Aug 7, 2009

Benda paling berharga..


Pernahkah kita ditanya oleh seseorang apakah perkara paling berharga dalam hidup kita? Agak-agaknya apakah jawapan yang akan terlintas dalam fikiran kita? Apakah harta benda? Kebijaksanaan? Pasangan hidup? Ataupun mungkin kesihatan?

Bagi penulis semua jawapan tersebut adalah benar. Namun ianya bukanlah yang termahal. Tiada yang setara dan setanding dengan nilai waktu yang telah dikurniakan kepada kita semua. Ya,waktu yang telah dikurniakan kepada kita merupakan benda yang paling mahal sekali nilainya setelah Islam. Apa yang ingin penulis lontarkan disini adakah kita semua memahami apakah nilai sebenar masa itu kepada kita?

Al-Quran merupakan wahyu yang paling agung sekali. Didalamnya kita akan mendapati Allah SWT sering bersumpah dengan masa. Allah SWT tidak akan sesekali bersumpah dengan sesuatu melainkan ianya sangat berharga dan bermakna. Pastinya ada sesuatu maksud tersirat dan tersurat yang Allah SWT ingin sampaikan kepada ummatnya. Pasti terdapat banyak hikmah yang ingin disampaikan kepada ummatnya melalui sumpah tersebut.

Penemuan pertama Muslimin pada zaman keemasannya adalah jam. Kala itu mereka meletakkan jam itu pada tempat-tempat umum dan penting seperti Istana dan jalan-jalan utama. Mengapakah mereka melakukan sedemikian? Ini kerana kehidupan muslimin pada masa itu sangat erat dengan masa. Sungguh erat hubungan mereka dengan masa itu sendiri.

Renungkanlah sebuah hadis junjungan kita Rasulullah SAW ;

“Pada hari Khiamat tidak seorang hamba pun yang diperkenankan untuk meninggalkan tempatnya melainkan setelah ditanya tentang lima perkara. Tentang penggunaan masa lapangnya, masa muda, kekayaan dan ilmu pengetahuan,” (HR. Tarmidzi)

Apakah pendapat kita apabila ada orang yang melemparkan satu karung wang emas kedalam laut? Pastinya kita merasa orang tersebut tidak waras. Maka, orang tersebut tiada beza dengan mereka yang menghabiskan masa mereka dengan aktiviti yang tidak bermanfaat.

Masa adalah kehidupan kita semua. Jadi gunakanlah masa yang ada dengan sebaik-baiknya. Kita mesti sedar supaya jangan apabila dibangkitkan daripada kubur, kita tidak memiliki amalan kebajikan yang mencukupi untuk masuk kedalam syurga. Jika kita termasuk dengan golongan tersebut, ketahuilah kita semua termasuk golongan yang sangat-sangat rugi.

Akhirnya sementara kita semua masih diberi peluang dan masa, marilah kita sama-sama menggunakan masa yang ada dengan sebaik-baiknya. Moga-moga tidak menjadi golongan yang rugi dihari pembalasan kelak. Aminn…

1 ulasan:

pu3 balqis said...

perkongsian menarik...
nice blog..
salam singgah kembali..
syukran atas kesudian singgah di blog ana..

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 .: Ahli Parlimen 2030 :.. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan