Dec 24, 2009

Ayuh! Kita Berjemaah..


Manusia merupakan makhluk Allah yang paling sempurna kejadiannya. Manusia dikurniakan akal fikiran bagi berfikir baik buruk selain nafsu yang menguji tahap keimanan manusia itu sendiri. Hatta malaikat juga diperintahkan oleh Allah untuk sujud kepada nabi Adam. Begitu hebat dan tingginya darjat makhluk Allah bergelar insan ini.

Namun, manusia tidak dapat hidup secara sendirian. Mereka saling memerlukan antara satu sama lain bagi meneruskan kelangsungan hidup di bumi Allah ini. Ia bermakna peribadi manusia itu tidak terlepas dari kehidupan bermasyarakat dan berkawan. Tiada siapa yang mampu hidup secara bersendirian tanpa bantuan daripada manusia yang lain.

Allah SWT menggalakkan umatnya agar hidup dalam berjemaah ataupun bahasa mudahnya berkumpulan. Antara bukti mudah adalah sembahyang. Allah SWT menggalakkan umatNya agar bersembahyang secara berjemaah dengan mengurniakan sehingga 27 kali ganda pahala berbanding sembahyang sendirian. Nah! Satu bukti yang jelas lagi terang.

Rasulullah sendiri telah menerapkan nilai kehidupan secara berjemaah dalam perjalanan dakwah Baginda. Peristiwa hijrah dan dakwah di Taib merupakan contoh yang baik. Peristiwa hijrah memperlihatkan Rasulullah mengajak mertua Baginda yakni Abu Bakr sendiri menemani Baginda ke Yathrib.

Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 105 bermaksud “Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang bercerai-berai dan berselisih (dalam agama mereka) sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat seksa yang berat”
Ayat diatas jelas menunjukkan amaran Allah SWT kepada umat Islam agar tidak bercerai berai dalam perkara yang sudah jelas hukumnya kepada kita. Kerana jika sejarah menunjukkan kaum-kaum dahulu berpecah disebabkan sikap mereka yang sombong dan angkuh kepada rasul mereka.

Dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim pula ada menyebut “Sesiapa yang meninggalkan jemaah walaupun sekadar sejengkal lalu dia mati, maka dia mati dalam keadaan jahiliah. Seterusnya Rasulullah bersabda, “hendaklah kamu bersama dalam jemaah. Sesungguhnya tangan (perlindungan dan rahmat Allah bersama jama’ah. Sesiapa yang berpisah (dari jemaah), dia berpisah ke dalam neraka.”

Tambah baginda lagi, “Sesungguhnya Syaitan merupakan serigala kepada manusia. Sementara serigala hanya memakan kambing yang (terasing) jauh.” Dalam sabda yang lain, “Hendaklah kamu bersama dengan jama’ah. Sesungguhnya Syaitan bersama dengan orang yang berseorangan dan ia semakin jauh daripada dua orang.”

Hadis tersebut jelas menunjukkan betapa pentingnya bagi setiap umat Islam agar hidup dalam jemaah Islam. Hal ini kerana Syaitan akan sentiasa mendampingi umat Islam yang bersendirian dan bersama-sama dengan maksiat dan dosa. Tidak cukup hanya dengan bersama jemaah, namun jemaah itu tidak berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.

Ianya hanya menambah kesesatan dalam hidup kita selain menyusahkan diri kita sendiri. Jemaah yang berlandaskan akidah Islamiyah yang sebenar akan sentiasa menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai panduan jemaah mereka.

Nabi Muhammad dalam hadis lain secara jelas menyatakan umat akhir zaman ini akan berpecah menjadi 73 golongan dan hanya satu akan selamat yakni yang berlandaskan Al-Quran dan sunnah. Ianya memerlukan satu kefahaman ilmu Islam yang sangat tinggi dalam memahami konteks ini. Apapun cukuplah kita mengikuti Ulama kini kerana Ulama merupakan waris Nabi.

Seterusnya Firman Allah secara panjang lebar dalam surah Al-Hujarat ayat 11-12 yang bermaksud “Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang lelaki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka, dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. dan janganlah suka mencela dirimu sendiri”

Ayat ini pula lebih menjelaskan mengenai adab dan akhlak dalam berjemaah. Allah SWT secara jelas menyatakan bahawa kita dilarang merendah-rendah kumpulan yang lain. Kerana jemaah kita tidak semestinya yang terbaik dan sempurna berbanding jemaah yang lain. Namun apa yang penting, saling berlapang dada dan bersatu dalam sesetengah perkara.

Banyak contoh boleh kita lihat dalam persoalan perbezaan pendapat ini. Imam-Imam mazhab sendiri. Meskipun mempunyai perbezaan dalam beberapa perkara, namun mereka saling menghormati antara satu sama lain. Mereka tidaklah taksub dengan pendapat mereka sahaja sehingga membelakangi pendapat yang lain.

Inilah nilai sebenar yang ingin Islam terapkan dalam diri setiap umatnya. Umar dan Abu Bakar berbeza perwatakan mereka. Umar dengan kekerasannya manakala Abu Bakar lembut pendiriannya. Namun dalam hal melibatkan musuh Islam, mereka sepakat dan bersatu memerangi mereka.

Akhirnya, sebagai umat Islam, umat Muhammad, kita seharusnya bersatu dan hidup dalam Islam. Kita juga digalakkan bersama-sama dengan gerakan Islam dalam melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Sebelum mengakhiri kalam ini, renunglah ayat Quran dibawah..

Allah SWT berfirman dalam Al-Quran surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud : “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar dan mereka yang bersifat demikianlah orang-orang yang beruntung.”

2 ulasan:

UstazCahaya said...

Salam ziarah. Artikel yang baik. Jum, ayuh kita berjamaah.

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar dan mereka yang bersifat demikianlah orang-orang yang beruntung.”

UstazCahaya said...
This comment has been removed by the author.
Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 .: Ahli Parlimen 2030 :.. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan