Sep 26, 2009

Anugerah Dari Langit

Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat kedua bermaksud “ Kitab (Al-Quran) Ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa”

Al-Quran merupakan kitab yang memberi petunjuk dan panduan kepada seluruh manusia amnya dan umat Islam khasnya. Semenjak kita kecil lagi, kita telah di ajar mengenal huruf-huruf Al-Quran dan menyebutnya sehingga fasih. Akhirnya kita kini mampu membaca dan menghafaz surah-surah yang terdapat di dalamnya.

Setiap nabi dan rasul dikurniakan wahyu berdasarkan keadaan umat mereka pada zaman tersebut. Sebagai contoh, kaum Nabi Isa amat mahir dalam bidang perubatan. Segala jenis penyakit diorang dapat ubatkan melainkan penyakit sopak dan kusta. Turunnya Nabi Isa dengan dikurniakan dengan mukjizat yang hebat yakni mampu menyembuhkan kedua-dua jenis penyakit tersebut. Ianya seseuatu yang luar biasa yang dan telah mengatasi kebolehan manusia biasa.

Bangsa Arab sangat terkenal dengan kehebatan dan bijak dalam ilmu karang mengarang puisi dan prosa serta mendeklamasikan syair. Terdapat pelbagai pesta dan majlis khas dianjurkan untuk pertandingan mendeklamasikan syair masing-masing. Sesiapa yang menang dan terpilih syairnya, akan menjadi terkenal di seluruh Tanah Arab.

Apabila Muhammad SAW dilantik menjadi Rasul, Allah SWT telah kurniakan kepada baginda Al-Quran yang mengandungi pelbagai keistimewaan. Ia mempunyai nilai bahasa yang sangat tinggi, struktur ayat yang indah, maknanya yang mendalam dan nilai sasteranya yang sangat tinggi mengatasi syair-syair yang pernah dicipta sebelum itu. Disini jelas menunjukkan Al-Quran diturun bagi mencabar bangsa arab khususnya dan bangsa manusia yang lain amnya.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat ke 23 bermaksud: “Dan jika kamu tetap dalam keraguan tentang Al Quran yang kami wahyukan kepada hamba kami (Muhammad), buatlah satu surah (saja) yang setanding Al Quran itu dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar.”

Ayat diatas Allah SWT mencabar kepada sesiapa yang mendakwa Al-Quran itu palsu, untuk membuat sesuatu yang sama seperti Al-Quran. Bahkan Allah SWT memberi peluang untuk bergabung beramai-ramai bagi menghasilkan benda yang serupa. Hal ini kerana kemampuan manusia sangat terbatas dan terhad sedangkan Al-Quran sangat tinggi teknologinya.

Al-Quran diturunkan bukanlah sekadar menjadi perhiasan di dinding mahupun untuk dikahatam semata-mata. Penurunannya adalah lebih daripada itu. Ianya sebagai panduan kepada manusia dalam kehidupan seharian. Al-Quran merupakan surat cinta daripada Allah SWT. Dalamnya merupakan bait-bait cinta khas untuk hambanya bergelar manusia.

Ianya mengandungi peringatan, janji dan kisah-kisah yang boleeh dibuat teladan. Ianya tidak lapuk di telan masa dan tak lekang di telan zaman. Ianya sentiasa sesuai sepanjang masa. Sesiapa yang mengatakan Al-Quran sudah tidak relevan, ia perlu memeriksa kembali akidah mereka. Ianya satu tuduhan yang sangat melampau dan mencabar keagungan Allah SWT sebagai Tuhan kita.

Kajian daripada musuh-musuh Islam mendapati antara punca kekuatan umat Islam lampau adalah kerana umat terdahulu sangat berpegang pada Al-Quran. Mereka mengambil keputusan untuk menjauhkan umat Islam daripada Al-Quran agar Islam menjadi lemah. Hasrat mereka kini tercapai. Umat Islam kini bukan sahaja tidak mengamalkan apa yang termaktub didalam Al-Quran, bahkan menjadikannya sebagai perhiasan didinding sahaja.

Mereka tidak lagi menjadikan Al-Quran sebagai rujukan utama, tetapi untuk masa-masa tertentu sahaja mengikut kemahuan mereka. Kesemua ini kerana mereka merasa Al-Quran itu sudah tidak relevan dan hanya membuang masa. Ilmu barat lebih terkini dan moden. Namun kita sering terlupa. Kejayaan barat kini banyak disebabkan pengkajian mereka dalam Al-Quran.
Kita yang tidak tahu apa-apa mempercayai mereka sepenuhnya. Aduh! Malang sungguh kita…

Akhirnya penulis ingin berpesan, ketahuilah surat cinta Allah SWT sangat bernilai. Jika kita sebagai umat Islam tidak menghargai kitab tersebut, pastinya kita akan menjadi umat yang sangat rugi. Penulis berpesan kepada diri sendiri dan pembaca sekalian agar kita meluangakan lebih banyak masa kita dengan Al-Quran. Ianya tidak rugi bahkan kita akan mendapat pahala kerana perkara tersebut.

1 ulasan:

Anonymous said...

membaca seluruh blog, cukup bagus

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 .: Ahli Parlimen 2030 :.. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan