Mar 15, 2010

Ikhlaskanlah Amalanmu...


Kadang kala sukar hendak menghadirkan keikhlasan dalam diri kita. Ikhlas dalam berkawan, ikhlas dalam melakukan kebaikan, dan ikhlas dalam perjuangan. Ia sangat mudah untuk ditutur namun sangat sukar untuk diamalkan.

Keikhlasan sangat sukar untuk dilaksanakan dek kerana sifat riyak dan membangga diri yang sangat menebal dalam diri. Ia seakan-akan menjadi satu keseronokan untuk mendedahkan segala kebaikan yang telah kita lakukan kepada orang lain.

Makna Ikhlas

Ikhlas ialah : " melaksanakan taat semata-mata kerana Allah sendiriNya, bukan di maksudkan memperolehi kebesaran dari manusia, ataupun penghormatan. Dan bukan pula untuk memperolehi sesuatu keuntungan dunia atau menolak sesuatu bencana keduniaan."

Dari Abi Hurairah r.a berkata: Sabda Rasulullah S.A.W : 'Sesungguhnya Allah S.W.T tidak memandang kepada tubuhmu, dan tidak pula kepada paras rupa kamu, tetapi Allah memandang kepada hati dan perbuatan kamu.' (H.R. Muslim)

Mengikut Profesor Dr Yusof Al-Qardhawi ikhlas ialah:

“Menghendaki keredhaan Allah dengan suatu amal, membersihkan dari segala noda individu dan duniawi. Tidak ada maksud yang lain untuk melakukan suatu amal kecuali kerana Allah dan demi hari akhirat. Tidak ada noda yang mencampuri suatu amal seperti kecenderungan kepada dunia, untuk kepentingan diri sendiri sama ada secara jelas mahu pun tersembunyi, menghendaki harta rampasan, syahwat, kedudukan, harta benda, supaya dihormati atau disanjungi oleh orang ramai, takut dicela, mengambil kesempatan di hadapan orang-orang tertentu, menyimpan rasa dengki yang tersembunyi, melayani rasa dengki tidak kelihatan, kesombongan yang terselubung, atau kerana alasan-alasan lain tidak terpuji, intipatinya ialah menghendaki selain Allah dengan suatu amal, siapa pun dan apa pun.”

Keikhlasan Para Sahabat


Keikhlasan banyak ditunjukkan para sahabat. Abu Bakar as-Siddiq telah menginfakkan seluruh hartanya ketika Allah dan Rasul-Nya meminta hanya sebahagian hartanya untuk keperluan jihad fi sabilillah.

Begitulah juga sifat yang ditunjukkan oleh Uthman bin Affan ketika ia menyediakan dari harta peribadinya kepada 10,000 pasukan Perang Tabuk. Ia telah membelikan setiap masing-masing dengan kendaraan, bekalan, dan senjata yang lengkap.

Selain itu, ia ditunjukkan juga oleh Mushab bin Umair, seorang pemuda tampan, kaya, terhormat, dan menjadi idola gadis-gadis Quraisy. Dimana ketika ia memberikan semua yang dimilikinya untuk dakwah Islam. Sementara ia sendiri dalam kehidupan sehariannya, selama hidupnya, sanggup hanya memakai pakaian dengan banyak tampalan. Bahkan tidak cukup untuk membeli kain kafan ketika ia wafat.

Ikhlas kerana Islam

Katakanlah: “Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.” (Al-An’am: 162).

Ikhlas adalah buah dan intisari dari iman. Seorang tidak dianggap beragama dengan benar jika tidak ikhlas. Mana mungkin seseorang yang tidak ikhlas itu mahu melakukan amal kebajikan jika tiada siapa yang mahu memujinya.

Ikhlas menuntut satu pengorbanan. Ia bukan selogan retorik semata-mata. Tidak sukar hendak menilai seseorang yang ikhlas atau tidak. Perbuatan yang ditunjukkan dapat dijadikan penilaian keikhlasan seseorang.

Percaya dan yakinlah, setiap amalan yang dilakukan dengan ikhlas, akan mendapat ganjaran yang sangat berharga dari Allah SWT. Namun, jika kita riyak dan takabur dalam amalan kita, pastinya kelak kita akan menyesal.

Ingatlah! Kita perlu mencari nama disisi Allah, bukan disisi manusia. Kerana janji Allah itu pasti. Kerana cinta Allah itu abadi. Moga kita akan sentiasa memperbaiki niat kita dalam melakukan sesuatu amal ibadat.

1 ulasan:

ainmohd. said...

seperti semut hitam atas batu hitam pada malam yang geap gelita..-ikhlas

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 .: Ahli Parlimen 2030 :.. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan