Mar 10, 2010

Pengajaran Dari Sebentuk Cincin


Di sebuah perkampungan, terdapat seorang pemuda yang sering mengkritik kehidupan ahli sufi. Dia mengatakan ahli sufi ini sangat daif dan tidak menyukai kehidupan di dunia. Hanya menumpu kepada ibadat mereka semata-mata.

Dzun Nun mengetahui perkara tersebut lantas merancang mahu berjumpa dengan pemuda tersebut. Dzun Nun adalah seorang ahli tasawuf dari Mesir Dahulunya dia adalah seorang pemuda yang suka kepada kesenangan, bermain-main dan sendau gurau. Akhirnya beliau bertaubat dan meninggalkan semua keburukan yang pernah beliau lakukan dahulu.

Suatu hari, lelaki itu datang menghadap Dzun Nun. Dzun Nun memberikan kepada pemuda itu sebentuk cincin. Lantas Dzun Nun berkata kepada pemuda tersebut, "Bawalah cincin ini ke pasar dan gadaikan ia dengan harga 1 dinar."

Pemuda itu membawa cincin itu kepasar dan mencari pembeli. Namun tiada siapa yang mahu membeli dengan harga lebih dari satu dirham. Pemuda itu pulang dengan kecewa sekali. Dia menyampaikan perkara tersebut kepada Dzun Nun.

"Sekarang pergilah engkau kepada orang yang memahami tentang batu permata dan tanyakan kepadanya berapa harga cincin ini." kata Dzun Nun kepada pemuda tersebut.

Pemuda tersebut segera mencari orang seperti yang dimaksudkan oleh Dzun Nun. Setelah puas mencari, akhirnya ia berjumpa dengan seorang ahli batu permata. Dia sangat terkejut! Ahli batu permata itu menawarkan kepadanya harga sebanyak 1000 dinar.

Pemuda tersebut kembali bertemu dengan Dzun Nun dan menceritakan pengalaman yang dia lalui sebentar tadi.

"Nah, pengetahuanmu tentang ahli sufi sama sahaja dengan ahli pasar malam yang tidak mengetahui apa-apa tentang batu cincin ini."

Pemuda itu terus bertaubat dengan sikapnya sebelum ini yang suka memandang rendah kehidupan ahli sufi. Ia berazam tidak mahu mengulangi perbautannya itu.

0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 .: Ahli Parlimen 2030 :.. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan