Konvensyen Mahasiswa Selangor yang dianjurkan di Dewan Jubli Perak di Banggunan Sultan Salahuddin di Shah Alam pada 17hb Mei yang lalu nyata memberikan satu impak yang baik.
Meskipun masih banyak kritikan yang boleh dilemparkan sepanjang program ini berlangsung, namun ianya tetap memberikan sesuatu yang berharga kepada para peserta.
Kehadiran peserta juga pastinya mampu membuat pihak penganjur dan pelaksana program tersenyum puas. Ia berjaya mengumpulkan lebih 500 mahasiswa daripada pelbagai kampus. Satu jumlah yang sangat ramai bagi satu-satu konvensyen mahasiswa.
Konvensyen yang berlangsung selama satu hari satu malam itu mengandungi aktiviti pengenalan Majlis Permuafakatan Mahasiswa Selangor (MPMS), talk bersama Prof Madya Dr Abu Hassan dan Prof Dr Muhaya dan diakhiri dengan sesi dialog bersama Menteri Besar.
Antara yang menarik perhatian pastinya talk bersama Prof Madya Dr Abu Hassan yang begitu bersemangat menceritakan peranan anak muda dalam mengubah dunia. Ternyata anak muda mempunyai peranan yang penting dalam masyarakat.
Penulis tidak mahu mengulas panjang mengenai aktiviti dalam konvensyen ini. Biarlah ia menjadi satu sejarah tersendiri kepada penulis.
Cuma penulis mempunyai beberapa pandangan dan cadangan untuk konvensyen ini untuk dilakukan pada masa akan datang.
Pertamanya, teruskan menganjur konvensyen seperti ini. Jangan pernah biarkan ia berhenti setakat ini sahaja. Konvensyen mahasiswa ini seharusnya menjadi medan terbaik bagi mahasiswa untuk berhimpun dan berkenal antara satu sama lain.
Seterusnya, biarkan konvensyen mahasiswa ini dilakukan oleh mahasiswa sendiri. Ia bagi memperlihatkan kebolehan mahasiswa dalam merancang program mereka sendiri. Tidak perlu lagi menempel dengan mana-mana badan yang berkepentingan sendiri.
Akhirnya, konvensyen mahasiswa akan datang seharusnya mempunyai acuan mahasiswa sendiri. Aktiviti yang ada mencerminkan kebolehan mahasiswa dalam merencana agenda untuk negara.
Antaranya, semua mahasiswa akan membuat satu resolusi bertindak untuk bersama masyarakat dalam memperjuangkan hak-hak masyarakat.
Apapun ini sekadar pandangan peribadi penulis mengenai konvensyen ini. Masih ada banyak ruang yang boleh diperbaiki untuk kepentingan kita bersama. Semoga masyarakat akan mendapat manfaat hasil lelah kita semua.
ANAK MUDA MEMIMPIN PERUBAHAN!
0 ulasan:
Post a Comment