Kisah Nabi Ibrahim AS dibakar oleh kaumnya pasti diketahui oleh kita semua. Pada masa itu, Nabi Ibrahim dijatuhkan hukuman dibakar hidup-hidup kerana memecahkan ‘Tuhan’ kaumnya. Namun, dengan izin Allah, Nabi Ibrahim terselamat daripada terbakar. Maha suci kuasa Allah.
Apa yang menarik dalam kisah ini ialah bagaimana seekor burung yang ingin menyelamatkan Baginda. Dengan keupayaan yang ada, dia cuba hendak menyelamatkan nabi Allah itu. Dia mengambil air dari laut berdekatan menggunakan paruhnya. Lantas ia menyiram air yang dibawa ke kawasan pembakaran nabi Ibrahim.
Jika kita fikir secara logik, mana mungkin kawasan api yang besar mampu dipadamkan dengan air yang amat sedikit. Tambahan pula ianya dibawa oleh seekor burung yang kecil. Apabila burung itu ditanya kenapakah dia melakukan kerja sia-sia tersebut, dia menjawab, apabila di akhirat kelak, air-air inilah yang akan menjadi saksi perjuangan aku membantu Ibrahim AS.
Sungguh hebat!! Sangat menginsafkan kita semua. Burung yang mempunyai kekuatan yang sangat terhad sanggup bersusah payah menyelamatkan nabi Ibrahim. Meskipun perbuatan itu tidak membantu sebenarnya, namun dia sanggup melakukan perkara itu juga.
Dia merasa bertanggung jawab mahu membantu nabi Ibrahim ketika itu. Dia mahu berjuang walaupun usahanya sangat kecil dan tidak memberi kesan yang besar. Yela, api sebesar gunung mahu dipadamkan dengan air sebanyak paruh burung. Sangat tidak relevan dan sungguh gila!!
Namun perkara itu bukanlah persoalan pokok bagi burung tersebut. Apa yang penting dia berusaha menggunakan keupayaan yang dia ada membantu nabi Ibrahim. Dia sudah mempunyai hujah untuk berhadapan dengan penciptanya kelak.
Jika kita renung kembali diri kita, apakah yang telah kita lakukan dalam menegakkan kalimah
Allah di muka bumi ini? Kebanyakkan manusia kini hanya mahu menyelamatkan diri mereka sendiri. Tidak mahu memikirkan masalah umat yang lain. Hanya tahu diri mereka selamat sudah memadai.
Tidak kurang ada juga yang berterusan menyalahkan kelompok Islam yang lain. Mengatakan perjuangan yang dibawa oleh kelompok itu salah dan tidak berlandaskan tuntutan syariat sebenar. Perjuangan yang dibawa mereka adalah sesat dan berdosa.
Kelompok ini dikatakan sangat ekstrem dan tidak membawa ajaran Islam sebenar. Terlalu taksub mengejar kuasa sehingga mengabaikan tuntutan Islam sebenar. Islam sebenar mengajak orang kearah kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Disini ada beberapa persoalan timbul. Apakah perbezaan dakwah ketika nabi di Mekah dan dakwah ketika nabi di Madinah dahulu? Rasanya jawapan itu sudah kita ketahui. Yakni melalui kuasa. Dengan kuasa yang Nabi ada sebagai pemerintah Madinah masa itu, lahirlah perlembagaan pertama didunia.
Madinah menjadi lebih aman dan damai dibawah pemerintahan Islam. Agama Islam semakin berkembang. Islam diamalkan tanpa ada ganguan dari mana-mana pihak. Amat berbeza dengan kehidupan mereka di Mekah dahulu.
Jika kita lihat di Mekah, umat Islam ditindas dan dipulaukan. Mereka berada dalam keadaan amat sengsara. Jiwa dan raga mereka diseksa hampir pada setiap masa. Hal ini kerana pemimpin Mekah pada masa Itu amat memusuhi Islam. Mereka takut Islam tersebar sekaligus menggugat kedudukan mereka pada masa itu.
Begitulah keadaannya pada masa kini. Kuasa amat diperlukan bagi melaksanakan Islam di muka bumi Allah. Tanpa kuasa, dakwah yang hendak dilaksanakan akan lebih terbatas kerana dikekang oleh kuasa-kuasa lain. Ianya bukanlah bermaksud kita gilakan kuasa. Ianya lebih kepada matlamat asal kita mahu menegakkan Islam.
Apakah kita merasa dakwah Islam hanya cukup apabila disampaikan melalui majlis-majlis ilmu? Tidakkah kita semua sedar bahawa dunia kini sudah banyak berubah. Teknologi semakin berkembang. Agama pula semakin dipisahkan daripada kehidupan dek didoktrin oleh Barat.
Masyarakat Islam kini tidak sama dengan masyarkat Islam dahulu. Masyarakat Islam dahulu sangat tinggi ilmunya mengenai Islam. Sangat berbeza dengan masyarakat Islam kini yang sudah semakin jauh dengan Islam. Bahkan lebih teruk, Islam hanya tinggal nama. Bukan lagi satu cara hidup yang sebenar.
Disinilah peranan kita sebagai umat Islam mahu menegakkan Islam sekaligus mencegah kemungkaran. Kita perlu autoriti ataupun bahasa mudahnya kuasa bagi menegakkan Islam. Tidak cukup hujah kita mengatakan cukuplah orang yang memerintah itu Islam, maka kita pilih dia. Adakah kita yakin orang itu mampu membawa Islam sebenar?
Lupakah kita Turki suatu masa dahulu pernah diperintah oleh seorang lelaki bernama Kamal Atartuk? Dia seorang Islam. Dia memperjuangkan negaranya melawan barat. Dia menyelamatkan negaranya dari dijajah oleh kuasa asing. Dia digelar Bapa Pemodenan Turki lagi.
Namun, apakah yang telah dia lakukan? Dia menyebabkan khalifah Uthmaniah terkubur. Turki menjadi huru-hara. Ajaran Islam diabaikan. Turki berkiblatkan Barat. Perubahan dilakukan sewenangnya tanpa ada satu kuasa pun yang dapat menghalangnya.
Persoalannya, bukankah dia juga seorang Islam? Jangan kita lupa, Abdullah Ubai juga mengaku Islam dihadapan Rasulullah. Bahkan bersembanhyang dibelakang Rasulullah. Namun, dibelakang Rasulullah, dia mengeji Islam. Dia menuduh Saidatina Aisyah, dia membocorkan maklumat Madinah dan banyak lagi. Dia digelar Munafik
Bertopengkan Islam, golongan munafik ini berusaha menghancurkan Islam. Mereka mencuba pelbagai cara bagi mencapai matlamat mereka. Sebab mereka mudah. Mahu memuaskan hawa nafsu mereka semata-mata.
Akhirnya, kita sebagai umat Islam perlu sedar apa tanggungjawab kita yang sebenar. Kita perlu sedar siapa lawan dan siapa kawan kita. Janganlah kita mudah percaya tanpa usul periksa. Jalan sudah Nampak dihadapan mata, tinggal kita sahaja untuk membuat pilihan.
Jadilah seperti sang burung tadi. Meskipun tahu usahanya sangat kecil, namun dia tetap melakukan perkara tersebut demi menyelamatkan nabi Ibrahim. Apa yang penting usaha bukan hasil. Kerana segala ketentuan milik Allah SWT.
0 ulasan:
Post a Comment