Aug 27, 2009

Sedekah mencari keberkatan



Kehidupan yang dilalui tidak membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya keberkatan, harta atau rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak dan mencukupi. Sebaliknya tanpa keberkatan akan dirasakan sempit dan susah meskipun banyak harta.

Dalam kisah Nabi, ada diceritakan Nabi Ayub ketika sedang mandi tiba-tiba Allah datangkan seekor belalang emas dan hinggap di lengannya. Baginda menepis-nepis dengan bajunya. Lantas Allah berfirman 'Bukankah Aku lakukan begitu supaya kamu menjadi lebih kaya?' Nabi Ayub mejawab 'Ya benar, demi keagunganMu apalah makna kekayaan tanpa keberkatanMu'. Kisah ini menegaskan betapa pentingnya keberkatan dalam rezeki yang dikurniakan oleh Allah.

Dalam satu hadith, Nabi menerangkan setiap awal pagi, semasa terbit matahari ada dua malaikat menyeru kepada manusia di bumi. Yang satu menyeru 'Ya Tuhanku, kurniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan hartanya kerana Allah. Yang satu lagi menyeru 'Musnahkanlah orang yang menahan hartanya (kedekut)'

Orang yang bakhil tidak manfaatkan hartanya untuk dunia dan akhiratnya. Ketahuilah membelanjakan harta kejalan yang baik adalah berkat. Namun sebaliknya menahannya adalah perbuatan yang celaka. Dalam hadith lain, nabi bersabda takutilah api neraka walaupun dengan sebelah biji tamar. Dan sabdanya lagi sedekah itu penghapus dosa sebagaimana air memadam api.

Sedekah paling ringan adalah senyuman. Manakala sedekah yang paling baik adalah menyedekahkan benda yang paling kita sayang. Ada juga riwayat lain yang mengatakan sedekah yang baik adalah benda yang kita tidak beberapa guna. Ianya bagi mengelak diri kita dari merasa sedih atau tidak ikhlas dalam bersedekah. Apapun ianya berbalik kepada niat kita dalam bersedekah.

Jadi, marilah dibulan puasa ini, kita sama-sama memperbanyakkan sedekah. Sedekah walaupun ianya kecil tetapi amat berharga di sisi Allah. Dan digalakkan memberi sedekah pada awal pagi. Janganlah risau tentang harta kita kerana ianya pasti akan dibalas oleh Allah SWT. Allah telah berjanji akan membalas atau menggantikan apa yang telah kita sedekahkan.

Akhirnya, jika kita mengamalkan ilmu yang kita ada, pastinya Allah akan menambahkan ilmu kita lagi. Begitu juga dengan harta - belanjakan harta yang ada, Allah akan tambahkan lagi dari sumber yang kita sendiri tidak ketahui dan tidak disangka-sangka.

0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 .: Ahli Parlimen 2030 :.. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan