Sep 11, 2009

Ujian Allah SWT..Bagaimana Kita Menghadapinya?

Allah SWT sentiasa mengingati hamba-hambanya. Antaranya ditimpakan kepada umatnya musibat dan nikmat supaya manusia sedar dan kembali mengingati kehebatan Allah SWT. Hal ini kerana manusia mempunyai sifat yang berbeza samada dalam keadaan senang mahupun dalam keadaan sukar.

Firman Allah SWT dalam wahyuNya yang Maha agung yakni Al-Quran surah Fusilat ayat 41 hingga 51 yang bermaksud, “Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah dia serta menjauhkan diri (dari bersyukur) dan apabila dia ditimpa kesusahan maka ia berdoa merayu dengan panjang lebar.”

Berdasarkan ayat diatas, dapatlah kita rumuskan betapa sifat manusia ini apabila dikurniakan nikmat akan menjadi kufur dan alpa. Manakala jika diberi kesusahan, barulah ia berdoa dan kembali pada Allah SWT. Inilah lumrah kehidupan seorang manusia biasa.

Kemudian Imam Syafie ada berpesan “ Sabar menghadapi musibah adalah sebesar-besar erti sabar di mana sabar itu sendiri memerlukaan kesabaran pula. Adapun bala dan musibah yang menimpa, ia menunjukkan adanya perhatian dan kasih sayang Allah. Oleh itu, syukurilah ia kerana syukur yang sedemikian setinggi-tinggi erti syukur.”

Ada sesetengah individu yang apabila dikurniakan sedikit kesusahan, akan kerap mengeluh dan kurang keimanannya kepada Allah SWT. Mereka menjadi ingkar kepada Allah SWT. Segala ibadah wajib seperti sembahyang dan puasa ditinggalkan. Mereka berasa diri mereka diabaikan oleh Allah SWT.

Manakala, ada golongan yang apabila dikurniakan sedikit kesenangan, dia menjadi sangat sombong. Kedudukan yang ada akan digunakan untuk kepentingan sendiri. Ilmu yang dipelajari, digunakan untuk perkara yang membawa kepada keburukan. Mereka menggunakannya untuk merugikan orang lain atas dasar kepentingan peribadi mereka sendiri. Mereka lupa siapakah yang mengurniakan nikmat tersebut kepada mereka.

Kesemua tersebut dilakukan untuk menguji tahap keimanan mereka kepada Allah SWT. Jadilah kita golongan yang paling tinggi darjatnya. Berimanlah kita dengan penuh yakin dan istiqamah. Apabila dikurniakan nikmat, kita bersyukur dengan ucapan dan perbuatan kita. Apabila kita ditimpa musibah, tetaplah dengan keimanan kita. Jangan mudah terpengaruh dan mudah berubah.

Akhirnya, penulis berpesan pada diri sendiri dan pembaca sekalian, ingatlah, jika hari ini kita seorang yang pandai dan berharta, tidak mustahil ianya akan hilang dalam masa sehari sahaja. Kesemua nikmat dan musibah yang ditimpa keatas kita pastinya mengandungi 1001 hikmah yang tersembunyi. Kesemuanya dilakukan dengan tujuan untuk melihat sejauh mana keimanan dan kepercayaan kita kepada Allah SWT.

0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 .: Ahli Parlimen 2030 :.. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan