Dec 31, 2009

2009 Kian Melabuhkan Tirainya..Satu Muhasabah


Tahun 2010 semakin hampir. Ia bermakna semakin dekat dengan tarikh ajalku. Bila masa dan bagaimana aku menghadapinya, hanya Allah SWT saja maha mengetahui. Sebagai hamba, aku perlu akur dengan segala ketentuan yang telah ditetapkan oleh NYA. Kerana dia tahu apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Sesungguhnya Allah Maha penyayang lagi maha mengetahui.

Sebelum bermula tahun baru, suka sahaja aku mengimbas kenangan 2009 yang bakal melabuhkan tirai tidak lama lagi. Pelbagai perkara berlaku pada tahun 2009. Samada berlaku pada diriku sendiri ataupun dalam Negara mahupun luar Negara. Kesemuanya mempunyai taksiran sendiri oleh Allah SWT.

Bagiku, perkara paling penting yang terjadi pada tahun 2009 ialah aku berjaya melangkah kaki meneruskan perjuangan ilmuku ke UmKL. Memang dari sekolah menengah lagi aku sememangnya mahu menuntut ilmu di universiti tertua di Malaysia ini.

Dec 28, 2009

Fanemona Artis Kini Membimbangkan..


Artis Malaysia kini tumbuh bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Antara faktor utama ianya disebabkan kebanjiran pelbagai program realiti televisyen saban tahun. Ianya seakan tidak akan berakhir malahan bertambah banyak. Tidak cukup dengan golongan remaja dan dewasa menjadi sasaran, anak-anak kecil juga tidak terlepas dari fenomena ini.

Ibu-bapa pula seakan memberi galakan dan dorongan kepada anak-anak mereka dalam menyertai program-program sebegini. Tidak kurang juga ada yang telah melatih anak-anak dari kecil lagi. Anak-anak dihantar kekelas dan latihan suara. Alasan mereka bagi mengembangkan bakat-bakat anak-anak mereka.

Dec 26, 2009

26 Disember Segalanya Bagiku


Alhamdulillah!! Itulah kata-kata yang mampu saya luahkan pada tarikh 26 Disember ini. Rasa bersyukur sangat kerana masih diberi ruang dan peluang oleh Allah SWT yang telah mengurniakan saya kehidupan sehingga kehari ini. Sungguh tidak terbalas. Hanya mampu memanjat setinggi-tinggi kesyukuran tanda kedaifan diri ini.

Syukur Ya Allah..kau masih memberi hambamu ini nyawa dan peluang untuk terus hidup di muka bumimu ini. Sungguh kuakui aku masih banyak kekurangan dan kelemahan, namun aku sentiasa berharap apa yang kulakukan selama ini adalah untuk agama dan untuk keredhaanMu Ya Allah. Tanpa keredhaanMu, siapalah diriku ini. Hanya insan lemah bergelar manusia.

Dec 24, 2009

Ayuh! Kita Berjemaah..


Manusia merupakan makhluk Allah yang paling sempurna kejadiannya. Manusia dikurniakan akal fikiran bagi berfikir baik buruk selain nafsu yang menguji tahap keimanan manusia itu sendiri. Hatta malaikat juga diperintahkan oleh Allah untuk sujud kepada nabi Adam. Begitu hebat dan tingginya darjat makhluk Allah bergelar insan ini.

Namun, manusia tidak dapat hidup secara sendirian. Mereka saling memerlukan antara satu sama lain bagi meneruskan kelangsungan hidup di bumi Allah ini. Ia bermakna peribadi manusia itu tidak terlepas dari kehidupan bermasyarakat dan berkawan. Tiada siapa yang mampu hidup secara bersendirian tanpa bantuan daripada manusia yang lain.

Dec 21, 2009

Rakyat Malaysia; Maafkanlah Orang Tak Berdaya Ini


Islam menganjurkan umatnya berlapang dada dan saling bermaafan antara satu sama lain. Dalam bahasa Arab dikenali sebagai ‘al-afw’ bererti melepaskan, membuka dan menanggalkan. Manakala dari segi istilah pula memberi maksud memberi maaf kepada orang lain tanpa cerca, tanpa rasa sakit hati dan tanpa dendam.

Firman Allah SWT dalam surah Nur ayat 22 “…dan hendaklah mereka mema'afkan dan berlapang dada. apakah kamu tidak ingin bahwa Allah mengampunimu? dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”

Dalam sirah, kita boleh lihat bagaimana sikap Nabi Yusuf memaafkan abang-abangnya. Baginda dianiaya oleh abang-abangnya dengan dicampakkan kedalam perigi yang gelap-gelita. Kemudian ditinggalkan dalam hutan belantara seorang diri. Dengan izin Allah baginda diselamatkan dan akhirnya menjadi menteri di Mesir.

Dec 19, 2009

Kemenangan Luas Maknanya


Kemenangan merupakan anugerah yang sangat berharga. Ia merupakan satu impian dan harapan yang wujud pada setiap panglima perang yang sedang berperang dalam peperangan, setiap parti politik yang bertanding dalam pilihanraya, setiap ahli tinju yang sedang bertarung dalam gelanggang dan setiap pelumba yang sedang berlumba di litar.

Kemenangan menjadi matlamat akhir dan dijadikan indikator bagi menilai prestasi diri masing-masing. Menurut Sun Tzu, dalam bukunya ‘The Art of War’ menyatakan kemenangan dalam peperangan yang mutlak adalah kemenangan tanpa pertempuran. Manakala William Hazlitt dalam bukunya, ‘On Great and Little Things’ menyatakan kalau anda fikir anda menang, anda akan menang.

Dec 10, 2009

Luqman al-Hakim motivater dari Quran

Luqman al-Hakim merupakan seorang tokoh ilmuwan islam yang sangat masyhur. Bukti paling nyata yang boleh kita lihat ialah kisah beliau telah tercatat dalam al-Quran. Hatta nama surah pun bernama Luqman. Begitu tinggi Allah mengangkat martabat seorang hambaNya yang bernama Luqman al-Hakim ini.

Sebahagian para ahli bijak pandai berpendapat bahawa Luqman al Hakim merupakan seorang arif budiman, bukan seorang seorang nabi. Imam Nawawi dalam kitab al-Azkar pula menulis bahawa Luqman dan Maryam bukan seorang nabi. Sebenarnya kedua-duanya tergolong sebagai siddiqin.

Diriwayatkan Jibrail A.S ketika menyuruh Luqman al-Hakim memilih antara kenabian dan hikmah, maka Luqman al-Hakim memilih hikmah. Kemudian Jibrail mengusap dada Luqman al-Hakim dengan sayapnya, lalu Luqman berbicara dengan untaian mutiara hikmah.

Dec 7, 2009

Malaysiaku yang tersayang..

Salam sejahtera dan salam perkongsian ilmu diucapkan kepada semua pembaca sekalian. Kali ini penulis amat berminat ingin berkongsi dengan pembaca sekalian tentang isu-isu yang telah berlaku di Malaysia kini. Jika dilihat di surat khabar, pelbagai kisah politik yang berlaku. Ianya dilihat sangat kritikal dan panas.

Bermula dari isu perpecahan dalaman MCA, isu tauliah di Selangor, isu demonstrasi di P.Pinang, Kelantan, dan Perak, isu BTN di Selangor, sehinggalah kepada isu doa sekarang. Isu-isu ini kini hangat diperkatakan di kedai-kedai kopi dan di pejabat-pejabat baik awam mahupun swasta. Kesemua isu ini mencerminkan keadaan politik Malaysia yang penuh warna-warni.

Penulis tidak mahu mengulas panjang mengenai isu politik yang berlaku kerana bagi penulis ada yang lebih ahli dalam bab-bab ini. Cukuplah sekadar menjadikan apa yang berlaku ini sebagai satu pengajaran dan pengalaman yang berguna kepada penulis sebagai generasi muda yang bakal menggantikan kepimpinan Malaysia ini satu masa nanti. Insyallah.

Seterusnya bagaimana keadaan pasukan bola sepak Malaysia yang mengalami kekalahan di Laos. Tidak cukup dengan kekalahan itu, pasukan Malaysia juga dipalit dengan isu yang memalukan apabila menyerbu pengadil setelah wisel penamat dibunyikan. Secara peribadi penulis merasakan apa yang berlaku sangat memalukan Malaysia sendiri.

Adat permainan ada yang menang dan ada yang kalah. Apa yang penting kita perlu kembali kepada tujuan asal kenapa pertandingan itu dianjurkan. Ianya tidak bukan untuk memupuk sikap kesukanan antara pemain selain merapatkan hubungan antara Negara-negara Asia Tenggara.

Namun insiden itu menyebabkan matlamat itu kelihatan tersasar. Seolah-olah menang menjadi perkara lebih utama berbanding sikap kesukanan dan kerjasama antara pemain. Perkara ini seharusnya dipandang serius oleh para atlit Malaysia umumnya dan Persatuan Bola Sepak Malaysia khususnya. Perkara ini seharusnya tidak berulang lagi.

Seterusnya bagaimana kehandalan skuad badminton Malaysia yang berjaya merangkul hatrik buat kali kedua berturut-turut pada kejohanan penutup Super Siri Badminton yang berlangsung di Johor. Tahniah diucapkan kepada para pemain Malaysia yang berjaya mengharumkan nama Malaysia.

Apapun pencapaian ini tidak boleh dijadikan kayu ukur terbaik kerana kebanyakan pemain terbaik dunia terutama dari China yang tidak menyertai pertandingan ini. Ianya memudahkan lagi para pemain Malaysia untuk memenangi pertandingan ini tanpa perlu manghadapi lawan yang sukar. Dan tahniah sekali lagi kerana mereka berjaya membuktikan telahan tersebut.

Seterusnya bagaimana terdapat beberapa negeri di semenanjung Malaysia yang mengalami hujan dan menyebabkan banjir dibeberapa kawasan. Bermula di utara tanah air, kemudian kini disusuli dengan negeri pantai timur. Di negeri-negeri lain hanya hujan lebat dilaporkan sepanjang hari. Sesungguhnya hujan yang turun merupakan anugerah dan nikmat yang telah Allah SWT kurniakan kepada hamba-hambaNya.

Akhirnya, cukuplah sekadar ini sahaja perkongsian penulis dengan pembaca yang dikasihi sekalian. Walau apa yang berlaku dan terjadi di Malaysia ini, sebagai rakyat Malaysia, kita perlu cakna dan prihatin. Janganlah sekadar menjadi rakyat yang mementingkan diri sendiri. Kalau bukan kita, siapa lagi yang akan membantu Malaysia kita ini. Sekian saja, terima kasih sudi baca =)

Dec 3, 2009

Solat Anugerah Tidak Terhingga


Solat merupakan kurniaan Allah kepada hamba-hambanya yang beriman. Manakala bagi orang yang munafik atau lemah imannya, mereka akan menganggap solat itu sebagai satu beban. Terdapat juga golongan yang bagi mereka cukuplah sekadar sekali seminggu yakni sembahyang Jumaat. Bahkan lebih parah lagi, ada yang hanya bersembahyang dua kali setahun yakni pada hari raya sahaja. Itupun usai sahaja sembahyang sudah hilang bayang-bayangnya.

Sangat sedih sekali apabila mengenang perkara sebegini berlaku pada umat Muhammad kini. Sangat jauh berbeza dengan umat-umat dahulu kala. Solat yang merupakan asas kepada agama dianggap perkara yang remeh dan tidak lagi penting.

"Jika ada masa, aku solatlah, kalau takde masa, aku nak buat macam mana." monolog seorang pemuda.
"Ala, usia muda lagi, nanti dah tua nanti aku taubatlah!" bentak seorang Dr kepada sahabatnya.

Apakah sebenarnya telah berlaku pada umat Islam kini sehinggakan solat dianggap perkara yang remeh? Walhal solatlah perkara pertama yang akan dihisap di Akhirat kelak. Jika tidak lepas soalan ini, maka siaplah kita denagn azab Allah yang telah tersedia menanti kita.

Rasulullah SAW bersabda :
“Sesungguhnya amalan manusia yang pertama sekali akan dihisap pada hari Kiamat adalah solat. Sekiranya baik solatnya, maka beruntunglah dia; sekiranya buruk ibadat solatnya, maka rugilah dia.” (H.R Tarmidzi, an-Nasai’e, Ibnu Majah, Ahmad, dan Darimi)

Seterusnya dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda :
Diriwayatkan daripada Jabir R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Antara seorang hamba dan kekufuran itu ada batas pemisah, iaitu perbuatan meninggalkan solat.” (H.R at-Tarmidzi, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Kenapakah Rasulullah sangat menyuruh umatnya menjaga solat? Penting sangatkah solat ini? Hal ini kerana solat merupakan tiang agama. Dalam al-Quran banyak ayat yang menerangkan kepentingan mendirikan solat ini.

Antaranya :
Sesungguhnya Aku Ini adalah Allah, tidak ada Tuhan (yang hak) selain aku, Maka sembahlah Aku dan Dirikanlah solat untuk mengingat Aku.(Surah Toha ; 14)
Bacalah apa yang Telah diwahyukan kepadamu, iaitu Al Kitab (Al Quran) dan dirikanlah solat.

Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan- perbuatan keji dan mungkar. dan Sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah al-Ankabut ; 45)

Dan orang-orang yang memelihara sembahyangnya. Mereka Itulah orang-orang yang akan mewarisi, (yakni) yang akan mewarisi syurga Firdaus. mereka kekal di dalamnya. (Surah al-Mukminun ; 9-11)


Berdasarkan ayat al-Quran di atas, kita dapati betapa beruntungnya orang yang menunaikan solat. Selain sebagai benteng diri dari melakukan perkara yang tidak disukai oleh Allah SWT, kita juga di jamin mendapat Syurga Firdaus. Sangat tinggi ganjaran yang telah Allah bagi kepada hamba-hambaNya yang menunaikan sembahyang.

Seterusnya, kajian sains juga menunjukkan betapa banyaknya manfaat yang boleh kita perolehi dengan menunaikan sembahyang ini. Bermula dari mengambil wudhu sehinggalah kita memberi salam dan berdoa. Kesemuanya memberi manfaat kepada kita balik. Maka sangat rugi orang yang menganggap sembanhyang ini sekadar perkara biasa tanpa mengetahui 1001 hikmah disebaliknya.

Solat sering dikaitkan dengan ketenangan jiwa. Apabila jiwa kita tenang, maka sistem tubuh badan kita akan turut sama tenang. Ianya sekaligus membantu peredaran darah menjadi lebih lancar dan sempurna. Seterusnya menjadikan perjalanan tubuh badan kita lebih baik.

Solat yang dilakukan dengan sempurna sebanyak 17 rakaat sehari merupakan senaman yang dilakukan secara tidak sedar. Ia di tambah lagi dengan bilangan rakaat solat sunat yang lain pastinya menambahkan lagi tahap kesihatan tubuh badan kita.

Tambah unik apabila sebelum solat, kita akan membasuh sebahagian daripada anggota badan kita. Ianya dilakukan 5 kali sehari dan pada waktu yang sangat sesuai dengan keperluan tubuh badan manusia.

Sungguh unik dan menarik jika kita mahu merungkai keistimewaan disebalik solat 5 waktu ini. Betapa uniknya ia sehingga ia memberi kita banyak kebaikan tanpa kita sedari. Lebih menarik ianya telah disyariatkan lebih 15 abad yang lalu. Alangkah ruginya jika kita tidak memanfaatkan perkara ini dengan sebaik mungkin.

Sebelum mengakhiri kalam saya, saya berharap moga kita semua dapat melaksanakan ibadah solat ini sebaik mungkin. Solat yang diterima akan mencegah kita dari melakukan perkara yang mungkar. Jadi jika kita tertanya adakah solat kita diterima atau tidak, hisablah diri kita. Bagaimana akhlak kita sebagai seorang muslim. Tepuk dada tanyalah Iman!!
Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 .: Ahli Parlimen 2030 :.. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan