Islam menganjurkan umatnya berlapang dada dan saling bermaafan antara satu sama lain. Dalam bahasa Arab dikenali sebagai ‘al-afw’ bererti melepaskan, membuka dan menanggalkan. Manakala dari segi istilah pula memberi maksud memberi maaf kepada orang lain tanpa cerca, tanpa rasa sakit hati dan tanpa dendam.
Firman Allah SWT dalam surah Nur ayat 22
“…dan hendaklah mereka mema'afkan dan berlapang dada. apakah kamu tidak ingin bahwa Allah mengampunimu? dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”Dalam sirah, kita boleh lihat bagaimana sikap Nabi Yusuf memaafkan abang-abangnya. Baginda dianiaya oleh abang-abangnya dengan dicampakkan kedalam perigi yang gelap-gelita. Kemudian ditinggalkan dalam hutan belantara seorang diri. Dengan izin Allah baginda diselamatkan dan akhirnya menjadi menteri di Mesir.
Rasulullah SAW sendiri menunjukkan teladan yang baik. Baginda telah memaafkan kesemua yang telah bermusuhan dengan Baginda. Antaranya hindun yang telah melapah hati bapa saudara baginda yakni Saidina Hamzah dalam perang Uhud.
Kisah pembukaan kota Mekah juga jelas memperlihatkan sikap pemaaf Baginda. Baginda memaafkan Abu Sufyan beserta pengikutnya. Malahan memuliakan beliau dengan menyeru kepada orang Quraisy, “Sesiapa yang masuk ke dalam rumah Abu Sufyan pasti ia akan selamat,”
Lihatlah betapa berhikmahnya Rasulullah dalam berdakwah. Sifat pemaaf baginda telah menarik ramai kafir Quraisy memeluk agama Islam. Bahkan telah menyebarkan agama Islam dengan begitu cepat diseluruh Mekah dan Madinah. Baginda tidak pernah menyimpan dendam terhadap musuh-musuhnya bahkan sentiasa berdoa moga mereka diberikan hidayah oleh Allah SWT.
Namun bagaimana pula dengan kita? Kisah Chin Peng sebagai contoh. Meskipun penulis tidak pernah hidup semasa era ‘keganasan’ komunis ataupun Bintang Tiga sewaktu masa dahulu, namun penulis merasakan Chin Peng wajar diberi kemaafan. Bukanlah ia sebagai membuktikan penulis menyokong perjuangan yang dibawanya suatu masa dahulu, namun ianya atas dasar kemanusiaan.
Bekas ketua polis negara Abdul Rahim Noor secara terbuka mengakui Chin Peng berhak pulang seperti Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani antara PKM dengan kerajaan Malaysia pada 2 Disember 1989. Paling kurang menggunakan pas lawatan sosial.
Abdul Rahim memberi contoh Abdullah CD, bekas pengerusi PKM dan isterinya Suriani Abdullah yang dibenarkan kembali ke tanahair melalui pas lawatan sosial, mereka malah berpeluang menghadap Sultan Perak. Pada hakikatnya, ramai lagi pemimpin Melayu PKM, termasuk Musa Ahmad, Shamsiah Fakeh dan Rashid Maidin telah kembali dan menetap di negara ini atau berkunjung sebagai pelancong.
Dalam ucapan Chin Peng pada perayaan ulang tahun ke-20 perjanjian damai di Hatyai, mungkin juga ucapan umum terakhirnya, Chin Peng secara ikhlas merayu kepada semua pihak terbabit agar melenyapkan segala permusuhan dengan semangat persefahaman dan pengampunan.
Malah beliau berkabung selama satu minit bagi mereka yang terkorban dalam perang tersebut daripada ketiga-tiga pihak, iaitu angkatan bersenjata PKM, Malaysia dan Thailand. Dalam satu temuramah lain Chin Peng jelas menyatakan betapa beliau sedia dihadapkan ke Tribunal Jenayah Perang bagi mengadili diri beliau.
Penulis bukanlah ingin meneguk air yang keruh, cuma mahu mempersoalkan kenapa masyarakat Malaysia ada yang mahu mempertikaikan hak seorang tua yang berumur 85 tahun untuk pulang ke tanah air? Salahkah?? Adakah ideologinya dahulu masih relevan pada masa kini? Adakah pengaruhnya masih ada pada masa kini?
Sedarlah rakyat Malaysia kini sudah matang dan boleh berfikir secara matang dan bijak. Tidak mudah terpengaruh dengan dakyah palsu. Pilihanraya ke12 lepas boleh dijadikan satu bukti yang baik betapa rakyat tidak lagi menjadikan akhbar sebagai sumber maklumat utama. Rakyat sudah pandai memilih dan menapis setiap maklumat yang mereka perolehi.
Akhirnya terjadilah satu tsunami politik seperti yang kita semua maklum. Seharusnya sebagai manusia yang mempunyai hati dan perasaan, kita seharusnya berasa simpati dengan nasib yang berlaku pada Chin Peng. Beliau bersungguh-sungguh ingin kembali ke Malaysia bagi meneruskan sisa-sisa hidupnya. Hidupnya ibarat ‘rumah kata pergi, kubur kata pergi’.
Akhirnya, sebagai umat Nabi Muhammad, kita seharusnya meneladani sifat pemaaf baginda. Kisah yang lama kita lupakan dan mulakan lembaran hidup yang baru. Sesuai dengan apa yang telah Allah firmankan dalam surah Nur diatas, kita seharusnya sentiasa memaafkan orang lain.
Bukannya berdendam kerana dendam tidak akan menyelesaikan masalah. Malahan menyebabkan hati kita akan menjadi gelap. Yang lepas biarlah lepas. Tidak baik mengungkit sejarah lalu. Kasihanilah manusia yang lain kerana manusia juga merupakan ciptaan Allah SWT yang mempunyai kelemahan masing-masing.
0 ulasan:
Post a Comment