Rasulullah SAW memberitahu sahabatnya dalam salah satu peperangan tentang seorang lelaki yang akan dimasuki kedalam neraka. Walhal lelaki tersebut selalu berperang bersama-sama muslimin yang lain. Bertempur dimedan jihad menentang musuh-musuh Islam.
Para sahabat menjadi sangat terkejut. Lantas mereka mendekati lelaki tersebut dan bertanya perihalnya. Mereka mendapati sahabat ini sangat bersungguh-sungguh dalam berjuang dan berjihad menegakkan kalimah Allah. Namun dalam masa sama, sahabat ini mencederakan dirinya sendiri.
Salah seorang sahabat yang lain menegur, “Celakalah kamu!! Kenapakah kamu mencederakan diri kamu sendiri? Padahal kamu telah berjuang dengan bersungguh-sungguh dan tiada musuh yang dapat mencederakan kamu.”
Lelaki tersebut menjawab, “Sesungguhnya aku berperang kerana izzah diri, supaya orang dapat melihat keberanianku.” Lelaki tersebut menjawab jujur. Tidak lama kemudian lelaki tersebut meninggal dunia.
Benarlah sabda Rasulullah SAW bahawa orang itu berjuang dan berjihad kerana mahu mendapat penghargaan dunia. Bukan mengharap mendapat keredhaan Allah SWT. Akhirnya dia dimasukkan ke dalam api neraka disebabkan perkara tersebut.
Perkara tersebut berlaku disebabkan niat lelaki tersebut bukan kerana Islam. Tetapi semata-mata mahu mendapat nama di dunia. Dia tidak ikhlas berjihad kerana Allah SWT. Amalan dan jihadnya menjadi sia-sia kerana tidak mendapat balasan yang sepatutnya dek kerana mahu mendapt nama.
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Umar al-Khatab, Rasulullah bersabda,
“Setiap amalan berdasarkan niat, dan setiap perkara adalah berdasarkan apa yang diniatkannya.” (Riwayat al-Bhukari dan Muslim).Dalam satu hadis yang lain, Rasulullah bersabda,
“Barang siapa yang ingin menjadi terkenal, maka Allah akan jadikannya terkenal. Dan barang siapa yang mahu ingin riyak, maka Allah akan memberikannya juga.” (Riwayat al-Bukhari).Berdasarkan dua hadis diatas, jelas menunjukkan betapa pentingnya kita meletakkan niat pada tempatnya. Jangan sesekali memandang rendah pada niat kita kerana ia dipandang dan dinilai oleh Allah SWT. Niat yang baik akan mendekatkan diri kita kepada Allah SWT manakala niat yang salah akan mencelakakan diri kita kelak.
Jika kita nilai kembali, niat merupakan asas kepada semua perbuatan kita. Ia juga menjadi syarat sah dalam ibadah kita seperti solat dan puasa. Tanpa niat, tidak mungkin amalan puasa dan solat kita akan diterima oleh Allah SWT.
Akhir kata, sebagai pejuang agama Allah, kita seharusnya membetulkan niat perjuangan kita. Kita bukan mahu mendapat keredhaan manusia yang sementara, namun kita mencari keredhaan hakiki yakni keredhaan Allah SWT. Ia akan menjamin matlamat akhir kita yakni mendapat Syurga.
1 ulasan:
Salam. MasyaAllah. Artikel menarik dari sirah agung. Moga para Ansarullah terpelihara dari riak, ujub mahupun sum'ah. Aminnn..
Post a Comment