemimpin yang lahir hasil dari universiti ini. Tidak mustahil dalam kalangan banyak-banyk sahabat yang baru ku kenal ini, bakal menjadi pemimpin Malaysia suatu hari nanti, Aminn..


Ketika memasuki ke Akademi, kami pelajar baru dibahagikan kepada jabatan masing-masing berdasarkan pilihan masing-masing. Ketika inilah berlaku krisis dalaman dalam diriku. Jabatan manakah yang ingin kupilih. Niat asalnya ingin mengambil Undang-undang,namun terasa akan timbul masalah lain pula yang bakal kuhadapi. Jadi dengan tekad yang yakin, aku membuat keputusan untuk mengambil Jabatan Sains Politik Islam. Jabatan yang sangat pelik jika didengar namun sungguh menarik pembelajarannya. Meungkin jika ditanya prospek kerjaya, aku tidak mampu untuk menjawab dengan yakin. Kerana bagiku apa yang penting adalah ilmu yang ingin kutuntut itu. Bila ilmu dah ada, insyallah kerjaya itu aakan datang sendiri.

Hari ketiga bermulalah kuliah kami secara rasmi di Akademi Pengajian Islam sebagai pelajar baru. Ketika bermula kuliah pelbagai masalah yang timbul. Dari masalah hendak mencari bilik kuliah sehinggalah hendak mencari tandas. Semuanya sangat asing bagi kami. Mujur senior kami sempoi-sempoi belaka. Mudah bagi kami untuk meneruskan pembelajaran disitu sebagai keluarga baru mereka. Kawasan Akademi pun tidaklah begitu rumit reka bentuknya. Hanya ada empat blok utama. Memudahkan lagi bagi kami untuk menyesuaikan diri di sini.

Kuliah pun bermula. Dengan penuh semangat aku memulakan kuliah ku di APIUM. Minggu pertama terasa begitu janggal sekali. Tidak tahu apa itu kelas tutorial, jadual yang masih kelam-kabut dan sebagainya. Suasana belajar di UMKL sangat berbeza dengan suasana di UM Nilampuri. Di Nilampuri dahulu kami dibahagi mengikut kumpulan dan jadual kami telah diatur. Namun di UMKL kami terpaksa membuatnya secara sendiri mengikut aturan yang telah disusun oleh jabatan masing-masing. Inilah gaya U kata kawanku kepadaku. Walaupun terasa janggal namun seronok juga bila difikir. Beginilah gaya Profesional dan matang. Semuanya diatur oleh diri kita sendiri.

Sibuk dengan Akademi, tidak dilupakan juga dengan kolej kediamanku. Kolej Kediaman Raja Dr Nazrin Shah atau nama lain KK12. Kolej ini adalah antara kolej yang terbesar kapasiti penghuninya di UM. Kolejku ini sangat selesa dan menyediakan banyak kemudahan bagi penghuni kolej. Terasa bertuah dapat menetap disini. Apapun untuk menetap di Kolej, kami perlu aktif dengan aktiviti kolej. Disini bermulalah ‘Sindrom Stay Kolej’. Apa sahaja aktiviti yang disertai didasari dengan niat untuk stay kolej. Bukanlah tidak setuju dengan perkara ini, namun kelihatan seperti orang yang menyertai program tidak Ikhlas. Ia didasari dengan niat semata-mata hanya untuk stay kolej. Sepatutnya apa sahaja yang kita buat perlu Ikhlas. Barulah apa yang dilakukan berbaloi. Apapun perkara ini untuk kebaikan pelajar itu sendiri.

UM banyak menganjurkan aktiviti yang menarik dan bermanfaat untuk pelajarnya. Antara yang menarik bagiku adalah Minggu Promo Kelab dan Persatuan UM pada 28-31 haribulan Julai yang baru melabuhkan tirainya pada hari Jumaat tadi. Minggu ini semua kelab dan persatuan bertungkus lumus menarik pelajar baru untuk menyertai kelab mereka. Antara yang menarik perhatianku adalah Persatuan Anak Negeri. Rupanya persatuan anak negeri ini menerima ahli tanpa mengira asal negeri ahli tersebut. Asalkan berminat untuk menyertai mereka. Bagiku ini satu perkembangan yang menarik untuk diikuti

Akhirnya pada bulan Ogos nanti akan diadakan FESKUM’09. Ia bagi meraikan graduan yang telah menamatkan pembelajaran mereka di University ini. Semestinya pada masa ini akan terlihatlah kuntuman senyuman yang mengukir disekitar Dewan Tunku Chanselor. Semestinya suasana pada masa itu sangat meriah dan ceria. Pelbagai aktiviti yang akan dijalankan. Bagi memeriahkan lagi suasana FESKUM, pelbagai pihak akan membuka gerai untuk menjual barang masing-masing. Tidak sabar rasanya untuk merasai suasana tersebut. Mesti menarik dan seronok untuk diikut.
Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 .: Ahli Parlimen 2030 :.. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan