Feb 17, 2010

Manusia adalah Hamba


Firman Allah dalam surah Al-Hajj ayat 77 bermaksud "Wahai orang yang beriman, rukuklah, sujudlah dan abadikanlah dirimu kepada Tuhan kamu dan kerjakanlah kebaikan semoga kamu mencapai kejayaan,"

Manusia dijadikan Allah sebagai khalifah dimuka bumi ini. Meskipun pada awalnya para malaikat menentang, namun akhirnya mereka akur dengan ketentuan yang ditentukan oleh Allah SWt. Allah SWt tahu apa yang terbaik untuk dilaksanakan kerana sesungguhnya Dia Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui.

Pernahkah sesekali kita berfikir mengapa Allah menggelar manusia ini sebagai hamba? Bukan sebagai menteri, ataupun pekerja, mahupun digelar sebagai orang gaji? Tiada lagi gelaran lainkah yang lebih sesuai untuk digunakan?

Jika difikir secara logik akal, konsep hamba sudah tiada lagi pada zaman globalisasi kini. Apa yang ada hanyalah istilah orang gaji yang ternyata berbeza berbanding dengan hamba.

Konsep hamba telah lama digunakan. Bermula dengan zaman Firaun sehinggalah zaman Rasulullah masih hidup. Kemudian berterusan sehinggalah zaman pembebasan hak manusia yang dilakukan oleh Barat semasa era Kebangkitan mereka.

Hamba? Mengapa kita menggunakan status ini? Pastinya ada sebab dan munasabab tertentu kita menggunakan status ini dengan pencipta kita, Allah SWt.

Hamba tidak boleh meletakkan jawatannya mahupun bersara. Hal ini kerana dia hak milik mutlak kepada tuannya. Tuannya berhak keatasnya selagi mana tuannya tidak memerdekakan hambanya itu.

Oleh hal demikian, sangat jelas kepada kita sebagai hamba Allah untuk melaksanakan segala yang diperintahkanNya dan menjauhi laranganNya. Ianya sangat berbeza dengan status lain seperti menteri dan orang gaji yang boleh bersara pada bila-bila masa.

Apa yang menyedihkan kini, tidak ramai hamba-hambaNya yang sedar akan hal ini. Masing-masing kini menjadi hamba kepada dunia yang bersifat sementara dan bakal binasa pada bila-bila masa.

Ibadah kepada Allah tidak lagi menjadi agenda utama. LaranganNya dilanggar sesuka hati tanpa ada rasa malu dan takut. Kesemuanya demi memenuhi tuntutan nafsu dan menuruti bisikan syaitan.

Sebagai manusia dan hamba Allah, kita seharusnya sedar tanggungjawab yang telah dipertanggungjawabkan keatas kita. Semua itu tidak boleh dipandang mudah. Kita harus peka dengan tanggungjawab kita sebagai hambaNya.

Akhirnya, kita seharusnya sedar akan tanggungjawab kita sebagai Hamba Allah SWT. Jangan sesekali melupakan status itu dalam hidup kita. Ingatlah!! Kita tiada pilihan lain selain menuruti perintah Allah SWt.

0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 .: Ahli Parlimen 2030 :.. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan