Jan 2, 2010

Azam Baru, Wajah Pun Kena Baru


Selamat Tahun Baru Masihi Diucapkan kepada semua rakyat dunia sekalian!! Sedar tak sedar, kita sudah berada pada tahun 2010. Rasanya baru semalam merayakan tahun 2000 bersama keluarga. Kini sudah sepuluh tahun ia berlalu. Sungguh pantas masa berlalu meninggalkan kita.

Alhamdulillah, dengan ruang dan peluang yang ada, aku mampu mengubah ‘layout’ blogku ini. Ia sebagai azam baruku sempena tahun 2010. Walaupun blogku ini tidaklah seberapa, namun ia banyak mengajarku erti menulis dan menambah pengetahuan. Pelbagai perkara baru telah dapat kurasai sepanjang aku mula memiliki blog ini.


Terima kasih tidak terhingga ingin kuucapkan kepada semua yang telah membantu blog aku. Samada secara langsung mahupun secara tidak langsung. Tidak dapat kubalas jasa kalian semua. Sangat tinggi nilainya. Semoga Allah SWT akan membalas jasa kalian dengan ganjaran yang setimpal. Amiinn..

Ada yang tertanya, apakah manfaatnya kita mempunyai blog kita sendiri. Jawapanku mudah. Bagiku manfaatnya sangat banyak. Namun, ianya bergantung kepada diri kita sendiri. Sejauh mana kita mampu memanfaatkan blog yang telah kita ada. Tidak dinafikan ada sesetengah blogger yang menyalah gunakan blog yang mereka ada demi kepentingan tertentu.

Namun bagiku, sebagai manusia berakal, ianya terpulang kepada diri kita semula. Samada mahu memanfaatkannya untuk diri sendiri dan orang lain, ataupun mahu menggunakannya untuk kepentingan diri sendiri. Kebebasan adalah hak individu. Hanya Allah dan diri kita sendiri yang tahu apa yang kita lakukan.

Blog sangat memberi manfaat kepada diriku yang masih lemah ini. Sekurang-kurangnya blog ini banyak membantu aku mengisi masa lapangku dengan aktiviti yang bermanfaat. Banyak imu yang dapat kukutip sepangjang aku berkecimpung dengan penulisan blog ini. Sekurang-kurangnya aku dapat sampaikan apa yang aku ada kepada pembaca sekalian.

Sempena Tahun Baru ini juga, aku mempunyai azam dan matlamat aku tersendiri. Aku berazam mahu cuba sebaik mungkin dalam memantapkan diriku seterusnya memberi manfaat kepada orang sekelilingku.

Dengan Usiaku pun sudah mencecah 20tahun, pelbagai perkara perlu aku lakukan dan laksanakan sebelum terlambat. Jadi, sebelum aku dihisab sendri dihadapan Allah SWT kelak, seharusnya aku menghisab diriku dahulu. Apa yang telah aku lakukan untuk agamaNya??

Tahun baru seharusnya dijadikan tahun kita memuhasabah diri kita. Kita seharusnya menilai kembali apa yang telah kita lakukan sepanjang tahun lepas. Selain itu, kita seharusnya meneruskan azam yang telah kita tidak dapat kita lakukan pada tahun lepas. Azam yang baru juga perlu diletakkan bersesuaian dengan umur kita yang telah meningkat.

Akhir kata, semoga tahun baru bakal memberi kita 1001 manfaat. Ianya seharusnya menjadikan kita lebih bersemangat. Yang buruk jadikan muhasabah dan yang baik kita jadikan sebagai pembakar semangat. Semoga tahun baru ini memberikan kita semua kebaikan.

0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 .: Ahli Parlimen 2030 :.. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan