Hak yang benar tapi tidak terancang akan diatasi oleh kejahilan yang terancang – Saidina Ali R.A.
Sungguh mendalam maksud kata-kata ini. Ini menunjukkan kepada kita betapa pentingnya sesuatu perancangan itu dibuat. Hatta kejahatan itu juga mampu menandingi kebenaran jika ianya dirancang dengan begitu rapi dan teratur.
Namun sedihnya, perkara ini seolah-olah dipandang enteng oleh sesetengah pihak yang kononnya menegakkan kebenaran namun lemah dari sudut perancangannya. Menganggap kemenangan pasti akan tiba kerana mereka berada dipihak yang benar.
Jika melihat kepada petua Sun Tzu, salah seorang pakar startegi perang dari China, beliau menegaskan prinsip kenali musuh anda dan diri anda dahulu sebelum berperang. Nescaya jika kamu ketahui kedua-duanya, 100 perlawanan sekalipun kamu masih mampu menang.
Namun, jika kamu tidak mengetahui antara keduanya, pasti celaka akan datang kepada kamu. Malahan, lebih malang jika kamu tidak mengetahui kedua-duanya.
Kenapa perlunya perancangan?
Perancangan amat penting dalam menstrategikkan kekuatan yang kita miliki disamping mengeksploitasi kelemahan musuh. Tidak dapat dinafikan setiap bala tentera mana pun pasti mempunyai kelemahan mereka tersendiri.
Disinilah perlunya perancangan yang rapi terutamanya apabila ia melibatkan maruah dan masa depan organisasi. Perancangan yang lemah dan tidak bermaklumat pastinya mendatangkan keburukan dan kehancuran pada masa hadapan.
Kebanyakkan ketua atau pemimpin dilihat amat bernas dalam memberi idea mereka, namun amat lemah dalam merancang bagaimana mahu melaksanakan idea mereka. Sekadar berharap ada orang bawahan yang akan membantu mereka tanpa mereka mudahkan kerja orang bawahan mereka itu.
Perkara ini seharusnya dijauhi oleh mana-mana pemimpin terutamanya jika mahu memastikan perancangan mereka menjadi seperti yang diharapkan. Perancangan yang rapi dan teliti harus dilakukan demi memastikan idea mereka menjadi kenyataan.
Akhirnya, pesanku kepada semua pemimpin dan ketua, rancanglah strategi dengan baik disamping menggunakan segala peluang yang ada. Ingatlah pesan Saidina Ali diatas.
0 ulasan:
Post a Comment