Jan 4, 2010

Teruja dan Tertanya..


Pada 16 Februari tahun lalu, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman. Ianya bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan "Allah" dalam akhbar mingguan Gereja Katholik, Herald - The Catholic Weekly adalah haram.
Baginya perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.

Kemudian, keputusan Hakim Lau Bee Lan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini yang mengisytiharkan nama "Allah" boleh digunakan oleh agama lain. Ianya mengundang pelbagai polemik kepada parti politik, NGO-NGO, mahasiswa mahupun kepada individu. Kesemua mereka memberi respon menentang sehingga kepada desakan campurtangan Majlis Raja-Raja.

Berikutan itu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menghadap Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja dalam tempoh terdekat ini. Perdana Menteri juga meminta kepada umat Islam agar bertenang sambil menyerahkan kepada kerajaan menyelesaikannya menerusi proses undang-undang.

‘‘Saya akan melakukan sembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong nanti dan jika Seri Paduka perkenan, perkara ini akan ditaklimat kepada Majlis Raja-Raja pada mesyuarat akan datang.” Begitulah ulasan beliau.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar mingguan Gereja Katholik menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya perlu diiringi syarat yang ketat.

Beliau berkata walau apapun alasan yang diberi sebagai justifikasi keputusan berkenaan, ia tetap menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini. "Ini kerana terjemahan ''God'' yang diguna dalam agama lain dalam bahasa Melayu atau Arab ialah ''Tuhan'', bukan Allah.

"Saya akui kalimah Allah diguna di Sabah dan Sarawak sebelum mereka masuk (bergabung) dalam Malaysia...tapi di Semenanjung ni kita tak pernah dengar pula," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Mahasiswa Melayu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini.

Selain itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasaruddin Hassan berkata, beliau menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu namun diharap penggunaannya pada tujuan yang baik dan bukan untuk dipermainkan sewenangnya.

"Selagi mana kalimah Allah itu digunakan dengan tujuan yang baik, dengan benar menyatakan Allah itu satu, Allah itu Esa tanpa sebarang penyelewangan dan pengkhianatan terhadap maksud sebenar Allah, maka itu dibenarkan.

"Pendirian kami, siapun pihak hatta umat islam sendiri pun sekiranya hendak menggunakan kalimah Allah, hendaklah menggunakan dengan penuh hormat tanggungjawab bukan menggunakannya dalam maksud mempersenda, mempermain, mengambil mudah dengan kalimah tersebut",
kata beliau ketika diminta mengulas perkara itu baru-baru ini.

Begitulah beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa orang pemimpin. Kesemua mereka mempunyai pandangan dan pendapat sendiri. Begitu juga dengan pemimpin yang lain. Kesemuanya memandang tinggi isu ini. Mereka mahu isu ini diselesaikan sebaik mungkin.

Aku juga berasa teruja dengan isu ini. Jarang-jarang melihat isu yang melibatkan umat Islam begitu menarik perhatian masyarakat Islam di Malaysia. Selalunya hanya beberapa pihak sahaja yang memberi respon kepada isu yang berlaku kepada umat Islam kini.

Kita seharusnya berpijak di bumi yang nyata. Bagiku isu kalimah Allah tidaklah seserius mana berbanding beberapa isu yang berlaku sebelum ini. Isu-isu sebelum ini bagiku perlu dipandang lebih serius seperti isu penukaran status agama, isu perebutan hak untuk penentuan agama anak-anak dan sebagainya.

Namun malang, isu-isu seperti ini tidak mendapat respon yang sewajarnya daripada masyarakat Islam. Hanya beberapa pihak sahaja yang memperjudikan nasib memperjuangkan isu ini. Ia sekaligus mencerminkan kelemahan umat Islam itu sendiri.

Aku juga berharap agar isu memperjuangkan nama Allah ini bukan retorik agama semata-mata. Hanya memperjuangkan ‘nama’ sahaja. Namun apa yang diperintah olehNya kita abaikan. Sangat malang jika perkara ini berlaku. Tidak berguna kita berarak sejauh Perlis ke Johor sekalipun jika hanya berjuang ‘nama’ bukan makna disebalik perjuangan itu.

Kenapa kita menentang nama Allah ini diguna pakai oleh agama lain? Adakah ianya tanda kasih kita kepada Allah ataupun sekadar menunjuk kepada orang lain kita ni hebat? Hanya Allah dan diri manusia itu sendiri yang tahu apa kenapa dia melakukan perkara tersebut.

Akhirnya, semoga isu penggunaan kalimah Allah ini adalah sebagai tanda kasih kita kepada Allah. Ianya bukan retorik politik semata-mata. Ianya adalah tanda keprihatinan kita kepada isu umat Islam. Semoga isu yang berlaku ini akan memberi kesedaran kepada kita semua.

2 ulasan:

PEJUANG KESENIAN EXTREME said...

Isu yang masih belum selesai..

zaiMi said...

xpaham aku nape kafir kat malaysia ni brani sangat.. sume hal islam die nak cmpur.. padahal kite xkacau agama diorang pun..

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 .: Ahli Parlimen 2030 :.. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan