Sep 26, 2009

Anugerah Dari Langit

Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat kedua bermaksud “ Kitab (Al-Quran) Ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa”

Al-Quran merupakan kitab yang memberi petunjuk dan panduan kepada seluruh manusia amnya dan umat Islam khasnya. Semenjak kita kecil lagi, kita telah di ajar mengenal huruf-huruf Al-Quran dan menyebutnya sehingga fasih. Akhirnya kita kini mampu membaca dan menghafaz surah-surah yang terdapat di dalamnya.

Setiap nabi dan rasul dikurniakan wahyu berdasarkan keadaan umat mereka pada zaman tersebut. Sebagai contoh, kaum Nabi Isa amat mahir dalam bidang perubatan. Segala jenis penyakit diorang dapat ubatkan melainkan penyakit sopak dan kusta. Turunnya Nabi Isa dengan dikurniakan dengan mukjizat yang hebat yakni mampu menyembuhkan kedua-dua jenis penyakit tersebut. Ianya seseuatu yang luar biasa yang dan telah mengatasi kebolehan manusia biasa.

Bangsa Arab sangat terkenal dengan kehebatan dan bijak dalam ilmu karang mengarang puisi dan prosa serta mendeklamasikan syair. Terdapat pelbagai pesta dan majlis khas dianjurkan untuk pertandingan mendeklamasikan syair masing-masing. Sesiapa yang menang dan terpilih syairnya, akan menjadi terkenal di seluruh Tanah Arab.

Apabila Muhammad SAW dilantik menjadi Rasul, Allah SWT telah kurniakan kepada baginda Al-Quran yang mengandungi pelbagai keistimewaan. Ia mempunyai nilai bahasa yang sangat tinggi, struktur ayat yang indah, maknanya yang mendalam dan nilai sasteranya yang sangat tinggi mengatasi syair-syair yang pernah dicipta sebelum itu. Disini jelas menunjukkan Al-Quran diturun bagi mencabar bangsa arab khususnya dan bangsa manusia yang lain amnya.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat ke 23 bermaksud: “Dan jika kamu tetap dalam keraguan tentang Al Quran yang kami wahyukan kepada hamba kami (Muhammad), buatlah satu surah (saja) yang setanding Al Quran itu dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar.”

Ayat diatas Allah SWT mencabar kepada sesiapa yang mendakwa Al-Quran itu palsu, untuk membuat sesuatu yang sama seperti Al-Quran. Bahkan Allah SWT memberi peluang untuk bergabung beramai-ramai bagi menghasilkan benda yang serupa. Hal ini kerana kemampuan manusia sangat terbatas dan terhad sedangkan Al-Quran sangat tinggi teknologinya.

Al-Quran diturunkan bukanlah sekadar menjadi perhiasan di dinding mahupun untuk dikahatam semata-mata. Penurunannya adalah lebih daripada itu. Ianya sebagai panduan kepada manusia dalam kehidupan seharian. Al-Quran merupakan surat cinta daripada Allah SWT. Dalamnya merupakan bait-bait cinta khas untuk hambanya bergelar manusia.

Ianya mengandungi peringatan, janji dan kisah-kisah yang boleeh dibuat teladan. Ianya tidak lapuk di telan masa dan tak lekang di telan zaman. Ianya sentiasa sesuai sepanjang masa. Sesiapa yang mengatakan Al-Quran sudah tidak relevan, ia perlu memeriksa kembali akidah mereka. Ianya satu tuduhan yang sangat melampau dan mencabar keagungan Allah SWT sebagai Tuhan kita.

Kajian daripada musuh-musuh Islam mendapati antara punca kekuatan umat Islam lampau adalah kerana umat terdahulu sangat berpegang pada Al-Quran. Mereka mengambil keputusan untuk menjauhkan umat Islam daripada Al-Quran agar Islam menjadi lemah. Hasrat mereka kini tercapai. Umat Islam kini bukan sahaja tidak mengamalkan apa yang termaktub didalam Al-Quran, bahkan menjadikannya sebagai perhiasan didinding sahaja.

Mereka tidak lagi menjadikan Al-Quran sebagai rujukan utama, tetapi untuk masa-masa tertentu sahaja mengikut kemahuan mereka. Kesemua ini kerana mereka merasa Al-Quran itu sudah tidak relevan dan hanya membuang masa. Ilmu barat lebih terkini dan moden. Namun kita sering terlupa. Kejayaan barat kini banyak disebabkan pengkajian mereka dalam Al-Quran.
Kita yang tidak tahu apa-apa mempercayai mereka sepenuhnya. Aduh! Malang sungguh kita…

Akhirnya penulis ingin berpesan, ketahuilah surat cinta Allah SWT sangat bernilai. Jika kita sebagai umat Islam tidak menghargai kitab tersebut, pastinya kita akan menjadi umat yang sangat rugi. Penulis berpesan kepada diri sendiri dan pembaca sekalian agar kita meluangakan lebih banyak masa kita dengan Al-Quran. Ianya tidak rugi bahkan kita akan mendapat pahala kerana perkara tersebut.

Sep 25, 2009

Kenapa manusia ada agama?


Manusia merupakan makhluk ciptaan Allah SWT yang sangat istimewa dan sempurna. Manusia diberi satu kelebihan yang melebihi dari makhluk yang lain iaitu dikurniakan akal untuk berfikir. Akal yang diberi sangat membantu manusia meneruskan kehidupan seharian mereka. Akal membantu manusia berfikir apa yang perlu dilakukan dan mengajar manusia perkara baru setiap hari.

Namun, cukupkah akal yang terbatas ini bagi manusia meneruskan kehidupan mereka? Adakah akal semata-mata mampu membuatkan manusia hidup bahagia? Manusia juga mempunyai hati, naluri, perasaan, kecerdasan berfikir dan mata hati untuk dijaga. Kesemua perkara ini perlu dikawal agar dapat digunakan pada masa dan waktu yang betul.

Apakah yang menghubungkan kesemua ini? Jawapan kesemua ini adalah Agama. Agamalah yang mengawal kehidupan seorang manusia sehari-harian. Agama memberi garis panduan kepada manusia apa yang perlu dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan. Ya! Agama penting untuk manusia. Jika ada pihak yang mengatakan agama merupakan perkara sia-sia, tanggapan mereka salah sama sekali.

Jika kita lihat sendiri, binatang wujud lebih awal daripada kewujudan manusia itu sendiri. Kewujudan mereka lebih lama berbanding kewujudan manusia. Namun mereka tidak mampu membina tamadun mereka sendiri. Mereka hanya hidup di alam masing-masing. Ikan di laut, gajah didarat, burung di udara dan sebagainya.

Manusia secara fitrahnya memajukan kawasan sekeliling mereka. Alam sekitar kita dirikan rumah, anak-anak kita bina kecerdikan dan akal budi mereka. Persoalannya, apakah garis panduan untuk semua itu? Semestinya kita membangunkannya berdasarkan anutan kita. itulah yang dipanggil agama. Setiap manusia mencari jalan hendak membangunkan diri mereka dengan anutan mereka. Lalu disitu manusia pun memilih. Ada yang memilih agama itu dan ini.

Disini kita dapat melihat akan kepentingan beragama. Jika kita tidak beragama, apakah garis panduan hidup kita? Apakah hala tuju kita hidup kita? Adakah kita ingin menjadi seperti haiwan yang hanya melakukan aktiviti seharian mereka tanpa mempunyai hala tuju hidup? Melakukan sesuatu bedasarkan nafsu mereka semata-mata?

Akhirnya, penulis ingin menegaskan disini kehidupan beragama sangat penting dan berguna buat kita semua. Tanpa agama kita tiada hala tuju. Ibarat kapal tanpa destinasi yang jelas. Hanya belayar mengikut haluan angin yang bertiup. Harapan penulis agar kita semua sedar kepentingan beragama dan mengikut apa yang diperintahkan oleh agama. Ianya tidak lain untuk kebaikan diri kita juga.

Sep 24, 2009

Katakan tidak pada FITNAH!!

Fitnah merupakan salah satu daripada dosa besar. Jika dibuat senarai sifat mazmumah yang ada, fitnah menduduki tangga teratas daripada senarai yang ada. (Ibid, 1984:124). Namun apa yang menyedihkan fitnah seolah-olah menjadi perkara biasa pada masyarakat kini.

Ini bertepatan dengan sabda junjungan kita Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Akan muncul suatu ketika dimana ilmu Islam dihapuskan, muncul pelbagai fitnah, berleluasanya sifat kedekut dan banyak berlaku jenayah.” (Riwayat Muslim dalam Kitab Ilmu, Hadis no. 4827)

Ada suatu cerita, seorang lelaki pergi ke pekan membeli hamba. Ia kemudian ditawar seorang hamba yang sempurna kecuali ia gemar memfitnah. Oleh kerana lelaki itu mengangap fintah merupakan perkara biasa, beliau bersetuju membeli hamba tersebut.

Selepas lama berkhidmat untuk tuannya, hamba itu mula berkata kepada isteri tuannya yang suaminya hendak berkahwin lain. Lalu hamba tersebut terus mencadangkan kepada isteri tuannya agar menggagalkan rancangan suaminya iu menggunakan ubat guna-guna dengan mengambil beberapa bulu roma suaminya. Dia mencadangkan supaya diambil menggunakan pisau cukur yang tajam supaya suaminya tidak berasa sakit semasa tidur.

Kemudian hamba tersebut memberitahu pula kepada tuannya yang isteri tuan tersebut ingin membunuh tuan tersebut semasa dia sedang tidur. Hamba ersebut mencadangkan kepada tuannya agar berpura-pura tidur untuk melihat sendiri perkara tersebut.

Hendak dijadikan cerita, ketika si suami benar-benar berpura-pura tidur, si isteri datang membawa pisau cukur yang tajam dan memegang leher si suami. Si suami lantas mengambil pisau cukur tersebut lalu terus menyembelih isterinya. Keesokan harinya keluarga si isteri menuntut kematian itu lantas berlakulah bunuh-membunuh antara dua keluarga.


Berdasarkan kisah tersebut, kita dapat mengambil beberapa pengajaran penting. Pertama fitnah bukanlah perkara kecil kerana ia boleh mengakibatkan masyarakat berpecah-belah sampai boleh bunuh-membunuh. Kedua kita perlu menilai kebenaran kisah yang disampaikan kepada kita. Jangan terima bulat-bulat tanpa usul periksa kerana ia boleh membawa malapetaka dikemudian hari.

Fitnah boleh diertikatakan sebagai sengaja mengadakan keburukan dan kekurangan orang lain, menokok tambah keaiban dan kelemahan orang dan memalsukan kebaikan sehingga menjadi keburukan. (Zulkarnain, 1984:124)

Fitnah bertujuan memburukkan seseorang. Ada pihak yang memfitnah dengan tujuan mempromosikan diri sendiri sambil memburukkan pihak lawan. Cara sebegini sering dilakukan oleh masyarakat masa kini. Meletakkan kesalahan pada orang lain tanpa menilai diri sendiri demi menjatuhkan lawan masing-masing.

Firman Allah SWT dalam Al-Quran: “Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, Maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Surah Al-Hujurat, 49:6)

Ayat diatas menunjukkan Allah SWT memberi peringatan kepada manusia agak menyelidik telebih dahulu berita yang didengar. Janganlah tergesa-gesa percaya dan sebar kepada orang lain mahupun menafikan benda tersebut tanpa menilai kebenarannya.

Kita sebagai umat Islam perlu beringat, perbuatan fitnah jelas bertentangan dalam Islam. Maka sebagai umat Islam wajib kepada kita semua untuk menghindari daripada berbuat fitnah. Fitnah kalau dibiarkan ianya akan melekat dihati kita semua dan menyebabkan hati menjadi hitam.

Akhirnya, ingatlah setiap apa yang kita tuturkan, semuanya dicatat dan pertanggungjawabkan keatas kita sebagai orang yang bercakap. Jika kita menjaga lidah kita dari bertutur perkara yang tidak elok, lebih baik kita diam sahaja. Ianya lebih baik bagi menjaga keharmonian masyarakat sekeliling kta baik didunia mahupun diakhirat kelak.

*sumber daripada buku "DiSebalik Diri"

Sep 19, 2009

Raya Oh Raya..


Allahuakbar...Allahuakbar....Allahuakbar...

Suara takbir memecah keheningan malam. Sesekali terdengar bunyi dentuman mercun. Di hadapan halaman kelihatan beberapa orang lelaki tidak mengenal usia yang sedang memasak lemang, rendang dan sebagainya. Sesekali gelak ketawa kedengaran di antara mereka. Seumpama telah lama tidak berjumpa. Di dapur kelihatan wanita-wanita sedang menganyam ketupat pelbagai bentuk. Kanak-kanak kelihatan berlari-lari sambil bermain dengan lampu pelita dihalaman rumah.

Televisyen juga tidak ketinggalan menyiarkan cerita-cerita sempena raya ini. Masing-masing berlumba untuk menarik penonton menonton siaran masing-masing. Radio pula sudah lama mendendangkan lagu raya di stesen masing-masing. Terasa asyik bila mendengar. Pelbagai kenangan akan dikenang kembali apabila mendengar lagu raya. Ada yang bersedih, ada yang gembira, ada yang teringat kampung halaman, dan ada juga yang teringat barang banyak yang tidak dibeli lagi. Tidak kurang juga ada yang akan mengenang duit raya yang bakal diperolehi. Pastinya sasaran duit sudah dibuat untuk raya kali ini. Apa-apa jela adik-adik oi. Kalau puasa tidak penuh, mint maaf jela. Hehe..

Begitulah suasana setiap kali menjelang hari raya. Sungguh meriah dan hidup dengan suasana dan ragam yang pelbagai. Pertemuan setahun sekali ini digunakan dengan sebaik mungkin untuk bertanyakan khabar. Namun, ada juga yang bersedih tidak dapat pulang ke kampung kerana kesibukan kerja dan lain-lain perkara.


Akhirnya, dikesempatan yang ada ini, saya Muhammad Akmal ingin memohon ampun maaf jika ada tersalah kata, terlebih dalam bergurau, perbuatan yang tidak disenangi, dan sebagainya. Diri ini hanyalah seorang manusia biasa yang penuh dengan kesilapan dan kekurangan. Semoga raya kali ini digunakan dengan sebaik mungkin oleh sahabat sekalian. Akhir kalam, SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR DAN BATIN.

Sep 17, 2009

Selamat Bercuti Semua..


Hati ini berasa sangat gembira bercampur duka. Hati ini sedih kerana hari raya bakal menjelma. Ia bermakna Ramadhan bakal melabuhkan tirainya pada tahun ini. Apapun harapanku semoga puasa dan ibadahku sepanjang bulan ini diterima oleh Allah SWT. Aku juga berharap semoga dapat bertemu lagi dengan bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini.

Bila raya semakin hampir, ia bermakna cuti semester semakin hampir. Rakan-rakan sekolejku semakin ramai yang sudah pulang ke kampung halaman masing-masing untuk bertemu dengan keluarga tersayang. Ada yang pulang ke utara, selatan, pantai timur dan tidak dilupakan di Sabah dan Sarawak. Semoga kalian selamat sampai kedestinasi dan selamat pulang juga ke universiti nanti.

Bila sebut pasal pulang ke kampung, pastinya di hati kita akan teringat-ingat kepada kedua orang tua kita. Orang yang telah melahir dan membesarkan kita sehingga kita berjaya hari ini. Tanpa mereka, siapalah kita ini. Gunakanlah peluang ini untuk menyumbang bakti kepada mereka. Kepada yang telah tiada ibu dan ayah, banyak-banyakkan berdoa semoga roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah SWT. Amiinn..

Pengalaman pulang ke kampung pastinya sangat berbeza dengan keadaan di Bandar. Kampung merupakan tempat yang tenang lagi permai. Ianya sangat berbeza dengan di Bandar yang bingit lagi sesak setiap hari. Ditambah lagi dengan banggunan yang tinggi mencakar langit. Kampung merupakan tempat kita kembali kepada keadaan asal dimana keadaan kita merasa tenang dan damai. Bebas dari sebarang masalah yang merunsingkan. Pesanku gunakanlah kesempatan masa cuti ini dengan sebaik mungkin. Kita tenangkan fikiran kita yang telah dipenuhi dengan pelbagai anasir yang tidak diingini.

Akhirnya, penulis ingin mengucapkan selamat bercuti kepada semua. Semoga cuti kali ini dimanfaatkan dengan sebaiknya. Rapatkan hubungan dengan ahli keluarga masing-masing. Janganlah disia-siakan masa cuti yang telah diberikan. Bantulah ahli keluarga masing-masing dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya yang bakal tiba tidak lama lagi. Semoga kalian selamat sampai ke destinasi masing-masing-(^^,)v

Sep 11, 2009

Ujian Allah SWT..Bagaimana Kita Menghadapinya?

Allah SWT sentiasa mengingati hamba-hambanya. Antaranya ditimpakan kepada umatnya musibat dan nikmat supaya manusia sedar dan kembali mengingati kehebatan Allah SWT. Hal ini kerana manusia mempunyai sifat yang berbeza samada dalam keadaan senang mahupun dalam keadaan sukar.

Firman Allah SWT dalam wahyuNya yang Maha agung yakni Al-Quran surah Fusilat ayat 41 hingga 51 yang bermaksud, “Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah dia serta menjauhkan diri (dari bersyukur) dan apabila dia ditimpa kesusahan maka ia berdoa merayu dengan panjang lebar.”

Berdasarkan ayat diatas, dapatlah kita rumuskan betapa sifat manusia ini apabila dikurniakan nikmat akan menjadi kufur dan alpa. Manakala jika diberi kesusahan, barulah ia berdoa dan kembali pada Allah SWT. Inilah lumrah kehidupan seorang manusia biasa.

Kemudian Imam Syafie ada berpesan “ Sabar menghadapi musibah adalah sebesar-besar erti sabar di mana sabar itu sendiri memerlukaan kesabaran pula. Adapun bala dan musibah yang menimpa, ia menunjukkan adanya perhatian dan kasih sayang Allah. Oleh itu, syukurilah ia kerana syukur yang sedemikian setinggi-tinggi erti syukur.”

Ada sesetengah individu yang apabila dikurniakan sedikit kesusahan, akan kerap mengeluh dan kurang keimanannya kepada Allah SWT. Mereka menjadi ingkar kepada Allah SWT. Segala ibadah wajib seperti sembahyang dan puasa ditinggalkan. Mereka berasa diri mereka diabaikan oleh Allah SWT.

Manakala, ada golongan yang apabila dikurniakan sedikit kesenangan, dia menjadi sangat sombong. Kedudukan yang ada akan digunakan untuk kepentingan sendiri. Ilmu yang dipelajari, digunakan untuk perkara yang membawa kepada keburukan. Mereka menggunakannya untuk merugikan orang lain atas dasar kepentingan peribadi mereka sendiri. Mereka lupa siapakah yang mengurniakan nikmat tersebut kepada mereka.

Kesemua tersebut dilakukan untuk menguji tahap keimanan mereka kepada Allah SWT. Jadilah kita golongan yang paling tinggi darjatnya. Berimanlah kita dengan penuh yakin dan istiqamah. Apabila dikurniakan nikmat, kita bersyukur dengan ucapan dan perbuatan kita. Apabila kita ditimpa musibah, tetaplah dengan keimanan kita. Jangan mudah terpengaruh dan mudah berubah.

Akhirnya, penulis berpesan pada diri sendiri dan pembaca sekalian, ingatlah, jika hari ini kita seorang yang pandai dan berharta, tidak mustahil ianya akan hilang dalam masa sehari sahaja. Kesemua nikmat dan musibah yang ditimpa keatas kita pastinya mengandungi 1001 hikmah yang tersembunyi. Kesemuanya dilakukan dengan tujuan untuk melihat sejauh mana keimanan dan kepercayaan kita kepada Allah SWT.

Sep 9, 2009

Ia semakin hampir..namun kita bagaimana?

Masa semakin pantas berlalu. Rasanya bagai semalam baru saja kita mendengar pengumuman puasa dibuat di kaca TV kita. Kini sudah lebih separuh bulan kita menjalani ibadah berpuasa ini. Pastinya pelbagai perkara telah kita tempuhi dan lalui sepanjang bulan ini.

Kini kita sudah berada di fasa kritikal dimana pada fasa ini kita seharusnya melipat gandakan usaha kita untuk mencari pahala semaksimum mungkin. 10 malam terakhir di sebut oleh baginda kita mengatakan terdapat satu malam yang sangat istimewa buat umat manusia. Malam tersebut disebut malam Lailatul Qadr.

Keistimewaannya sudah kita semua ketahui. Jadi, sementara kita masih ada masa, marilah kita sama-sama memenuhi malam-malam kita dengan meningkatkan ibadah kita kepada Allah SWT. Kita bersama-sama lakukan seolah-olah kita tidak akan berjumpa lagi dengannya pada masa hadapan. Gunakan segala ruang dan peluang yang masih ada bagi kita demi mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.

Namun, jika dilihat realiti kini, bulan puasa yang sepatutnya menjadi bulan tarbiyyah, dicemari dengan pelbagai insiden yang tidak sepatutnya berlaku. Antaranya seperti yang berlaku di Kuantan. Ia mengisahkan bagaimana seorang lelaki yang tidak berpuasa di tahan oleh Jabatan Agama Negeri di cyber café. Tambah memalukan lelaki tersebut membawa anaknya yang baru berusia 3 tahun bersamanya. Ia langsung tidak mencerminkan ciri-ciri bapa yang baik.

Seterusnya jika dilihat lagi, banyak kes curi dan rompak dilaporkan berlaku disekitar ibu kota. Ianya seolah-olah tiada penghujungnya. Kes kecurian, rompak, ragut sering berlaku dimana-mana. Namun ianya akan bertambah parah lebih-lebih lagi pada musim tertentu. Adakah tiada jalan yang terbaik bagi menghalang dari ianya terus menular manjadi lebih parah?

Apapun ianya terpulang kepada kita semua bagaimana kita mahu menghalang perkara ini dari terus berlaku. Janganlah hanya menyalahkan pihak tertentu sahaja tanpa menilai diri kita kembali. Bulan puasa ini sepatutnya menjadi bulan untuk kita menjadi neutral dari segala dosa. Bulan untuk kita mensucikan diri kita dari dosa-dosa lalu.

Akhirnya, sementara kita masih ada masa dan waktu, marilah kita sama-sama menjaga diri dan keluarga kita dengan baik. Gunakan 10 malam terakhir yang ada dengan sebaiknya. Rapatkan diri kita dengan pencipta kita. Gunakan peluang yang telah diberi dengan sebaik mungkin. Semoga kita dapat berjumpa dengan malam tersebut. Aminn…

Sep 1, 2009

Malaysia dan Ramadhan...

Ramadhan semakin menginjak usianya. Sedar tidak sedar hampir 2 minggu kita menjalani ibadah puasa di bulan ini. Pelbagai dugaan dan rintangan telah kita tempuhi sepanjang berpuasa. Penulis berharap moga-moga apa yang kita laksanakan diterima oleh Allah SWT. Selain itu juga, ia boleh mendekatkan lagi hubungan kita sebagai hamba dengan pencipta.

Puasa kali ini pastinya sangat istimewa kerana ia bertembung dengan hari Kemerdekaan Malaysia yang kini sudah berusia 52 tahun. Pastinya ianya sangat istimewa buat semua rakyat Malaysia dan khususnya buat orang Islam. Hal ini kerana kemerdekaan sangat berei buat rakyat Malaysia khususnya golongan pejuang kemerdekaan yang masih hidup hingga kini. Jasa dan sumbangan mereka dalam membebaskan Malaysia dari penjajah akan sentiasa dikenang dan diingati oleh seluruh rakyat Malaysia.

Sambutan merdeka peringkat nasional kali ini disambut dengan sangat sederhana dan berpada-pada. Ianya disebabkan oleh pandemik H1N1 yang kian menular dan sangat merbahaya kepada dunia umumnya dan kepada rakyat Malaysia khususnya. Pastinya yang utama, ianya kerana bulan puasa yang sedang dilalui oleh umat Islam kini.

Secara peribadi penulis berasa sambutan bulan kemerdekaan bukan sakadar dengan laungan sahaja. Ianya patut dibuktikan dengan diri membuktikan kesetiaan kita pada Negara. Janganlah menjadi seperti anjing yang hanya pandai menyalak diatas bukit namun tidak tahu membuat apa-apa. Jika rakyat Jepun dalam berperang sanggup mengorbankan diri mereka demi Negara mereka, bagaimana pula dengan kita?

Sedar atau tidak, pelbagai perkara yang boleh kita lakukan untuk mengharumkan nama Negara kita. Tambahan pula status Negara kita yang masih membangun. Terdapat pelbagai bidang yang boleh kita ceburi bagi memastikan Malaysia berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan Negara-negara maju yang lain. Ianya terpulang kepada diri kita sendiri apa yang ingin kita lakukan bagi mengharumkan nama Negara kita sendiri di kaca mata dunia.

Rakyat Malaysia ramai yang sudah menempah nama di peringkat antarabangsa. Antaranya alwayarham Senator Ismail Salleh yang baru meninggalkan kita baru-baru ini. Beliau diiktiraf oleh Guiness World Book of Record sebagai orang buta pertama mendapat Doktor Falsafah (PhD).

Bidang sukan juga tidak ketinggalan dalam mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa. Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol David telah menempa status mereka sebagai pemain nombor satu dalam bidang masing-masing. Kesemua tokoh tersebut telah memperkenalkan nama Malaysia diperingkat antarabangsa. Bagaimana pula dengan kita?

Akhirnya, dikesempatan yang ada ini, penulis ingin mengucapkan Selamat Ulangtahun ke-52 Malaysia kepada semua rakyat Malaysia. Semoga kemerdekaan yang kita kecapi kali ini akan terus dinikmati oleh generasi kita selepas ini. Insyallah..
Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 .: Ahli Parlimen 2030 :.. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan