Manusia merupakan makhluk ciptaan Allah SWT yang sangat istimewa dan sempurna. Manusia diberi satu kelebihan yang melebihi dari makhluk yang lain iaitu dikurniakan akal untuk berfikir. Akal yang diberi sangat membantu manusia meneruskan kehidupan seharian mereka. Akal membantu manusia berfikir apa yang perlu dilakukan dan mengajar manusia perkara baru setiap hari.
Namun, cukupkah akal yang terbatas ini bagi manusia meneruskan kehidupan mereka? Adakah akal semata-mata mampu membuatkan manusia hidup bahagia? Manusia juga mempunyai hati, naluri, perasaan, kecerdasan berfikir dan mata hati untuk dijaga. Kesemua perkara ini perlu dikawal agar dapat digunakan pada masa dan waktu yang betul.
Apakah yang menghubungkan kesemua ini? Jawapan kesemua ini adalah Agama. Agamalah yang mengawal kehidupan seorang manusia sehari-harian. Agama memberi garis panduan kepada manusia apa yang perlu dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan. Ya! Agama penting untuk manusia. Jika ada pihak yang mengatakan agama merupakan perkara sia-sia, tanggapan mereka salah sama sekali.
Jika kita lihat sendiri, binatang wujud lebih awal daripada kewujudan manusia itu sendiri. Kewujudan mereka lebih lama berbanding kewujudan manusia. Namun mereka tidak mampu membina tamadun mereka sendiri. Mereka hanya hidup di alam masing-masing. Ikan di laut, gajah didarat, burung di udara dan sebagainya.
Manusia secara fitrahnya memajukan kawasan sekeliling mereka. Alam sekitar kita dirikan rumah, anak-anak kita bina kecerdikan dan akal budi mereka. Persoalannya, apakah garis panduan untuk semua itu? Semestinya kita membangunkannya berdasarkan anutan kita. itulah yang dipanggil agama. Setiap manusia mencari jalan hendak membangunkan diri mereka dengan anutan mereka. Lalu disitu manusia pun memilih. Ada yang memilih agama itu dan ini.
Disini kita dapat melihat akan kepentingan beragama. Jika kita tidak beragama, apakah garis panduan hidup kita? Apakah hala tuju kita hidup kita? Adakah kita ingin menjadi seperti haiwan yang hanya melakukan aktiviti seharian mereka tanpa mempunyai hala tuju hidup? Melakukan sesuatu bedasarkan nafsu mereka semata-mata?
Akhirnya, penulis ingin menegaskan disini kehidupan beragama sangat penting dan berguna buat kita semua. Tanpa agama kita tiada hala tuju. Ibarat kapal tanpa destinasi yang jelas. Hanya belayar mengikut haluan angin yang bertiup. Harapan penulis agar kita semua sedar kepentingan beragama dan mengikut apa yang diperintahkan oleh agama. Ianya tidak lain untuk kebaikan diri kita juga.
0 ulasan:
Post a Comment