Tahun 2010 semakin hampir. Ia bermakna semakin dekat dengan tarikh ajalku. Bila masa dan bagaimana aku menghadapinya, hanya Allah SWT saja maha mengetahui. Sebagai hamba, aku perlu akur dengan segala ketentuan yang telah ditetapkan oleh NYA. Kerana dia tahu apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Sesungguhnya Allah Maha penyayang lagi maha mengetahui.
Sebelum bermula tahun baru, suka sahaja aku mengimbas kenangan 2009 yang bakal melabuhkan tirai tidak lama lagi. Pelbagai perkara berlaku pada tahun 2009. Samada berlaku pada diriku sendiri ataupun dalam Negara mahupun luar Negara. Kesemuanya mempunyai taksiran sendiri oleh Allah SWT.
Bagiku, perkara paling penting yang terjadi pada tahun 2009 ialah aku berjaya melangkah kaki meneruskan perjuangan ilmuku ke UmKL. Memang dari sekolah menengah lagi aku sememangnya mahu menuntut ilmu di universiti tertua di Malaysia ini.
Jika ada rakan-rakan yang bertanya aku mahu sambung belajar di mana, jawapan ku pasti, hanya di Universiti Malaya. Kerana bagiku, UM mempunyai nilainya yang tersendiri. Meskipun aku sendiri tidak pasti layakkah insan sepertiku untuk menyambung pelajaran ke sana. Universiti terhebat di Malaysia katakan.
Seterusnya yang menarik perhatianku bagi Negara Malaysia adalah kejayaan pasukan Bola Sepak Malaysia mengakhiri kemarau 20 tahun emas di sukan SEA. Tahniah dan syabas di ucapkan kepada para pemain. Meskipun melalui perlbagai halangan dan dugaan, namun kalian
telah menunaikan harapan rakyat Malaysia.
Pergolakan politik di Malaysia pada tahun ini semestinya menggamit hati rakyat Malaysia. Pelbagai isu dan perkara telah berlaku pada politik tanah air Malaysia tahun 2009. Antaranya kes kematian semasa dalam siasatan, kerajaan Perak di kuasai semula oleh parti Barisan Nasional, isu pergolakan dalaman MIC, dan banyak lagi.
Namun yang menarik perhatianku adalah konvensyen Pakatan Rakyat yang berlangsung baru-baru ini. Bagiku, ia merupakan satu tanda bahawa politik di Malaysia ini bakal melalui satu reformasi yang baru. Bakal di rejuvinasikan menjadi lebih matang dan terbuka. Tidak lagi bersifat satu parti. Pastinya menarik demi kepentingan rakyat Malaysia sendiri.
Seterusnya suasana luar Negara juga tidak kurang hebat peristiwanya. Pelbagai sejarah telah tercatat. Antaranya seperti kemenangan Ahmadinejad pada pilihanraya di Iran, pembongkaran kes ‘curang’ Tiger Wood bersama 14 wanita, dan kegilaan Real Madrid FC membelanjakan hampir 200 juta dolar dalam membeli pemain dalam keadaan ekonomi dunia yang sedang meleset.
Namun bagiku, peristiwa penting yang berlaku di luar Negara tahun 2009 adalah Barack Obama menjadi Presiden Amerika yang baru menggantikan Bush. Obama dilihat mampu menyelamatkan ekonomi US yang di ambang kemelesetan. Selain itu, Obama juga dilihat mampu menamatkan hubungan dingin antara Barat dengan dunia Islam. Benar atau tidak, masa bakal menetukan segalanya.
Seterusnya, kita dikejutkan dengan gegaran gempa bumi yang berlaku pada jiran kita, Padang, Indonesia. Kejadian gempa bumi itu tidak dijangka. Ia mengakibatkan tenggelamnya tiga kampung seterusnya melumpuhkan ekonomi disana. Kebanyakan banggunan dan rumah runtuh menyembah bumi.
Angka korban juga tidak dapat disahkan secara tepat kerana masih ada mayat yang tertimbus.
Kebanyakan penduduk masih trauma dan bersedih diatas apa yang berlaku. Namun kesemuanya telah tertulis di Luh Mahfuz. Pastinya ada hikmah disebalik kesemua itu. Sebagai hamba dan jiran terdekat, kita hanya mampu berdoa akan keselamatan dan kesejahteraan mereka.
Akhirnya, berlabuhla sudah tahun 2009 dengan penuh kegemilangan dan kesuraman. 12 bulan yang Allah kurniakan kepada kita harus kita gunakan dengan sebaik mungkin. Kini 2009 semakin pergi. Sebagai hamba yang bertanggungjawab, luangkanlah sedikit masa bermuhasabah kembali apa yang telah berlaku sepanjang 2009 pada diri kita.
Segala kekurangan dan kelemahan harus kita jadikan iktibar dan pengajaran. Jadikan ia sebagai batu loncatan kepada kita untuk kita menjadi lebih baik pada tahun hadapan. Ingatlah! Allah tidak akan menukar nasib sesuatu kaum itu sehingga kaum itu mengubah nasib mereka sendiri. Itu janji Allah. Sebagai Hamba yang taat, kita perlu akur tanpa ragu-ragu.
Sebelum mengakhiri tulisan ini, ingin sahaja kumenyeru kepada semua pembaca sekalian untuk bermuhasabah sejenak mengenang 2009 kita. Tidak mengapalah walaupun sekadar 3 k 5 minit. Kerana ia akan menjadikan kita lebih matang dan bijak selain mendekatkan diri kita dengan pencipta kita, Allah SWT.
1 ulasan:
salam..memang pelbagai yg berlaku tuan..semoga kita semua dpt mengambil sedikit iktibar dan pengajaran dr semua itu..insyaallah.
Post a Comment