Aug 25, 2011

Pesananku, Teruskan Bergaduh..!!


Awas!! Jangan salah faham. Ini pesanan ikhlas daripadaku kepada para peniaga sahaja. Teruskan bersaing antara satu sama lain. Jangan terus mengalah. Teruskan bergaduh dan bertengkar antara satu sama lain.

Kerana apa? Kerana kami sebagai pengguna akan mendapat yang terbaik daripada pergaduhan tersebut. Kami akan mendapat hasil perahan idea yang terbaik daripada kalian untuk memudahkan perjalanan hidup kami.

Kami dapat membeli barang-barang yang berkualiti dengan harga lebih murah. Kami mempunyai banyak pilihan untuk kegunaan seharian kami. Kami juga tidak akan teragak-agak untuk menukar pilihan sekiranya sudah bosan dengan produk sedia ada.

Ini kerana kami adalah pengguna. “Customer always right!”. Itu pegangan yang sangat baik aku kira untuk kita pegang bersama. Seterusnya, aku ingin kaitkan pesanan ini juga kepada para pemimpin pembangkang. Baik peringkat kerajaan mahupun parti lawan.

Kedua pihak harus memandang serius pesananku ini. Kalian harus terus bertempur untuk memenangi hati rakyat. Siapa yang pandai mentadbir dan mampu menyelamatkan Malaysia daripada sebarang ancaman, pastinya akan dipilih rakyat.

Awas kalau kalian mahu mengugut rakyat! Jangan sesekali memberi ancaman kepada rakyat sekiranya kami tidak mengundi kamu, bala akan menimpa kami. Ini sudah menjadi dongengan basi. Kami sudah lali dengan ugutan sebegini.

Kami sudah mampu berfikir. Terima kasih kepada kemajuan yang ada sekarang, kami sudah boleh membuat penilaian kami sendiri. Kami tahu mana kaca mana permata. Kami tahu jalan mana yang patut kami pilih.

Sebagai pemimpin, kalian harus berusaha memberi yang terbaik demi kepentingan rakyat. Jangan salahkan rakyat yang sering merintih meminta bantuan. Kalian yang harus bertanggungjawab di atas permasalahan yang berlaku kepada rakyat ini.

Kami sudah memilih kalian sebagai pemimpin kami, jadi kalian harus melaksanakan amanah itu dengan sebaiknya. Kalau kalian beralih arah semasa tengah berkhidmat untuk rakyat, nescaya balasan akan menimpa kalian.

Pesanan terakhirku, baik kerajaan mahupun lawan, teruskan berfikir dan melaksanakan tugas kalian. Teruskan bergaduh antara satu sama lain demi rakyat tercinta. Tidak guna berpadu andai ia demi kepentingan politik sempit masing-masing.

~Luahan hati daripada seorang rakyat Malaysia yang bencikan sentimen politik melampaui kepentingan rakyat keseluruhannya.

1 ulasan:

ZWAN SABRI said...

pergaduhan yang membawa manfaat kepada semua pihak.. kepada para peniaga, begaduh secara sihat naa.. jangan main santau2 ok.. HAHA


MySuaraBlog: Larangan Untuk Pengantin Perempuan

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 .: Ahli Parlimen 2030 :.. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan