Dec 3, 2009

Solat Anugerah Tidak Terhingga


Solat merupakan kurniaan Allah kepada hamba-hambanya yang beriman. Manakala bagi orang yang munafik atau lemah imannya, mereka akan menganggap solat itu sebagai satu beban. Terdapat juga golongan yang bagi mereka cukuplah sekadar sekali seminggu yakni sembahyang Jumaat. Bahkan lebih parah lagi, ada yang hanya bersembahyang dua kali setahun yakni pada hari raya sahaja. Itupun usai sahaja sembahyang sudah hilang bayang-bayangnya.

Sangat sedih sekali apabila mengenang perkara sebegini berlaku pada umat Muhammad kini. Sangat jauh berbeza dengan umat-umat dahulu kala. Solat yang merupakan asas kepada agama dianggap perkara yang remeh dan tidak lagi penting.

"Jika ada masa, aku solatlah, kalau takde masa, aku nak buat macam mana." monolog seorang pemuda.
"Ala, usia muda lagi, nanti dah tua nanti aku taubatlah!" bentak seorang Dr kepada sahabatnya.

Apakah sebenarnya telah berlaku pada umat Islam kini sehinggakan solat dianggap perkara yang remeh? Walhal solatlah perkara pertama yang akan dihisap di Akhirat kelak. Jika tidak lepas soalan ini, maka siaplah kita denagn azab Allah yang telah tersedia menanti kita.

Rasulullah SAW bersabda :
“Sesungguhnya amalan manusia yang pertama sekali akan dihisap pada hari Kiamat adalah solat. Sekiranya baik solatnya, maka beruntunglah dia; sekiranya buruk ibadat solatnya, maka rugilah dia.” (H.R Tarmidzi, an-Nasai’e, Ibnu Majah, Ahmad, dan Darimi)

Seterusnya dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda :
Diriwayatkan daripada Jabir R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Antara seorang hamba dan kekufuran itu ada batas pemisah, iaitu perbuatan meninggalkan solat.” (H.R at-Tarmidzi, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Kenapakah Rasulullah sangat menyuruh umatnya menjaga solat? Penting sangatkah solat ini? Hal ini kerana solat merupakan tiang agama. Dalam al-Quran banyak ayat yang menerangkan kepentingan mendirikan solat ini.

Antaranya :
Sesungguhnya Aku Ini adalah Allah, tidak ada Tuhan (yang hak) selain aku, Maka sembahlah Aku dan Dirikanlah solat untuk mengingat Aku.(Surah Toha ; 14)
Bacalah apa yang Telah diwahyukan kepadamu, iaitu Al Kitab (Al Quran) dan dirikanlah solat.

Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan- perbuatan keji dan mungkar. dan Sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah al-Ankabut ; 45)

Dan orang-orang yang memelihara sembahyangnya. Mereka Itulah orang-orang yang akan mewarisi, (yakni) yang akan mewarisi syurga Firdaus. mereka kekal di dalamnya. (Surah al-Mukminun ; 9-11)


Berdasarkan ayat al-Quran di atas, kita dapati betapa beruntungnya orang yang menunaikan solat. Selain sebagai benteng diri dari melakukan perkara yang tidak disukai oleh Allah SWT, kita juga di jamin mendapat Syurga Firdaus. Sangat tinggi ganjaran yang telah Allah bagi kepada hamba-hambaNya yang menunaikan sembahyang.

Seterusnya, kajian sains juga menunjukkan betapa banyaknya manfaat yang boleh kita perolehi dengan menunaikan sembahyang ini. Bermula dari mengambil wudhu sehinggalah kita memberi salam dan berdoa. Kesemuanya memberi manfaat kepada kita balik. Maka sangat rugi orang yang menganggap sembanhyang ini sekadar perkara biasa tanpa mengetahui 1001 hikmah disebaliknya.

Solat sering dikaitkan dengan ketenangan jiwa. Apabila jiwa kita tenang, maka sistem tubuh badan kita akan turut sama tenang. Ianya sekaligus membantu peredaran darah menjadi lebih lancar dan sempurna. Seterusnya menjadikan perjalanan tubuh badan kita lebih baik.

Solat yang dilakukan dengan sempurna sebanyak 17 rakaat sehari merupakan senaman yang dilakukan secara tidak sedar. Ia di tambah lagi dengan bilangan rakaat solat sunat yang lain pastinya menambahkan lagi tahap kesihatan tubuh badan kita.

Tambah unik apabila sebelum solat, kita akan membasuh sebahagian daripada anggota badan kita. Ianya dilakukan 5 kali sehari dan pada waktu yang sangat sesuai dengan keperluan tubuh badan manusia.

Sungguh unik dan menarik jika kita mahu merungkai keistimewaan disebalik solat 5 waktu ini. Betapa uniknya ia sehingga ia memberi kita banyak kebaikan tanpa kita sedari. Lebih menarik ianya telah disyariatkan lebih 15 abad yang lalu. Alangkah ruginya jika kita tidak memanfaatkan perkara ini dengan sebaik mungkin.

Sebelum mengakhiri kalam saya, saya berharap moga kita semua dapat melaksanakan ibadah solat ini sebaik mungkin. Solat yang diterima akan mencegah kita dari melakukan perkara yang mungkar. Jadi jika kita tertanya adakah solat kita diterima atau tidak, hisablah diri kita. Bagaimana akhlak kita sebagai seorang muslim. Tepuk dada tanyalah Iman!!

0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 .: Ahli Parlimen 2030 :.. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan