Jan 23, 2011

P/Raya Kampus kian tiba, ayuh langkah tanpa gentar!


Bahang Pilihanraya Kampus kian terasa. Gelombang Oren kian menjelma. Gelombang lawannya masih belum muncul tiba. Sekadar kelihatan kertas-kertas kecil berwarna kuning di sekitar kolej dan kawasan berhampiran.

Ya! Pilihanraya Kampus (PRK) semakin hampir menemui mahasiswa. Pastinya PRK ini dinanti oleh semua mahasiswa yang mahu memperjuangkan suara-suara mahasiswa yang kini semakin hilang taringnya.

PRK ini diadakan setahun sekali bagi mahasiswa memilih siapakah yang bakal memperjuangkan hak mereka. Memenuhi keperluan mereka sebagai seorang mahasiswa.

Penulis sebagai seorang mahasiswa tahun 2 yang menuntut di Universiti Malaya mempunyai sedikit pengalaman menikmati suasana PRK pada sesi lepas. Pelbagai pengalaman menarik dapat penulis rasakan & ianya akan sentiasa tersemat di ingatan penulis.

Pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPMUM) ini sangat penting terutamanya bagi memilih kepimpinan tertinggi mahasiswa di UM. Pemilihan ini tidak harus dilihat sebagai perkara main-main.

Pemilihan MPMUM ini dilihat amat penting terutamanya bagi memastikan suara keramat mahasiswa didengari oleh pihak pentadbiran. Selain itu, bagi memperjuangkan masyarakat diluar sana yang semakin dihimpit dengan pelbagai masalah sosial.

Peluang ini tidak seharusnya disia-siakan oleh mahasiswa. Kita harus melangkah tanpa gentar dalam memastikan keadilan & kebajikan terlaksana dengan baik.

PRK harus digunakan oleh kita semua bagi memilih kepimpinan yang hak. Yakni meletakkan orang pada tempatnya. Bukan sekadar memilih berdasarkan rupa paras & gender semata-mata.

Semua itu adalah pandangan yang amat sempit sekali. Kita mahu memilih pemimpin kita. Bukan mahu memilih ‘artis murahan’. Kita mahu memilih PEMIMPIN kita! Kita mahu memilih pemimpin masa depan negara kita.

Penulis juga mahu menasihati kepada mana-mana mahasiswa yang mahu bertanding pada pilihanraya kali ini, buatlah yang terbaik demi masa depan Universiti sendiri.

Jangan masuk bertanding sekadar mahu tinggal di kolej mahupun mendapat habuan dunia semata-mata. Kita bakal menjadi pemimpin mahasiswa.

Kita seharusnya mencerminkan semangat mahasiswa yang tinggi dalam diri kita semua. Jangan sesekali menggadai perkara itu demi memuaskan nafsu kita semata-mata.

Ketahuilah kegagalan kita bakal mengundang celaka kepada diri kita sendiri kelak. Kita adalah golongan masa depan negara. Malaysia amat memerlukan pemimpin yang mantap bagi menggantikan pemimpin masa kini.

Akhir kata, selamat maju jaya & teruskan berjuang!

0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 .: Ahli Parlimen 2030 :.. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan